• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    MIA AHMAD TERLALU BERAHSIA?


    TERLALU awal untuk Mia Ahmad mengakui ada cinta yang terbit di antara dia dan penjaga gol dari pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim, Izham Tarmizi. 

    Namun mahu bersikap jujur, jelas Mia, ketika ini apa yang boleh dikongsi, hubungannya dengan Izham sekadar rakan biasa. Tidak mahu terlalu hebat bercerita sesuatu yang dia sendiri tidak pasti, pelakon cantik ini lebih selesa membiarkan waktu menentukan perjalanan hubungan itu.

    “Kami berkenalan baru setahun, kala ini tiada apa yang serius antara kami. Mungkin disebabkan dia seorang pemain bola sepak, orang memberikan perhatian yang berbeza tentang persahabatan kami,” katanya.

    Mahu bersikap jujur dengan semua pihak, kata Mia, atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, jika benar ada cinta dalam hubungan itu, dia pasti berterus terang.

    Namun buat masa ini lebih senang untuk dia menjelaskan fakta bahawa dia dalam fasa tanpa cinta terhadap mana-mana lelaki.

    “Kita lihat macam mana, saya tidak mahu bercakap tentang sesuatu yang tidak pasti akan terjadi. Pada saya soal ini juga terlalu peribadi.

    “Bagaimanapun saya tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit, sebab itu jika benar ada yang berlaku antara kami, saya akan kongsikan kelak,” katanya.

    Tidak menolak sudah memikirkan soal perkahwinan, namun tiada tanda ke arah merobah status diri dalam waktu terdekat.

    Selesa berkawan dan hanya mahu orang di luar mengetahui Izham adalah seorang yang baik, tanpa selindung mengakui dirinya senang sebegitu.

    “Memang ada fikir soal perkahwinan, kalau ikutkan di umur saya sekarang memang sesuatu yang perlu. Namun saya tidak fikir ia akan berlaku dalam waktu terdekat. Soal Izham pula apa yang boleh saya cakap, saya tidak nafikan bahawa dia adalah seorang lelaki yang baik,” katanya.


    Malas melayan artis negatif

    Cuba mewujudkan keadaan damai dalam kariernya sebagai artis, kata Mia, saat ini dia cuba tidak mengambil kisah tentang kata-kata negatif yang didengar. Prinsip dirinya mudah, jangan percaya selagi tidak nampak dan dengar sendiri.

    “Ada juga yang menyampaikan katanya seorang artis cuba menjatuhkan saya, tetapi saya anggap itu sebagai khabar angin sahaja. Bukan apa, selagi tidak nampak depan mata sendiri, selagi itu saya tidak mahu melayan soal begini.

    “Dalam keadaan sekarang juga saya tidak mempunyai ramai teman artis. Antara yang rapat pun hanya Puteri Sarah, yang lain saya anggap seperti rakan dalam industri. Mudah, begini,” katanya.

    Tidak mahu peminatnya juga berada dalam situasi yang sama, gadis ini lebih senang mempunyai saingan yang sihat antara artis-artis lain. Dia juga mahu peminat menyokong setiap artis di Malaysia ini dengan adil.

    “Apabila melihat peminat bergaduh di ruangan komen, kalau boleh saya cuba selesaikan cepat dengan memadam terus. Bukan apa kalau meleret boleh panjang jadinya.

    “Tidak perlu bergaduh sesama sendiri untuk membuktikan artis mana lebih bagus dan sebaliknya. Sokongan yang paling baik adalah terus memberi semangat secara positif terhadap artis masing-masing,” katanya.

    Paling menyerlah dalam Anugerah Pilihan Online (APO) yang berlangsung minggu lalu, ini merupakan penghargaan pertama buat Mia selepas berada dalam industri selama hampir dua tahun melalui kategori Aktres Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.

    “Memang sangat terkejut sebenarnya, sebab tidak sangka. Ini anugerah pertama sejak bergelar pelakon, saya sangat menghargainya,” katanya yang popular menerusi drama Hati Perempuan.


    Laman sosial digodam

    Bukan sekali, tetapi sudah dua kali laman Instagram Mia digodam. Jika pengikut Mia sebelum ini berjumlah 1.3 juta, kini susut kepada 20,000 sahaja. Marah dan geram dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit, namun Mia beranggapan belum masanya untuk dia menutup laman sosial ini.

    “Kali kedua laman Instagram digodam, memang saya terduduk habis. Malah ada terfikir mahu berhenti sekejap dari menggunakan laman sosial ini sebab kecewa sangat. Tapi bila fikir ia tidak adil untuk peminat yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada saya, jadi ia dikekalkan.

    “Cuma kali ini saya akan lebih berhati-hati dengan taktik yang digunakan penggodam ini. Malah pengurus saya juga sudah mengambil langkah-langkah keselamatan kali ini,” katanya.

    Tidak menolak laman sosial juga antara punca pendapatan artis di negara ini, kata Mia antara kesan utama yang dia dapat rasa adalah kehilangan medium yang sesuai untuk mempromosikan produk yang diwakilinya. Malah dalam masa yang sama juga ada pihak yang menarik diri untuk menggunakan dia sebagai wakil pengiklanan mereka.

    “Ikutkan ada juga yang menarik diri dari menggunakan saya gara-gara kejadian ini, kerana tidak semua yang faham apa yang berlaku. Bagi saya bukan pengikut di laman sosial yang penting tetapi hubungan kita dengan peminat itu sendiri.

    “Sebab itu saya sangat menghargai peminat yang sering menyatakan sokongan mereka menerusi laman sosial peribadi saya,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan