BUKAN mudah sebenarnya untuk meniti perjalanan sebagai anak seni. Apatah lagi setiap perlakuan dan pertuturan diperhatikan peminat. Andai terleka, pasti kutukan dan kritikan menjadi habuan.
Begitulah situasi yang dilalui oleh pelantun lagu Mana Mungkin, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah. Sering kali dikecam peminat ekoran gambar-gambar yang dikongsi melalui laman sosial mungkin menjadi emosi kalis sebarang kritikan.
Malah, kecaman hebat dilemparkan terhadap Black ketika minggu-minggu pertama menjadi ‘sifu’ dalam rancangan Mentor Milennia yang telah melabuhkan tirainya awal Mac lalu juga tidak diendahkannya.
Malah, sifat lantangnya semakin menjadi-jadi apabila memulangkan paku buah keras terhadap komen-komen panas yang diterimanya.
Bagaimanapun, segalanya berubah setelah lelaki berusia 29 tahun ini mendapat teguran daripada bapanya. Terkesan dengan nasihat berguna daripada insan yang dihormatinya itu, Black akhirnya mengambil keputusan mengurangkan sedikit tingkah laku keterlaluan di pentas tersebut.
Seiring dengan perubahan yang dilakukan, kini Black turut mengambil langkah berhati-hati sepanjang berkongsi gambar-gambar untuk tatapan peminat di laman sosialnya.
“Seperti semua sedia maklum, sepanjang tiga minggu pertama menjadi mentor dalam rancangan Mentor Milennia, teruk saya dikecam oleh peminat. Mereka tidak selesa dengan kelakuan saya yang dianggap melampaui batas sehingga menimbulkan pelbagai kritikan. Ketika itu, saya cuma menjalankan tugas seperti yang diminta pihak penerbitan.
“Awalnya, saya menganggap tingkah laku itu cuma perkara biasa tetapi akhirnya tersedar setelah bapa saya sendiri menghubungi mahu berjumpa dan menegur perbuatan saya.
“Antara tegurannya adalah jangan memperbodohkan diri sendiri kerana mentor lain yang terlibat dalam rancangan tersebut tidak melakukan perkara sebegitu. Saya juga dikatakan kelihatan seperti badut,” katanya tertawa mengenangkan situasi tersebut.
Akui bapa kepada Khaleef Dayyan, isterinya, Naquia Yasirah atau Cira pernah menasihatinya agar mengurangkan tingkah laku yang boleh mengundang rasa tidak senang penonton, namun teguran tersebut tidak dipedulikan.
“Selepas kejadian tersebut, saya akui lebih berhati-hati dalam setiap tutur kata dan tingkah laku. Tambahan pula sejak mempunyai anak, setiap perkara yang hendak dilakukan perlu mengutamakan keluarga.
“Begitu juga dengan gambar bersama keluarga di dalam Instagram. Saya masih berkongsi gambar tetapi tidak sekerap dahulu.
“Apabila terdapat gambar yang cantik, baru saya akan kongsi bersama peminat,” katanya yang ditemui semasa pelancaran album keduanya di Hotel Royale Chulan, Damansara baru-baru ini.
Album kedua
Berbicara tentang album yang diberi judul Black tersebut, jelas terpancar riak teruja pada wajah penyanyi itu. Ternyata penantiannya selama lima tahun berbaloi apabila semua lagu yang disenaraikan dalam album tersebut disifatkan sebagai karya yang memuaskan hati.
Memuatkan sebanyak enam buah lagu, sememangnya semua lagu tersebut begitu dekat di hati peminat, termasuklah Teman Pengganti, Puisi Sang Dewi, Mana Mungkin dan Takkan Terpisah.
Melihat pada senarai lagunya, album berkenaan bagaimanapun tidak lebih sekadar sebuah himpunan single terbaik Black.
Diasak persoalan tentang ketiadaan lagu baharu dalam album tersebut biarpun mengambil masa panjang untuk dizahirkan, dengan tenang Black menjawab: “Album terakhir saya adalah pada tahun 2011. Memang album ini mengambil masa lama kerana peminat lebih gemarkan single berbanding sebuah album. Bagaimanapun, album ini telah siap awal tahun lalu tetapi disebabkan kekangan masa ia terpaksa ditangguhkan.
“Diakui, memang tiada lagu baharu dalam album ini tetapi saya percaya ia masih sebuah koleksi yang berbaloi dimiliki, terutamanya peminat yang tinggal di luar banda.
“Peminat di kawasan bandar mungkin cenderung memuat turun lagu-lagu saya di dalam telefon tetapi untuk peminat di luar kota, album sebegini masih dianggap sebagai koleksi.”
Tambah menarik kata Black, album tersebut juga memuatkan VCD karaoke yang menampilkan klip video setiap lagu.
“Rasanya album dengan versi karaoke sudah lama tidak dibuat oleh penyanyi lain, jadi dengan adanya versi ini, rasa penantian selama lima tahun sangat berbaloi,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Single 2016
Sempat menambah, Black tetap tidak mahu membiarkan peminat setianya ternanti-nanti single baharu daripadanya. Sebagai janji manis, terdapat dua buah single baharu sedang dibikin untuk dilancarkan tahun ini.
Salah sebuah lagu berkenaan menampilkan ciptaan Omar K bertajuk Anugerah Terindah, manakala judul untuk sebuah lagi single masih dirahsiakan.
Selain itu, Black yang sebelum ini pernah mendendangkan lagu raya bertajuk Syukur Syawal bersama Dayang Nurfaizah akan menjalani semula penggambaran klip video lagu tersebut.
“Lagu tersebut akan mendapat sentuhan muzik yang lebih segar dan terkini.
“Kami juga akan menjalani penggambaran klip video lagu tersebut yang dijangka tayangannya menjelang perayaan Aidilfitri nanti,” jelasnya.
Black pernah lantang membalas setiap kritikan yang dilontarkan,
lebih-lebih lagi ketika gambar anak sulungnya diberi perumpamaan tidak manis suatu ketika dahulu, begitu juga dengan sikapnya yang dikecam menerusi Mentor Milennia. Namun, sesuatu telah berlaku kepadanya. Dengan hanya satu azimat berbisa daripada bapanya,
Black lantas mengambil keputusan untuk berubah sikap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan