• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ZIANA ZAIN RANCAK BERNIAGA DI BULAN RAMADAN


    MESKI pada awalnya tidak pernah merancang untuk terlibat dalam bidang perniagaan, penyanyi dan juga pelakon popular, Ziana Zain kini mengakui semakin serius dengan apa yang dilakukan.

    Menurut Ziana, perniagaan tudung Gee Shawl by Ziana Zain’sWorld yang mula diusahakan sejak hujung tahun lalu semakin mendapat sambutan.

    Walaupun belum setahun  jualan tudungnya sudah menunjukkan perkembangan positif sehingga dia perlu memberi tumpuan lebih serius bagi menjaga kepercayaan pembeli terhadap jenama shawlnya.

    Ziana yang hampir 30 tahun bergelar anak seni ini tidak mahu semata-mata bergantung kepada populariti untuk melariskan produk tetapi mahu membuktikan barangan berkualiti sahaja diterima pelanggan. 

    “Saya faham sebagai seorang selebriti, orang sering anggap produk laris dijual, tapi apalah ertinya kalau ramai yang merungut di belakang dan tidak puas hati dengan kualiti hingga akhirnya memberi kesan kepada reputasi kita," katanya yang membuka booth di The curve sempena Ramadan selain di Shah alam.

    Tidak kisah dengan persaingan selebriti lain, Ziana menegaskan kepuasannya bukan sekadar melihat larisnya tudung terjual, tetapi lebih kepada kegembiraan melihat peminat selesa berhijab.

    Justeru, dia kini sering berulang-alik ke India mencari material terbaik untuk penghasilan shawl jenamanya.

    Raikan Ramadan bersama anak dan suami

    Berkongsi sambutan Ramadan tahun ini, Ziana yang ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Raya dan Berbuka Puasa Bersama Ibu Tunggal di pusat membeli belah The Curve, Rabu lalu, mengakui melalui rutin serupa sebagai isteri dan ibu kepada empat anak.

    Walaupun sibuk dalam bidang perniagaan terutamanya  dua tiga minggu kebelakangan ini tetapi itu tidak membuatkan Ziana lupa kepada tanggungjawabnya yang memastikan rutin di rumah berjalan seperti biasa. 

    Kata Ziana lagi, sudah menjadi amalan mereka sekeluarga berbuka puasa di rumah sambil menikmati juadah yang disediakannya sendiri sepanjang Ramadan.

    “Memang dari dulu lagi saya dan suami lebih suka berbuka puasa bersama-sama di rumah dan kami  cuba terapkan kepada anak-anak. 

    “Saya jarang beli makanan di luar sebab sejak dulu saya memang suka masak dan sediakan sendiri menu pilihan suami dan anak-anak. 

    “Kalau ada urusan di luar atau majlis berbuka puasa yang perlu dihadiri, saya akan masak dulu  sebelum keluar agar hati senang dan tidak merasa bersalah meninggalkan mereka di rumah,” jelasnya.

    Dalam pada itu, ibu kepada Muhammad Aiman, 17, Muhammad Ammar, 14, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, 8, mengakui gembira melihat anak-anaknya teruja menyambut Ramadan.

    “Sebagai ibu saya sangat gembira bila anak-anak sibuk nak berpuasa, terawih dan sebagainya tanpa perlu kita suruh.   

    “Begitu juga dengan si kembar bongsu yang beria mahu berpuasa penuh sepanjang Ramadan walaupun kadang kala tak mampu," katanya.

    Bagaimanapun, katanya, dia tidak memaksa dan mahu mereka melakukan mengikut kemampuan diri.

    Sempena Ramadan ini juga, Ziana turut menyatakan sokongan kepada program Malaysia #QuranHour yang bakal menyaksikan bacaan al-Quran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putjaya pada 24 Ramadan ini.

    “Saya berharap peminat dan rakan-rakan dapat menyokong program ini yang bertujuan mendekatkan kita dengan  al-Quran yang menjadi panduan hidup kita sehari-hari.

    “Kita sama-sama doakan menerusi  penganjuran kali kedua program ini dapat menarik perhatian lebih ramai umat Islam untuk sama-sama meluangkan masa memanfaatkan kesempatan ini,” ujar Ziana.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan