Setelah lama membujang, Zamani Slam menyuarakan keinginan hatinya untuk menamatkan zaman bujang, suatu jawapan jujur yang tidak diduga menjadi yang terawal diungkapkannya saat ditanya mengenai perancangan hidup.
Kata vokalis berusia 44 tahun itu, dia mahu menjadi seperti orang biasa yang ada keluarga sendiri dan perancangan ini antara perkara yang mahu dicapai Zamani.
"Banyak perkara yang saya belum capai dalam hidup saya. Saya merancang untuk dapatkan perkara normal yang perlu ada dalam kehidupan manusia iaitu hidup berkeluarga," ujarnya.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada dirinya sudah memiliki calon yang layak menyambut hasratnya itu, Zamani berkata, dia tiada calon tertentu lagi untuk mendirikan rumah tangga.
"Jodoh tu di tangan Tuhan. Yang ada sekarang ni kawan-kawan adalah.
"Saya ni bukanlah terlalu memilih, cuma yang penting, boleh memahami kita sebaiknya," katanya lagi.
Apabila ditanyakan tentang semangat yang diperoleh untuk beralih jauh dari fasa hitam dalam lipatan sejarah dirinya, Zamani yang tenang menyusun ayat memberitahu, detik yang telah berlalu itu telah dia jadikan pengalaman yang patut dilupakan.
"Saya tidak berapa suka untuk bercerita lagi tentang kesilapan lalu dan biarlah ia dijadikan pengalaman hidup saya.
"Sebagai insan seni, saya masih hendak menyanyi. Jadi, saya kena fokus sebaiknya kepada karier saya.
"Kalau saya masih terbawa-bawa dengan apa yang pernah berlaku, saya takkan dapat meneruskan kerjaya saya," tambahnya.
Dalam pada itu Zamani memberitahu, Konsert Kurnia Slam yang bakal berlangsung 14 Mei ini di StarXpo Centre, Kenanga Mall (KWC), Kuala Lumpur menjadi satu ruang untuknya dan ahli Slam yang lain mengintai peluang untuk kembali aktif sebagai satu kumpulan.
Konsert ini adalah yang pertama kali menggabungkan semula kumpulan ini yang mana ahlinya telah membawa haluan masing-masing sejak 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan