• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    TERSELAMAT DARI HUKUMAN GANTUNG BUAT AIDIL AZIZ LEBIH MENGHARGAI KELUARGA


    Pelakon Aidil Aziz, 31, yang terselamat daripada hukuman gantung sampai mati atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis pada Disember 2016 akui masih ada segelintir pihak memandang serong terhadapnya.

    Bagaimanapun, Aidil atau Mohd Aidil Abdul Aziz berkata dia tidak boleh menyalahkan pihak terbabit kerana itu persepsi masing-masing.

    “Tidak dinafikan selepas dibebaskan sehingga sekarang, masih ada yang memandang serong. Saya tidak boleh salahkan mereka.

    “Bagi saya, apa yang mereka perkatakan adalah berdasarkan apa yang dibaca. Saya pula tidak ada hak untuk menghalang atau melarang mereka daripada terus bercakap.

    “Apa yang penting, keluarga dan orang terdekat tahu perkara sebenar. Pada masa sama, apa yang berlaku memberikan pengajaran cukup besar buat saya terutama soal berkawan,” katanya.

    Menurut Aidil, dia menganggap ada hikmah di sebalik semua yang menimpa dirinya.

    Selain menjadikan dia lebih bersyukur, Aidil juga semakin menghargai keluarga terutama ibu bapa tercinta.

    “Saya percaya, kalau kita jaga hubungan dengan Allah, Insya-Allah Dia menjaga kita juga. Sepanjang dua bulan berada dalam penjara banyak aktiviti dibuat. Paling penting, solat lima waktu dijaga dengan baik dan tidak melihat sebarang bentuk maksiat. Pendek kata, saya lebih banyak dekatkan diri dengan Allah.

    “Kalau di luar banyak dugaan. Apa-apa saja boleh berlaku. Jadi, saya anggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya. Allah nak ‘tegur’ saya supaya lebih ingat kepada-Nya.

    “Sepanjang dalam penjara, saya hanya fikir positif. Lagipun, ketika itu saya yakin tidak bersalah,” katanya.

    Masih ditawarkan berlakon

    Sepanjang meringkuk dalam penjara, Aidil berasakan hidupnya sudah musnah dan tidak ada masa depan.

    Namun, selepas reda dan ikhlas dengan segala dugaan, Aidil lebih tenang dan tidak lagi berasa tertekan.

    “Saya menangis dan keliru, malah banyak perkara bermain di fikiran. Apa akan saya jawab dengan keluarga? Bagaimana saya mahu berdepan dengan masyarakat? Saya tidak reda dengan takdir yang tertulis.

    “Ketika saya keliru, seorang hamba Allah datang dan memberitahu, saya tidak mungkin mampu menjaga hati semua orang. Dia berpesan, jangan lupakan Allah dan sentiasa jaga keluarga,” katanya.

    Beralih perjalanan kerjaya seninya, Aidil bersyukur dirinya masih diterima biarpun pernah dilanda kontroversi hangat.

    “Selepas dibebaskan, pihak stesen TV terus menghubungi saya untuk menawarkan berlakon. Namun, saya ambil keputusan untuk berehat dahulu dan meluangkan masa dengan keluarga.

    “Selepas enam bulan, saya dapat tawaran berlakon drama bersiri panjang Villa Ghazara. Drama ini menjalani penggambaran pada Ramadan tahun lalu. Kiranya, ini drama pertama saya selepas dibebaskan. Dalam perkara ini, saya sentiasa percayakan rezeki Allah,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan