• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    MISS UNIVERSE MALAYSIA TERINGIN NAK BERLAKON DRAMA MELAYU


    Sejak memenangi tempat kedua pertandingan berprestij Miss Universe Malaysia 2018 (MUM2018), kompas hidup Alexis Sue Ann berubah serta-merta. Banyak perkara baru dipelajarinya.

    Meski sudah berada dalam industri hiburan sejak beberapa tahun lalu, ia bukan bermakna pengacara dan sensasi YouTube berusia 23 tahun itu ada laluan mudah.

    Alexis mengakui penyertaan dalam MUM2018 banyak mengajar nilai baru dalam hidupnya malah ia pengalaman terindah pernah diraihnya.

    “Saya masuk pertandingan ini tanpa meletakkan harapan tinggi. Ketika itu saya hanya mahu memberikan persembahan terbaik selain menimba pengalaman baru.

    “Tidak sangka ia jadi jauh lebih indah daripada jangkaan saya. Bertemu dengan kawan baru dan peserta daripada pelbagai latar belakang membuka mata saya terhadap banyak perkara.

    “Ia bukan lagi satu pertandingan sebaliknya program kem pembelajaran. Persahabatan, gelak tawa dan ikatan yang terjalin antara kami sangat tinggi nilainya. Kini, saya merindui mereka,” katanya.

    Menurut Alexis, tahun ini dia ada perancangan merancakkan lagi karier seninya. Apa yang pasti, dia enggan berada di takuk lama dan mahu bergerak dengan lebih serius.

    Antara agenda utamanya adalah menembusi pasaran Melayu.

    “Sudah lama saya teringin beraksi dalam drama dan filem Melayu.

    “Selepas menang pertandingan ratu cantik, saya dapat banyak tawaran termasuklah berlakon.

    “Saya mengambil inisiatif untuk masuk kelas bagi memantapkan lagi penguasaan Bahasa Malaysia,” katanya.

    Sewaktu menyertai MUM2018, Alexis antara peserta yang cukup meyakinkan memandangkan dia lantang memperjuangkan kesedaran jenayah buli siber.

    Berikutan itu, ramai memuji usahanya sekali gus melayakkan dia memenangi pertandingan terbabit.

    Mengulas lanjut perjuangan itu, Alexis berkata dia akan terus menyuarakannya malah terbabit dengan beberapa projek berkaitan.

    “Jenayah buli siber satu isu yang sangat membimbangkan. Jika tidak dibendung ia akan jadi semakin buruk dan berpanjangan.

    “Jadi, penting untuk menyuntik kesedaran dalam diri orang ramai dan ia perlu dilakukan secara berterusan.

    “Sebenarnya sebelum masuk pertandingan lagi saya aktif memperjuangkan isu ini di pelbagai platform,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan