• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    SAIFUL APEK SELESA MELAKUKAN KERJA-KERJA KEMASYARAKATAN


    PELAWAK dan pelakon komedi Saiful Apek mengakui masih aktif dalam bidang seni meskipun kelibatnya di TV dan layar lebar kini jarang dilihat.

    Sibuk dengan kerja belakang tabir yang memerlukan dia turun padang bersama kru produksinya, Gitu-Gitu Production, Apek kini lebih selektif menerima tawaran.

    Kata Apek, sudah tiba masanya dia melakukan sesuatu yang berbeza selepas aktif beberap tahun lalu sehingga muncul dalam tiga filem berturutan selain sentiasa memenuhi undangan program televisyen.

    Apek juga mahu mencari peluang melalui produksinya dan banyak membuat perancangan untuk memberi sumbangan kepada industri serta tidak hanya menumpukan kepada lakonan dan lawak jenaka sahaja.

    “Dulu waktu bekerja dengan orang, kita tiada pilihan melainkan ikut konsep dan kehendak mereka, tapi bila ada produksi sendiri saya sebolehnya cuba buat sesuatu yang berbeza yang orang tidak pernah tengok saya buat," katanya.

    Terbaru, Apek tampil menjelajah seluruh negara menjejaki kumpulan buskers untuk berkongsi cerita melalui  program Buskers Bersama Saiful yang kini bersiaran di TV1.

    “Saya juga merancang menerbitkan beberapa program lain yang bakal menyaksikan sisi berbeza daripada yang biasa orang tengok sebelum ini,” katanya.

    Terbaru, ikon komedi ini juga bakal membuat kemunculan semula bersama kumpulan Senario yang pernah menaikkan namanya.

    Perancangan itu mengambil masa yang agak lama kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri.

    “Antara ahli Senario yang bakal kembali bergabung menerusi Senariounion adalah Wahid, Azlee, Yasin Hamdan, Ilya dan saya sendiri, cuma Lan Pet Pet saja yang tidak dapat bersama kerana terikat dengan perniagaannya.

    “Projek khas ini dibuat sebab permintaan peminat yang mahu kami kembali bergabung dan aktif dalam  lawak komedi sebagai mana kami lakukan dulu.

    “Anak-anak saya sendiri pun pernah meluahkan perkara yang sama kerana mereka juga rindu nak dengar lagu-lagu yang penuh motivasi daripada Senario dulu selain sitkom yang kami jayakan,” akuinya.

    Bantu haiwan terbiar

    Menurutnya, selain bakal tampil dengan sebuah mini album bersama Senariounion, mereka juga akan kembali dengan sitkom dan filem terbaru.

    Apek memberitahu, jika semuanya berjalan lancar, album yang memuatkan lima lagu itu akan menemui peminat penghujung tahun ini dengan mesej berguna selain untuk berhibur.

    “Selepas album ini dilancarkan, kami akan terus muncul dengan sitkom baru di mana ketika ini saya dan rakan-rakan sedang giat mencari platform sesuai menerusi perbincangan dengan beberapa pihak untuk merealisasikan perkara ini,” katanya yang penuh semangat.

    Dalam perkembangan lain, Apek juga semakin aktif dengan kerja sosial yang disifatkan sebagai minat baru atas dasar membantu mereka yang memerlukan.

    Apek membentuk satu komuniti baru dari aplikasi Bingo menerusi sesi sembang bersama peminatnya di medium tersebut.

    “Pada mulanya ia hanyalah sesi sembang biasa sahaja, tapi bila ada yang mula mengadu masalah dan minta pendapat tentang sesuatu perkara, lama-lama ia mencari satu ruang untuk kami saling menyokong dan membantu.

    “Saya banyak berkongsi kata-kata motivasi di medium tersebut membuatkan semakin ramai peminat yang berkumpul di situ dan saling bertukar pendapat membuatkan kami jadi saling menyokong dalam perkara yang positif walaupun tidak mengenali antara sesama.

    “Melihatkan respons itu juga, saya kini menyediakan slot khas untuk bersama mereka iaitu sebanyak dua kali sehari pada jam 5 hingga 7 malam dan jam 9 hingga12 malam untuk memudahkan kami berinteraksi  secara tetap,” katanya yang sering dijemput mengadakan perkongsian dalam program agama.

    Selain itu, Apek juga berkongsi aktivitinya bersama NGO menerusi kumpulan dinamakan Gitu Gitu untuk membantu haiwan terbiar.

    “Mungkin sebelum ini orang tidak terfikir tentang ini, namun bila melihatkan keadaan di sekeliling saya merasa terpanggil untuk membantu dan memberi ihsan kepada haiwan ini untuk diselamatkan.

    “Buat masa ini kami mulakan dengan kucing dan akan diikuti dengan haiwan lain termasuk anjing, di mana kami akan menempatkan beberapa sukarelawan di setiap negeri untuk memberikan makanan dan membantu dari segi perubatan kepada haiwan ini.

    “Alhamdulillah ramai yang memberi respons yang positif, malah ada yang beri dana sebagai tanda sokongan mereka untuk projek ini,” ujarnya teruja.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan