Pelakon Dayana Roza sebelum ini pernah dikaitkan dengan ahli sukan, Muslim Ahmad tetapi hubungan cinta itu tidak kesampaian.
Terbaru, pelakon dikenali melalui Asam Pedas Untuk Dia itu dikaitkan pula dengan ahli perniagaan.
Bagaimanapun, Dayana atau Nur Dayana Kamsun Baharin, 25, mengunci mulut. Baginya, selagi belum berkahwin, status solo masih menjadi milik penuh.
Katanya, dia susah hendak sayang orang lain tetapi kalau sudah jodoh tidak akan ke mana.
“Biarpun kedengaran klise, itulah kenyataannya. Masa sama, saya tidak boleh kata tidak kepada perkahwinan sebab sesiapa saja boleh menjadi jodoh saya.
“Masalahnya sampai sekarang tiada siapa pun yang mahu menyarung cincin di jari manis ini,” katanya ketawa.
Biarpun dalam nada berseloroh, Dayana yang pernah membintangi filem Apokalips X dan Zombi Kilang Biskut arahan Mamat Khalid rasa sedih setiap kali dapat jemputan kenduri kahwin rakan sebayanya.
Kebanyakan rakannya sudah mendirikan rumah tangga dan bahagia dengan pilihan serta pasangan masing-masing.
Kerana situasi itu, Dayana pernah terfikir untuk tidak memenuhi jemputan mereka.
Biarpun sedih, Dayana akui ibu bapa tidak pernah membebankannya dengan soalan berkaitan perkahwinan.
“Keluarga saya tidak pernah memaksa, terutama ibu saya yang sentiasa ‘cool’. Mereka ‘okey’ saja dan banyak menasihatkan saya untuk fokus saja pada kerjaya seni.
“Sebenarnya saya malas nak komen atau perbesarkan lagi soal cinta. Sesiapa saja jodoh saya, saya terima!” katanya ketawa.
Kata Dayana, sekarang dia sibuk dengan penggambaran drama bersiri Lara Aisyah untuk Astro. Disebabkan hal itu, banyak tawaran berlakon terpaksa ditolak kerana enggan bertembung dengan jadual penggambaran.
Katanya, dia tidak mahu timbul masalah lain jika terima lebih daripada satu kerja pada satu masa terutama isu disiplin.
“Sebaik saja tamat penggambaran Satu Cinta untuk RTM, saya fokus pada drama Lara Aisyah. Cuma sesekali saya cuba selit mengambil tawaran berlakon telefilem.
“Selebihnya, saya banyak menghadiri acara berkaitan hiburan dan promosi produk rambut yang saya baru keluarkan.
“Tawaran berlakon memang banyak tapi sebab bertembung dengan ‘job’ lain, saya terpaksa tolak dengan baik. Saya bukan jenis yang sapu bersih semua tawaran berlakon.
“Dalam tempoh tiga bulan ini, saya fokus pada bidang lakonan dan selepas itu mahu beri tumpuan kepada promosi produk,” katanya.
Dia juga berpendapat pihak produksi tidak sepatutnya terasa hati jika dia terpaksa menolak tawaran mereka.
Katanya, dia faham kemampuan dan komitmennya setakat mana. Jika ada tarikh bertembung, dia bimbang timbul masalah disiplin di masa depan.
Pelakon mirip wajah Scha Alyahya itu turut berpendapat, walaupun namanya kini makin dikenali, dia cuba hadkan masa dan jumlah tawaran berlakon.
“Ada juga pihak produksi memujuk untuk saya terima dan mahu selitkan watak ditawarkan mengikut jadual saya, tapi saya tak mampu.
“Contohnya, komitmen untuk Lara Aisyah. Baru habis blok pertama dan yang kedua akan bermula bulan depan,” katanya.
Aidilfitri ini Dayana hanya sempat berhari raya sehingga hari keempat bersama keluarga dan pada hari kelima dia perlu masuk semula ke set penggambaran.
Katanya, mujur kampungnya sekitar Lembah Klang sahaja terutama rumah nenek di Ampang, jadi tidak timbul masalah untuknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan