• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    PERNIAGAAN TUDUNG UQASHA LINGKUP?


    Menurut Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 24, dalam tempoh sembilan bulan perniagaan tudungnya dijalankan, dia hanya mendapat pulangan sebanyak RM5,000 sahaja walhal pada peringkat awal dijanjikan keuntungan sama rata. Sedar namanya dipergunakan rakan kongsi tersebut, Uqasha bertindak menarik diri.

    “Saya mengaku tidak tahu sangat tentang perniagaan. Ketika mula-mula ditawarkan untuk bekerjasama, pelbagai janji manis diberi, katanya ada agen di seluruh Malaysia, akhirnya janji tinggal janji. Saya hanya sedar ditipu apabila terdetik untuk memeriksa nama menerusi lesen perniagaan. Dalam lesen tersebut hanya terdapat namanya seorang sahaja.

    “Jika ditanya tentang keuntungan, saya hanya dapat RM5,000 sahaja selebihnya dia memberi alasan perniagaan rugi dan tidak balik modal. Disebabkan sibuk dengan penggambaran, jadi saya tiada masa untuk pantau perniagaan tersebut. Sekarang apa yang saya dengar, dia telah menghentikan perniagaan tudung itu. Saya memang kecewa sebab terlalu percaya kepadanya sehingga tidak memeriksa kontrak dengan betul sehingga perkara seperti ini berlaku” katanya yang turut menerima beberapa tawaran menjadi duta jenama tudung sebelum itu.

    Sungguhpun kecewa dengan apa yang berlaku, Uqasha reda dan menyifatkan ia sebagai pengajaran berguna untuknya pada masa depan. Namun itu bukan petanda dia perlu berputus asa dalam bidang perniagaan. Uqasha memberitahu dia merancang untuk muncul dengan jenama tudung terbaharu selepas ini.

    “Saya tidak kisah orang hendak bercakap apa pun tentang diri saya. Cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan membawa peguam atau penasihat apabila ada sebarang urusan perniagaan. Saya tiada pengalaman berniaga, jadi mudahlah orang hendak tipu,” ujarnya yang enggan mendedahkan pelaburan yang dibuat dalam perniagaan tudung jenama Uqasha Senrose Collection itu.

    Selain kisah ditipu rakan kongsi, Uqasha yang ditemui pada sesi fotografi sempena pelantikannya sebagai duta kempen Syukur Selalu baru-baru ini turut menarik perhatian media dengan penampilan terbaharunya yang kurus mendadak dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

    Kurus melidi

    Bintang drama Tundukkan Playboy Itu yang sebelum ini dikenali dengan wajah dan tubuh gebu kini tampil dengan tubuh kurus melidi, berwajah tirus dan berat badan hanya 44 kilogram (kg) berbanding sebelum ini pernah mencapai berat 57 kg.

    Bagaimanapun perubahan tersebut bukan kerana dia sakit mahupun mengamalkan diet yang ketat. Sebaliknya kata Uqasha kerana tiada rehat sejak November tahun lepas dan tertekan dengan kontroversi antara faktor penyumbang kepada perubahan penampilannya. Paling memberi kesan adalah penglibatannya dalam teater Ombak Rindu di Istana Budaya pada April lalu.

    “Bayangkan daripada tahun lalu sampai sekarang saya bekerja tanpa henti. Tidak cukup rehat dan tidur serta makan tidak terjaga menyebabkan saya kurus. Paling ketara ketika terlibat dalam teater Ombak Rindu. Disebabkan itu teater pertama dan bimbang dikritik orang ramai telah memberi tekanan cukup tinggi kepada saya sehingga tanpa sedar mengabaikan makan serta rehat.

    “Selepas ini saya tidak mahu memegang watak utama dalam teater kerana ia terlalu mencabar dan tidak mahu dera diri sendiri. Soal kontroversi pula, bohonglah jika ia tidak memberi kesan. Kontroversi memang mengganggu cuma perkara negatif saya tolak ke tepi,” katanya yang menegaskan tidak mengambil sebarang bahan terlarang untuk segera kurus.

    Menyentuh tentang perang dingin di laman sosial dengan pelakon Hafidz Roshdi, hero drama Tundukkan Playboy Itu, Uqasha menjelaskan isu tersebut telah tamat dan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan lelaki berkenaan.

    Isu yang bermula dengan dakwaan Uqasha di Twitter bahawa tunang Hafidz Roshdi (kini isterinya) cemburu dengannya kini hanya tinggal sejarah. Biarpun mendakwa sudah berbaik, namun kata Uqasha, tiada adegan bermaafan secara formal antara mereka berdua. Walaupun begitu, mereka harus bersikap profesional sementelah kedua-duanya dilantik sebagai duta kempen Syukur Selalu bersama Amar Asyraf, Fattah Amin, Fasha Sandha, Janna Nick dan Raja Afiq.

    Tolak rezeki

    “Saya tiada masalah dengannya. Tidak tahulah jika ada anasir luar yang masih bermasalah dengan saya. Dia tidak ada datang minta maaf, tetapi saya tidak kisah dan tidak perlu bermasam muka. Saya juga tidak ada masalah apabila mendapat tahu dia turut menjadi duta kempen Syukur Selalu,” kata Uqasha.

    Sambung kakak kepada Nelydia Senrose itu lagi, dia bersedia digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki pada masa depan termasuk bersama Hafidz Roshdi.

    “Jika diminta berlakon bersamanya, saya okey sahaja. Buat apa tolak rezeki gara-gara seorang pelakon ada masalah dengan saya. Jika bab kerja, saya sangat profesional. Terpulang kepadanya mahu terima atau tidak. Sebelum ini saya berlakon dengan mana-mana pelakon lelaki berstatus suami orang tidak pula menjadi masalah,” luahnya.

    Beralih bicara kepada pelantikannya sebagai duta kempen Syukur Selalu, Uqasha bersyukur kerana terpilih bersama barisan pelakon popular lain. Menganggap ia sebagai rezeki yang tidak boleh ditolak, dia akan menggunakan peluang sebagai duta untuk berbakti kepada masyarakat.

    Selain terlibat dalam iklan drama pendek Ramadan lakonan bersama Raja Afiq, dia juga akan turun padang bersama semua duta di empat lokasi promosi kempen Syukur Selalu iaitu di Bazar Syukur Selalu di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah (11 Jun) serta Angsana Johor Bahru, Johor (18 Jun). Bukan itu sahaja, dia juga akan turut serta dalam aktiviti Jom Masjid di Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar, Perak (22 Jun) dan Masjid Cina Al-Muttaqim, Krubong, Melaka (26 Jun).

    “Bagi saya ini peluang yang terbaik untuk bertemu peminat serta membuat amal jariah. Bukan setakat mempromosikan drama lakonan, kempen ini satu platform untuk saya lebih dikenali ramai. Sudah tentu saya akan memberi komitmen kerana bukan mudah untuk terpilih sebagai duta kempen Syukur Selalu dalam ramai pelakon yang ada,” jelas Uqasha yang akan muncul dalam drama Tundukkan Playboy Itu Raya.

    Pelakon kayu

    Bercakap tentang perkembangan kerjayanya, Uqasha kini sedang menjalani penggambaran drama Khabar Dari Casablanca bersama Remy Ishak. Drama 26 episod itu turut menjalani penggambaran di Maghribi selepas hari raya.

    Meskipun semakin kurus dan tiada rehat sepanjang Ramadan, Uqasha tetap akan sibuk di set penggambaran dalam sebuah drama yang masih tidak berjudul. Drama tersebut akan menggandingkannya bersama pelakon handalan, Adi Putra.

    “Alhamdulillah dalam kontroversi yang tidak pernah berhenti, masih ramai penerbit yang mempercayai bakat saya. Biar dilabel pelakon kayu dan dikaitkan dengan pelbagai kontroversi saya tidak kisah, sebaliknya berusaha untuk memperbaiki lakonan.

    “Bagi saya apa yang penting adalah niat dan keikhlasan ketika melakukan sebarang pekerjaan. Saya sedar ilmu dalam bidang lakonan terlalu cetek dan banyak yang harus diperbaiki untuk menjadi seorang pelakon berkaliber,” tuturnya menutup bicara.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan