• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    MEKAR BERKEMBANG SI AYDA JEBAT


    JIKA ditanya kepada mana-mana anak seni mengenai perkara yang paling diinginkan saat melakar karier ke peringkat yang lebih tinggi, sudah pasti jawapan yang diberikan berlingkar pada paksi kebebasan berkarya untuk mencari sisi kreatif tersendiri.

    Sifat universal yang ada pada lapangan seni membolehkan setiap pelakunya tampil dengan gaya berbeza dan bebas dalam mencorak laluan yang dipilih agar hasil akhirnya mirip menggambarkan diri masing-masing.

    Begitulah yang cuba untuk disampaikan oleh pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat apabila diminta mendefinisikan kelopak karier nyanyiannya yang kini sedang mekar berkembang.

    Menurut anak jati Melaka tersebut, baru atau lama, setiap pelakon atau penyanyi berhak melampiaskan sisi kreatif masing-masing agar karya yang terhasil mencerminkan hala tuju mereka dalam bidang yang diceburi. Setiap karya sepatutnya menggambarkan keperibadian seseorang penggiat seni.

    “Agak rugi jika sesebuah naskhah yang bagus itu digarap secara kosong, tanpa terisi elemen yang sepatutnya menjadi signatur seseorang artis itu sendiri untuk ditatap kalangan khalayak,” ungkap Ayda ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Pencuri Hati di Sri Damansara Club, Petaling Jaya baru-baru ini.

    Pendirian Ayda atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat terhadap kebebasan berkarya mula menebal selepas diberi kepercayaan menulis lirik bagi single perdananya, Siapa Diriku pada tahun lalu.

    Sejak percubaan pertama tersebut mendapat penerimaan positif peminat dan industri, jiwa kreatif Ayda cenderung untuk menumpahkan idea ke dalam setiap karya muzik yang ingin dinyanyikan. Justeru, tidak hairan jika pelakon telefilem Kubur Berdarah itu sekali lagi diberi peluang untuk menulis lirik single keduanya, Pencuri Hati.

    Mungkin sejak dari zaman sekolah lagi saya sudah terbiasa bergelar ketua kumpulan dan memberikan pendapat mengenai tugasan yang diberikan oleh guru.

    “Tidak sangka pula tabiat itu terbawa-bawa sehingga bergelar anak seni,” jelas Ayda yang sentiasa terbuka dalam menerima pandangan orang lain.

    Bercerita lanjut mengenai penglibatan kreatifnya dalam Pencuri Hati, Ayda berkata, lagu ciptaan Kevin Chin itu dihasilkan sekitar lima tahun lalu.

    Ketika pertama kali diberi peluang mendengarnya versi demo, Ayda memberitahu, banyak perkara yang dirasakan kurang sesuai dan perlu diubah mengikut selera pendengar masa kini.

    Pengaruh muzik dalam kalangan pendengar boleh diibaratkan seperti perubahan musim. Tidak semua lagu yang dicipta lima tahun lalu relevan untuk diperdengarkan hari ini.

    “Jadi, lagu Pencuri Hati telah diubah daripada segi lirik dan susunan muzik agar bertepatan dengan cita rasa saya dan pendengar,” ujarnya.

    Runut bunyi

    Sebelum Ayda membangunkan empayar muziknya menerusi lagu runut bunyi Siapa Diriku bagi drama bersiri M.A.I.D, pemenang anugerah Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-27 itu terlebih dulu pernah merakamkan beberapa buah lagu untuk kegunaan drama dan filem.

    Antaranya termasuklah Cinta Lara untuk filem Gila-Gila Remaja 2 dan Sinaran (Sinaran). Masih mengekalkan strategi pemasaran yang sama, lagu Pencuri Hati turut dijadikan sebagai lagu tema drama bersiri komedi baharu, Isteri VS Tunang.

    Walaupun lagu-lagunya kerap dijadikan penyeri naskhah drama dan filem tempatan, Ayda berpendapat, ia bukanlah satu kebetulan yang mengganggu perjalanan seninya.

    Malah, pilihan untuk meletakkan singlenya sebagai lagu runut bunyi dianggap relevan dan sesuai dengan kelompok kumpulan peminat.

    Ramai yang mendakwa, lagu-lagu tersebut digemari ramai kerana saya mempunyai ramai peminat. Itu tidak benar sama sekali. Bagi saya, setiap penyanyi mesti tahu cara untuk memasarkan lagu dan mengenali kelompok peminat masing-masing.

    “Saya tidak kisah jika lagu-lagu saya dijadikan runut bunyi. Saya sedar, tidak semua orang memandu kereta sambil mendengar radio. Tidak semua orang menonton televisyen. Jadi, apabila lagu saya dimainkan dalam dua medium yang berbeza (radio dan televisyen) saya mampu memecahkan pasaran kepada dua cabang peminat secara seimbang,” ujarnya panjang lebar.

    Menyedari hakikat bahawa populariti lagunya banyak dipengaruhi oleh sambutan drama, Ayda berkata: “Kadangkala, lagu menjadi popular disebabkan drama. Ada juga drama yang ditonton kerana lagu runut bunyi berkualiti.

    “Peluang ini digunakan sebaik-baik mungkin,” jelasnya jujur.

    Pilih hero

    Sejak membina nama sebagai pelakon di kaca televisyen, Ayda kerap melakonkan watak menerusi naskhah bertemakan komedi. Ironi, naskhah yang bertanggungjawab menaikkan namanya sebagai seorang pelakon, Rindu Awak 200%, juga merupakan drama bergenre komedi.

    Walaupun selesa melakonkan watak-watak ringan, Ayda tetap mendambakan karakter serius yang boleh memberikan dimensi baharu terhadap karier lakonannya.

    Sebelum memilih sesebuah karya, banyak aspek yang saya lihat termasuk jalan cerita, syarikat produksi dan jangkaan tarikh tayangan.

    “Nampak remeh, tetapi perkara tersebut banyak membantu melancarkan proses promosi sesebuah naskhah yang dilakonkan,” ujarnya yang lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti dalam kerjaya lakonannya.

    Selain drama Menongkah Kasih yang menampilkan sisi berbezanya sebagai seorang pelakon air mata, Ayda kini sedang menunggu masa untuk masuk ke lokasi penggambaran filem sulungnya, Pinjamkan Hatiku yang dijadualkan bermula pada bulan Mac depan.

    Istimewanya, walaupun merupakan naskhah pertama Ayda sebagai pemain filem, dia diberi kebebasan oleh Osman Ali selaku pengarah untuk memilih dua pelakon pembantu yang akan bergandingan dengannya.

    Mungkin ramai yang berpendapat bahawa saya sudah besar kepala sehingga boleh memilih pelakon lelaki yang sesuai.

    “Sejujurnya, saya memerlukan gandingan yang lebih senior kerana saya tiada sebarang pengalaman dalam lakonan filem,” ujar Ayda.

    Melihat pada sokongan yang diterima sepanjang kariernya, Ayda boleh dikatakan bertuah kerana dikelilingi peminat yang sentiasa memberi aura positif.

    Dikenali sebagai Ayda Jebat Screamers (AJS), gerombolan yang sentiasa mengikuti perkembangan Ayda itu tidak pernah lelah dalam melaungkan sokongan terhadap artis kegemaran mereka, walau apa pun cabang seni yang dicuba.

    Peminat

    Sentiasa dekat dengan peminatnya, akui Ayda, tanpa kehadiran penyokong di sisi pastinya dia tidak tahu di mana kedudukannya sekarang. “Tanpa mereka, saya tiada tempat di sini. Sebab itu, sebagai tanda terima kasih, salah satu cara saya menghargai peminat adalah dengan meletakkan akronim AJS dalam lagu Pencuri Hati,” katanya.

    Ditebak dengan soalan adakah peminatnya akan menjauhkan diri dan enggan menerima kenyataan jika dia bakal mendirikan rumah tangga kelak, Ayda berkata, perasaan sayang itu satu perkara yang positif dan perlu ada pada setiap orang.

    Cuma, apabila melibatkan hal privasi, dia percaya peminat akan dapat memahami.

    “Insya-Allah, saya tetap akan menjadi diri sendiri, walaupun telah mendirikan rumah tangga satu hari nanti,” tutup Ayda.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan