• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    DATUK VIDA TOLAK UNSUR KHIANAT


    Pengasas syarikat Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman berkata, beliau hairan mengapa isu mengenai kandu­ngan produk keluaran syarikatnya baru timbul sekarang sedangkan bahan kosmetik itu telah berada di pasaran sejak lebih dua tahun lalu.

    Dr. Vida Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mengambil perkara positif di atas apa yang berlaku serta cuba menyelesaikan sebaik mungkin.

    “Saya tidak mahu komen apa-apa tetapi kenapa isu ini timbul sekarang? Produk itu pun sebenarnya telah lebih dua tahun di pasaran,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

    Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan Qu Puteh White­ning Pro 9 dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan di dalam kosmetik dan mengarahkan syarikat Vida Beauty menarik balik produk itu dalam tempoh 72 jam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, arahan itu berikutan produk tersebut mengandungi merkuri pada paras tinggi yang boleh memberi kesan berbahaya kepada pengguna dalam tempoh tertentu.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan wujud pihak tertentu yang berniat jahat dan cuba mensabotaj syarikat dan dirinya, Dr. Vida berkata, dia menolak perkara tersebut sebaliknya cuba mencari penyelesaian terbaik.

    Katanya, populariti mendadak yang diterima sejak menaja rancangan realiti, Gegar Vaganza musim kedua bukan penyebab kepada perkara itu berlaku, sebaliknya dia menganggap isu tersebut sebagai dugaan dalam perniagaan.

    “Saya tak rasa begitu (ada pihak yang cuba menjatuhkannya) kerana tidak mahu benda kecil seperti ini menggugat perniagaan. Inilah harga sebuah kejayaan.

    “Saya bersyukur kerana banyak pihak memberi sokongan moral terhadap ujian yang melanda dan meng­anggap perkara ini ada hikmahnya dalam memperjuangkan apa yang saya usahakan selama ini,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan