• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    BAHAGIAN YUS JAMBU TETAP ADA - KOBIS PEDAS


    Biarpun Yus Jambu tidak lagi bersama kumpulan Kobis Pedas, hadiah kemenangan sebagai pemenang program Juara Parodi musim pertama yang diperoleh Jumaat lalu, tetap akan dibahagikan sama rata.

    Dua lagi anggota Kobis Pedas, Tauke dan Misha Omar, tidak pernah lupa kepada Allahyarham Yus Jambu yang meninggal dunia pada hujung November ekoran serangan jantung. Yus sempat berjuang bersama-sama Tauke dan Misha selama empat minggu terawal dalam program tersebut.

    Tauke dan Misha dilihat mengalirkan air mata sewaktu diumumkan sebagai juara yang sekaligus membawa pulang wang tunai RM300,000. Bukan itu sahaja, Kobis Pedas turut menerima hadiah wang tunai RM25,000 selepas memenangi kategori pilihan SMS.

    “Kemenangan ini membawa makna besar kepada kami kerana sepatutnya kejayaan ini dirai bersama Yus. Biarpun dia tiada, bahagiannya tetap ada. Tentunya kami akan membahagikan duit ini kepada Yus juga, bagi kami ini adalah sesuatu yang wajib dilakukan. Malah saya dan Misha sendiri akan uruskan bahagian duit Yus ini untuk disumbangkan kepada badan-badan kebajikan,” katanya.

    Dalam pada itu, Tauke juga sudah bersedia menerima komen atau cakap-cakap orang yang tidak berpuas hati dengan kemenangan mereka. Kata Tauke, jika benar ada yang mahu mengatakan kemenangan mereka ini adalah atas dasar simpati, dia dengan berbesar hati menerimanya.

    Jika benar kami menang kerana simpati saya tetap mahu ucap terima kasih kepada penonton. Bagi saya itu hak mereka untuk mengatakan demikian, tetapi perlu saya beritahu, memenangi pertandingan ini bukan sahaja impian saya tetapi juga arwah Pak Yus.

    “Bagaimanapun untuk berasa bersalah, saya rasa tidak perlu memandangkan peserta-peserta lain lebih faham dengan apa yang berlaku,” katanya.

    Sementara itu, Misha juga tidak merasakan kemenangan ini hanya layak diraikan mereka berdua sahaja. Melihat semangat yang pernah diberikan Yus kepadanya sebelum ini, dia yakin kemenangan ini layak dikongsi bersama peminat Yus.

    “Sewaktu kami diumumkan sebagai juara, saya dapat rasa dia begitu dekat dengan kami. Tiada apa yang lebih gembira untuk meneruskan apa yang diperjuangkan dia sebelum ini,” katanya.

    Sementara itu, pentas akhir program ini juga turut memperlihatkan pertaruhan kreativiti empat kumpulan lain iaitu, Abang Face, Juri, Righthanded dan Selamba Blur.

    Berkonsepkan realiti komedi muzik program ini menampilkan gabungan penyanyi popular dan pelawak dalam satu kumpulan. Setiap peserta perlu menukar lirik lagu kepada komedi mengikut genre yang ditetapkan.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan