• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    MENGAPA VANIDAH IMRAN MENYEPI?


    ARUS sungai tidak selalunya dibanjiri hiliran air yang mengganas. Terkadang, bila tiba masanya, hanya aliran air yang lembut dan tenang membelah damparan batu-batuan di dasar sungai.

    Begitu diibaratkan dengan aliran hidup aktres popular Vanidah Imran yang dianggap sedikit membungkam kaku, walaupun ironi, kewujudannya dalam dunia hiburan masih ada.

    Biarpun gerakan kariernya berjalan perlahan ketika ini, Vanidah sebenarnya masih ligat menabur bakat dalam dunia lakonan, terutamanya fokusnya kini tertumpu dalam bidang persembahan teater.

    “Siapa cakap saya menyepi. Alhamdulillah, walaupun tidak seligat pelakon lain, tetapi Tuhan masih mengasihi dengan memberi rezeki lakonan yang menjadi punca utama periuk nasi saya,” ujarnya membuka butir bicara menjawab perihal ‘kesamarannya’ dalam industri seni pada masa kini.

    Memilih biar kena pada tempat dan dasarnya, itu prinsip yang dipegang aktres yang pernah menggondol Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007 itu.

    “Ada banyak kriteria yang saya letakkan sebelum menerima sesuatu produk. Daripada segi watak, pengarah dan tentu sekali penulisan skrip yang menjadi kayu ukur dalam menentukan timbul dan tenggelamnya wajah saya dalam industri pada masa ini.

    “Selektif itu perlu kerana daripada situ saya boleh dapatkan produk yang terbaik, sekali gus memberi kepuasan tidak hanya kepada diri sendiri bahkan kepada penonton amnya,” jelasnya yang baru sahaja selesai mementaskan teater Tambo Keramat di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

    Jika terpaksa memilih antara dua, kerjaya atau keluarga, Vanidah lebih rela mengutamakan keluarga. Sementelah, selain keluarga, ada satu lagi tanggungjawab besar yang dipikulnya iaitu pelajaran.

    Selain kerja lakonan yang terus menjalar, Vanidah baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kuala Lumpur pada September lalu.

    “Selain selektif dengan kriteria produk, kekangan masa juga menjadi sebab mengapa saya memperlahankan sedikit rentak karier.

    “Tetapi, sekarang sudah tentu peranan sebagai ibu dan isteri menuntut saya untuk mengorbankan sedikit ruang dalam bidang lakonan. Kalau suami bekerja, sayalah yang akan menjaga urusan rumah tangga dan sebaliknya,” ulasnya yang kini memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke tahap Doktor Falsafah pula.

    Pesanan

    Sebagai pemain yang boleh dikira senior dalam industri, Vanidah punya pandangan sendiri apabila ditanya tentang fenomena industri seni kini seakan-akan lesu dan kehilangan sesuatu.

    “Saya tidaklah pandai untuk memberi pesanan atau pandangan kepada generasi baharu pada hari ini. Cuma, apa yang saya tahu, zaman saya mula bertatih dalam industri merupakan tempoh yang sangat sukar. Seseorang pelakon itu perlu ada ilmu untuk jadi pembawa watak yang disegani.

    “Waktu itu saya bekerja keras untuk menjadi seorang pelakon yang bagus. Menjalin hubungan rapat dengan pelakon senior juga sangat penting sebab daripada situ saya boleh gali ilmu lakonan daripada mereka.

    “Untuk berada dalam kelompok nama-nama besar seperti Noorkumalasari, Sofea Jane, Azean Irdawaty, Ida Nerina dan Ogy Ahmad Daud bukannya mudah. Sebab itu saya tidak serik menimba ilmu lakonan sebab pada zaman saya, seorang pelakon yang bagus berlandaskan kepada ilmu lakonan yang hebat,” ujarnya panjang lebar.

    Melontar pesanan ‘makan dalam’, Vanidah meniupkan rasa dukacitanya dengan situasi bakat baharu kini yang dilihat kurang gemar meluangkan masa ke kelas lakonan, sebaliknya mendabik dada dengan tahap lakonan yang tidak seberapa.

    “Saya tidak katakan semua, cuma ada segelintir pelakon yang sebegitu. Generasi pelapis jangan bergantung kepada rupa paras semata-mata atau sekadar bersandarkan jumlah ‘like’ di Instagram ataupun Facebook, mereka sudah rasa diri cukup bagus.

    “Sedangkan masih banyak ilmu yang perlu digali. Kita menjadi perantara kepada masyarakat, jadi sebelum menyampaikan sesuatu kita perlu ada ilmu yang cukup.

    “Seorang pelakon yang berilmu akan tahu bagaimana mencari jalan meningkatkan tahap lakonan kepada aras yang lebih baik,” ujar aktres filem Perempuan Melayu Terakhir itu tegas namun bersahaja.

    Ikon

    Bercakap tentang kelangsungan kariernya, terkini Vanidah dilantik selaku ikon kepada sebuah program realiti terbaharu terbitan TV3, Clever Girl yang akan memulakan siaran pada Januari tahun hadapan.

    Baginya, meskipun pembabitan dalam program itu hanya sebagai ikon, namun dia berharap agar peranannya sedikit sebanyak mampu memberi input berguna kepada peserta yang terpilih kelak.

    “Sejujurnya saya sangat mengharapkan agar program seperti ini mampu membawa dimensi baharu dalam rancangan realiti di Malaysia. Sebab ia bukan sekadar rancangan realiti yang kosong, tetapi mahu mencungkil bakat dan kebijaksanaan para wanita di luar sana.

    “Bagi saya, cantik itu subjektif. Apa yang kita lalui dalam hidup ini juga sebenarnya banyak mempengaruhi kecantikan rohani dan fizikal. Bagaimana wanita menangani perkara itu menjadikan mereka sebenar-benarnya cantik dan bijak,” tegas Vanidah.

    Sesi uji bakat pencarian Clever Girl kini sedang dijalankan di beberapa lokasi di seluruh negara bagi mencari gadis yang mempunyai kebijaksanaan, perwatakan menarik dan kuat daripada segi mental serta fizikal.

    Pencarian peserta yang berminat menyertai program terbaharu itu akan dipilih menerusi online berdasarkan video yang dimuat naik ke laman sosial dengan hashtag #CleverGirl. Calon yang terpilih akan dipanggil untuk sesi temu duga pada 12 Disember hingga 16 Januari depan.

    Seramai 28 peserta yang berjaya disenaraipendek akan dipanggil untuk saringan temu duga pada 16 Januari nanti, sebelum layak bergelar peserta tetap yang bakal berentap pada episod pertama bermula 26 Januari tahun hadapan.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan