BUKAN kecil kontroversi yang melanda pasangan suami isteri ini. Bayangkan suaminya dituduh bermain kayu tiga. Terdedah dan tersebar di laman sosial pula tu. Kalau silap langkah pasti ada keputusan berat yang akan dibuat. Bagaimanapun melihat cara Almy Nadia mengawal apa yang berlaku menunjukkan dia adalah seorang isteri yang memiliki tahap kesabaran yang cukup tinggi.
Menelan satu demi satu gosip yang timbul, apa sebenarnya rahsia pelakon ini untuk kekal dalam emosi yang terkawal? Tidak mahu diletakkan dalam liga yang berbeza daripada isteri-isteri solehah lain, kata Almy, sebagai manusia biasa dia juga mempunyai sifat marah. Namun dalam masa yang sama, dia sering mendahulukan suami sebelum melakukan apa-apa keputusan, itu cara dia.
“Jika masih anak dara, saya tidak perlu meminta izin sesiapa untuk menjawab setiap soalan yang akan ditanya media. Bagaimanapun selepas berkahwin saya meletakkan suami sebagai penapis untuk setiap jawapan yang diberikan.
“Tipulah saya tidak marah contohnya kontroversi baru-baru ini, tetapi saya ambil keputusan untuk berbincang dengan suami saya dahulu. Saya dengar apa yang akan diperkatakan dia, dan fahami situasi sebenar. Bila berada dalam keadaan itu baru saya faham apa kedudukan sebenar Fizz ketika itu,” katanya.
Tidak kisah apa orang luar mahu menggelarkan dirinya, Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, beranggapan, sebagai isteri, dia mesti mendengar kata suami, bukan orang luar.
Apa yang membuktikan dia kini cukup percaya dengan Fizz Fairuz adalah sikap lelaki itu sendiri yang cukup bertanggungjawab kepada keluarga kecil mereka.
“Orang tengok saya sabar, sebenarnya apa yang berlaku saya cuba untuk tidak mendengar kata orang. Sebab orang akan bercakap macam-macam, tetapi bila kita berada dalam kesusahan, mereka tidak akan berada di situ yang akhirnya kita sahaja yang akan hadap.
“Sebab itu saya tidak mahu dengar kata-kata orang, selain kata suami. Kita kenal suami kita macam mana. Kenapa saya perlu meletakkan rumah tangga dalam keadaan goyah sebab orang lain juga?” tanya Almy dengan jujur.
Sejak sebelum berkahwin lagi pasangan ini sudah melalui pelbagai dugaan. Apa yang dilalui mereka sewaktu bercinta menyebabkan Almy sangat berhati-hati dalam menerima apa sahaja yang disogokkan orang luar.
Tambahnya antara perkara wajib yang perlu dia lakukan kalau ada kontroversi lagi adalah menyelesaikan segala permasalahan di rumah dan bukan di luar.
“Kami berdua artis, jadi memang kalau ikutkan kontroversi itu perkara biasa. Sebab itu saya tahu, apabila suami yang terlibat dalam sesuatu isu, pasti pihak media akan cari saya juga. Saya sudah bersedia soal itu. Namun untuk mendengar kata orang luar dan membuat keputusan, itu bukan diri saya.
“Rutin kami kalau berlaku apa-apa, saya akan minta dia berada di rumah dan selesaikan permasalahan itu dahulu secara bersemuka. Sebagai suami Fizz memang lakukan perkara ini, dan saya sangat menghormati dia dalam mengelakkan isterinya berdosa dengan dia sendiri,” katanya.
Bercerita mengenai rahsia hati, Almy tidak menolak pasti sedikit sebanyak dia ada rasa kecewa apabila nama suami dikaitkan dengan kisah panas.
“Kalau ikut rasa hati, semuanya juga akan kucar-kacir. Tetapi saya kekal dengan prinsip untuk menimbang perkara ini dengan perasaan paling tenang. Saya tidak mahu terus melayan perkara yang tidak menguntungkan kami. Kalau mahu teruskan menjadikan perkara ini panjang dan terus bermasalah, memang boleh buat, tetapi saya fikirkan soal maruah orang lain.
“Normal sebenarnya sebagai isteri kita akan sakit hati kalau perkara sebegini timbul. Malah sewaktu berbincang dengan suami juga, sukar mahu digambarkan keadaan saya ketika itu. Sebab itu kalau boleh para isteri di luar sana, percayakan suami dahulu bukan orang luar. Dan saya, saya sepenuhnya percaya bahawa suami sendiri,” katanya.
Gemuk atau selekeh, tetap sayang
Bila muncul kontroversi yang mengaitkan Fizz cuba berlaku curang baru-baru ini, ada yang mengaitkan fizikal Almy sebagai sebab dia berpaling arah. Menolak perkara ini sekeras-kerasnya, kata si suami pula, tiada sebab untuk dia menggadai kebahagiaan keluarga untuk sesuatu perkara yang tidak berbaloi.
“Dia adalah ibu kepada zuriat saya, kenapa saya perlu memperjudikan kebahagiaan kami sedangkan kami berada dalam fasa yang sangat gembira kini.
“Saya tidak kisah gemuk atau selekeh, walau apa juga keadaannya yang pasti dia adalah isteri yang saya cintai. Almy adalah yang terbaik buat diri ini,” katanya.
Bercakap soal kontroversi yang berlaku baru-baru ini dengan seorang pelakon baharu, Fara Mendoza, kata Fizz sebagai seorang pelakon dia yakin kontroversi bukan perkara baharu untuk dihadapi. Malah, dia cukup jelas dan tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang diceritakan pihak satu lagi kepada umum.
“Bila ada yang cuba ambil kesempatan ke atas saya, memang perkara pertama yang saya lakukan adalah bertenang. Bercakap soal kontroversi sebagai artis ia tidak akan habis, sebab itu orang pertama yang saya mahu jelaskan adalah kepada isteri dahulu.
“Jika benar salah, sudah lama saya lari sahaja daripada bertemu media atau sesiapa. Tetapi saya tidak ada kena mengena seperti yang dikatakan, sebab itu saya menjawab setiap persoalan dengan jujur,” katanya tegas.
Cuba meneka hati seorang lelaki soal poligami, kata Fizz, dia perlu faham kemampuan sendiri. Malah jelasnya jika benar dia mampu bertemu seorang yang lebih baik daripada Almy ada perkara lain yang akan dinilai dahulu.
“Kalau mahu, saya perlu bertemu seseorang yang jauh lebih baik daripada Almy, tetapi kini dia sudah sempurna di mata saya. Merupakan ibu terbaik kepada zuriat saya dan isteri yang cukup menghormati seorang suami.
“Satu lagi yang perlu saya faham, kemampuan saya sendiri. Orang kata cermin diri dahulu. Sebab itu saya terkejut dan marah bila ada khabar angin yang tidak benar,” katanya ringkas.
Kurus demi suami
Sejak melahirkan anak pertamanya Nur Afriana Ariana, sembilan bulan lalu, ternyata fokus Almy kini adalah untuk kembali mendapatkan bentuk tubuhnya seperti sebelum ini. Tidak menolak usaha ini dibuat demi suami, kata Almy, sebagai isteri dia percaya untuk kekal menarik kepada suami adalah salah satu kunci kebahagiaan mereka.
“Ikutkan Fizz tidak pernah menyuarakan apa-apa tentang hal badan saya. Malah dia sangat faham sebab saya naik berat badan adalah pengorbanan dalam memberikan susu badan kepada anak kami juga.
“Namun itu sebenarnya tidak boleh jadi sebab untuk saya selesa dan membiarkan sahaja berat badan begini. Melihat semua usaha disokong baik suami, saya yakin untuk terus cantik demi dia,” katanya.
Mahu berusaha untuk kurus tanpa tekanan, Almy enggan mengambil pusing kutukan dan kata-kata menyakitkan hati orang di sekeliling. Malah katanya ada suatu ketika dia berasa kecil hati dengan diskriminasi orang dalam industri sendiri terhadap fizikalnya.
“Memang saya mahu berusaha untuk kurus, tetapi cara saya adalah untuk kurus tanpa bantuan ubat atau perkara-perkara yang membahayakan kesihatan. Sebab itu saya tidak kisah usaha saya ini ambil masa yang jauh lebih lama.
“Cuma memang agak terkilan sebenarnya untuk mengetahui tawaran lakonan kini tiada disebabkan fizikal saya. Bagaimanapun saya yakin dengan perniagaan yang dilakukan bersama suami sedikit sebanyak membantu urusan ekonomi keluarga kami,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan