Tanggal 21 Disember lalu, genap setahun pelakon Keith Foo dan isterinya, Kim Raymond Foo sah bergelar suami isteri selepas mendaftar perkahwinan mereka di Kuala Lumpur.
Ramai selebriti yang hilang populariti selepas berumah tangga. Namun begitu, pelakon berusia 32 tahun ini punya pendapatnya yang tersendiri.
“Bagi saya, perkahwinan tidak mengganggu populariti seseorang artis. Lagi pula, setiap orang akan berkahwin. Kalau peminat sukakan kita, mereka akan terus menyokong walaupun sudah berkahwin.
“Populariti bergantung kepada disiplin dan hasil karya seseorang artis. Kalau kita berikan hasil kerja yang terbaik, mereka akan tetap sokong kita,” katanya.
Keith juga bersyukur kerana dia dan isterinya disenangi ramai peminat.
“Ramai juga yang mula mengenali isteri saya. Tidak menjadi masalah sekiranya isteri saya lebih popular berbanding saya,” katanya.
Bergelar suami, Keith mengakui tidak banyak perbezaannya berbanding sebelum bergelar suami.
“Kami mengenali satu sama lain sejak hampir 14 tahun lalu. Cumanya, selepas bergelar suami, perasaan cinta dan sayang itu bertambah kuat,” katanya.
Bagi berkongsi rasa bahagianya bersama peminat dan rakan media, pelakon berusia 32 tahun ini memaklumkan, dia dan isteri merancang untuk mengadakan majlis resepsi pada Februari atau Mac tahun hadapan.
“Majlis resepsi untuk keluarga sudah diadakan. Untuk peminat dan rakan media, saya dan Kim merancang untuk mengadakannya secepat mungkin.
“Kalau tiada aral melintang, majlis resepsi itu akan diadakan pada Februari atau Mac tahun hadapan, selepas saya selesai dengan penggambaran di Indonesia,” katanya.
Ditanya mengenai ‘perkahwinan rahsia’ itu, Keith memohon agar semua peminat dan media untuk menghormati privasinya.
“Bagi saya, hal ini adalah peribadi dan tidak penting untuk dihebahkan. Setiap orang ada perkara yang boleh dikongsi dan ada yang disimpan untuk privasi sendiri.
“Apa yang penting adalah bagaimana kita membahagikan antara kehidupan profesional dan peribadi. Tiada apa lagi yang ingin saya sembunyikan kerana Kim pun sudah menjadi isteri saya,” katanya.
Keith juga turut memohon maaf sekiranya tindakannya itu membuatkan beberapa pihak terasa hati.
Diminta mengulas mengenai perancangan keluarga, Keith dalam nada teruja memaklumkan dia memang sukakan kanak-kanak dan inginkan anak secepat mungkin.
“Saya tidak kisah kalau dapat anak lelaki atau perempuan. Kalau ada, adalah kerana anak itu anugerah Tuhan. Lagi pula saya memang sukakan kanak-kanak,” katanya.
Terbaru, filem lakonannya, Langit Cinta arahan Osman Ali akan mula menemui peminat di pawagam bermula 7 Januari akan datang.
Mengenai lakonannya, Keith meminta supaya peminat tidak hanya memberikan kritikan positif sebaliknya turut memberikan komen negatif untuk membantunya memperbaiki lakonan.
“Kritikan negatif juga penting kerana saya perlukan itu untuk membantu mempertingkatkan lakonan saya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan