Suasana pilu menyelubungi Teater Shah Alam pada Ahad lalu ketika berlangsungnya program secara langsung Juara Parodi: Pak Yus Dalam Kenangan. Kesedihan itu turut dirasai hampir 1,000 penonton yang hadir.
Program tribute yang juga ditayangkan di saluran Astro Warna dan Mustika HD itu diterbitkan bagi memperingati Allahyarham Pak Yus, 39, atau nama sebenarnya Yussry Edoo yang meninggal dunia awal pagi Isnin lalu akibat sesak nafas.
Penerbitnya, Afdlin Shauki meluahkan rasa bersyukur kerana diberi ruang oleh pihak Astro untuk berkongsi rasa rindu mereka selepas pemergian Allahyarham yang juga ahli kumpulan Kobis Pedas dalam program itu.
Saya mewakili barisan peserta Juara Parodi mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Astro kerana memberikan sedikit ruang buat kami untuk memperingati arwah.
“Rasanya tidak pernah berlaku dalam sejarah, ada sebuah program secara langsung untuk memperingati kehilangan seorang selebriti. Jadi, sekurang-kurangnya, kami dapat berkongsi kisah suka dan duka sepanjang perkenalan dengan arwah.” katanya.
Dua ahli kumpulan Kobis Panas yang lain, Tauke dan Misha Omar bagaimanapun tidak mahu ditemu bual media.
“Saya faham apa yang mereka rasakan sebagai ahli kumpulan. Saya juga pernah mengalami pengalaman yang sama apabila Allahyarham Harun Salim Bachik meninggalkan kita semua pada Mac lalu,” kata Afdlin.
Pada acara itu, penonton disajikan dengan tazkirah ringkas oleh PU Taha dari Pencetus Ummah musim ketiga dan dendangan lagu Pergi Tak Kembali oleh kumpulan Rabbani.
Barisan peserta program Juara Parodi juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi kenangan serta pengalaman mereka bersama Allahyarham menerusi dendangan lagu berunsur ketuhanan serta deklamasi sajak.
Antara persembahan yang paling menyentuh hati adalah deklamasi puisi nukilan Azlee Senario berjudul Sahabat, berkisar mengenai pengalaman dan kenangannya sepanjang mengenali Allahyarham.
Turut ditayangkan beberapa video ucapan takziah dan terima kasih daripada badan kebajikan serta sekolah yang pernah menerima sumbangan daripada Allahyarham Pak Yus ketika hayatnya.
Seorang pelawak yang rapat dengan Allahyarham, Ajak Shiro berkongsi kenangan yang paling tidak boleh dilupakan bersamanya.
Pak Yus kalau dia datang, dia akan senyap-senyap dan tanpa kita sedar, dia akan kucup pipi atau leher kita. Itu memang sentiasa kekal dalam ingatan saya.
“Bagi saya, Pak Yus bukan hanya kawan, tetapi sahabat dan saya anggap seperti keluarga sendiri,” kata Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak ketika ditemu bual.
Tambahnya lagi, beberapa hari sebelum Allahyarham pergi menghadap Ilahi, ada satu perkara yang membuatkan Ajak tertanya-tanya dan kini, tahu jawapannya.
Beberapa hari sebelum dia meninggal, dia menghubungi saya dan meminta untuk meminjam wang daripada saya. Katanya, dia perlukan RM5,000.
“Saya jawab, boleh dan keesokan harinya, saya masukkan wang berjumlah RM5,000 itu ke akaun bank–nya. Keesokannya, pada Khamis, dia memulangkan semula wang yang dipinjamnya,” katanya.
Alasan Allahyarham memulangkan wang selepas sehari adalah kerana sudah menerima wang daripada Super Spontan.
Dia kata, duit Super Spontan sudah diterima. Bagaimanapun, apabila saya periksa dengan pihak Astro, sebenarnya wang dari program itu belum diterima. Apabila saya fikir semula, Pak Yus sebenarnya hanya menguji saya, sama ada saya akan membantunya kalau dia memerlukan bantuan.
“Apabila dilihat semula pesanannya kepada saya, ‘Teruskan dengan peribadi kamu yang suka membantu ini’, saya terfikir, dia hanya menguji saya,” kata Ajak lagi.
Selain peserta dan penerbit, pentas Juara Parodi: Pak Yus Dalam Kenangan turut disertai juri Datuk Zainal Abidin dan Datuk AC Mizal.
Turut kelihatan pada program tribute itu adalah selebriti tempatan antaranya Uqasha Senrose, Hairul Azreen, Erry Putra, Along Cham, peserta Raja Lawak, Skool of Lawak, Projek Komedi Warna dan ramai lagi.
Program Juara Parodi akan disambung seperti biasa pada minggu hadapan dan bakal menyaksikan semua peserta bertarung di pentas dengan tema ‘Barang Kenangan’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan