• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    IFA RAZIAH TAK PERNAH SERIK DENGAN KONTROVERSI


    Walaupun penyanyi Ifa Raziah dilanda kontroversi gara-gara memeluk pelakon Hisyam Hamid di pentas akhir Gegar Vaganza musim pertama (GV1) Januari lalu, namun ia meninggalkan kesan besar buat kerjaya seninya.

    Ifa sememangnya anak seni yang kental berhadapan dengan cabaran. Biarpun hatinya pedih menerima segala tohmahan orang, tetapi di sebalik semua itu kerjaya seninya terus bergerak pantas.

    Selama 20 tahun menjadi anak seni, buat kali pertama namanya tercalon dalam Anugerah Bintang Popular BH 2014 untuk kategori Artis Komedi Wanita Popular yang selama ini hanya dalam angan-angannya saja.

    Meskipun tewas di tangan Didie Alias, ia tetap meninggalkan kenangan paling indah buat Ifa.

    Selepas habis kontraknya dengan syarikat rakaman BMG kira-kira 15 tahun lalu, Ifa bergerak sendiri dengan bantuan suami merangkap pengurusnya, Mohd Yani Abdul Rahman.

    Tanpa disangka pada 1 Oktober lalu, Sony Music Malaysia melamarnya bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa itu.

    Lebih membanggakan Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, dia satu-satunya penyanyi dangdut diambil menjadi artis Sony Music di Malaysia dan antarabangsa.

    “Syukur GV1 benar-benar memberi impak besar kepada kerjaya seni saya. Kepada peserta yang menyertai GV2, gunakanlah peluang itu dengan sebaik-baiknya.

    “Jangan patah harapan jika tidak bergelar juara kerana rezeki akan datang kepada sesiapa saja. Apa yang penting sentiasa buat yang terbaik selagi anda kekal di gelanggang GV2” katanya.

    GV2 sudah pun membuka tirai persembahan pertamanya minggu lalu membariskan 12 penyanyi popular iaitu Ezlynn, Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuwan, Faradhiya, Amir (Ukays), Siti Nordiana, Achong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim (Exist).

    Pada GV1, setiap minggu Ifa ‘bertikam lidah’ dengan juri tetap, Datuk Ramli MS, tetapi aksi itulah yang menceria dan menghidupkan program itu.

    “Datuk Ramli ada bertanya saya kenapa tak masuk lagi dalam GV2? Ia terpulang kepada Astro, tetapi saya gembira kerana musim ini ada dua artis dangdut bertanding iaitu Haiza dan Sheeda.

    “Kepada yang bertanding dan dapat bertahan pada setiap minggu ia adalah peluang terbaik untuk menyanyikan pelbagai genre lagu. Inilah masanya untuk membuktikan kepada peminat, penonton dan juri yang anda adalah penyanyi ‘versatile’.

    “Mesti ada stamina kerana apabila menyanyikan satu lagu ibarat seperti mempersembahkan 25 lagu kerana ia adalah pertandingan. Rasa persaingan itu membuat kita sangat berdebar meskipun semuanya sudah puluhan tahun jadi penyanyi,” katanya.

    Pesan Ifa lagi, peserta mesti menyediakan 13 lagu pelbagai genre untuk produksi membuat pilihan.

    “Kadang-kadang semua lagu ditolak Astro dan mereka beri lagu lain. Ada juga penyanyi bagi lagu sama. Walau apa pun, peserta mesti sentiasa bersedia.

    “Saya dulu, setiap minggu saya buat bersunguh-sungguh dan setiap minggu juga saya akan menjangkakan akan tersingkir kerana penonton di luar pun meramalkan saya tidak akan kekal dalam GV1.

    “Memang saya tak sangka akan sampai ke peringkat akhir,” katanya yang banyak memberi tip kepada Sheeda.

    Apabila diminta meramalkan siapa yang akan ke peringkat akhir, ujar Ifa sukar untuknya meneka, apa pun dia melihat peluang Nassier Wahab adalah cerah, diikuti Ezad dan Achong.

    “Tentunya saya juga berharap Haiza dan Sheeda sampai ke final,” katanya.

    Rakam lagu dengan artis luar negara

    Bercakap mengenai kontraknya dengan Sony Music, mereka sedang menunggu lagu daripada komposer tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Colombia, Sweden.

    “Dari negara mana Sony Music dapat lagu itu saya akan turut merakamkannya dengan artis negara terbabit. Mengikut perancangan, saya akan masuk studio November ini dan lagu sudah boleh didengar Januari depan,” katanya.

    Kali terakhir Ifa mengeluarkan singlenya berjudul Luar Biasa tiga tahun lalu.

    Rezeki Ifa juga bertambah murah apabila dia baru saja dilantik duta produk kecantikan.

    Dalam perkembangan lain, Ifa akan muncul sebagai pengacara Karnival Produk & Perkhidmatan Koperasi Malaysia 2015 (MACCOPS) yang akan diadakan selama empat hari mulai 26 November depan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan