• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    FAZURA BAWA DIRI KE INDONESIA?


    Lebih sedekad mencanai bakat sebagai anak seni, bintang popular Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura, 32, akhirnya menggengam trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27, bulan lalu.

    Teraju utama filem Manisnya Cinta di Cappadocia itu sudah boleh tersenyum bangga dengan pencapaiannya setakat ini. Sikap positif yang ditunjukkan pelakon jelita ini menjadi inspirasi ramai pengikutnya.

    Kembara seninya pernah terpalit dengan kontroversi dan cerita kurang enak, namun dia tidak pernah tunduk mengalah. Langkah terus diatur kerana dia percaya kejayaan pasti menyusul malah sehingga kini dia tidak pernah berhenti mencuba.

    “Mendapat pengiktirafan dalam FFM27 tidak bermakna saya sudah tidak perlu berusaha. Hakikatnya sudah sampai masa saya keluar daripada zon selesa. Pedulikan soal umur jika mahu capai impian dalam hidup.

    “Itulah prinsip yang saya pegang baik dalam karier seni mahupun perniagaan,” katanya ketika sesi minum petang eksklusif bersamanya sempena program Facing Up to Fazura musim kedua.

    Lebih membanggakan, Fazura kini bakal mencipta nama di Indonesia. Mengesahkan bakal membintangi sebuah filem yang membariskan nama besar, dia sangat teruja.

    “Saya akan terbabit dengan penggambaran filem berjudul Bulan Terbelah di Langit Amerika. Ia filem pertama saya di negara itu dan penggambarannya akan bermula bulan depan.

    “Filem ini turut dibintangi Acha Septriasa, Abimana Aryasatya dan Nino Fernandez. Lebih teruja saya turut diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi filem ini bersama Ridho Rhoma,” katanya.

    Facing Up to Fazura 2 lebih terbuka

    Ramai sedia maklum Fazura artis tempatan pertama tampil dalam siri televisyen saluran hiburan E! menerusi Facing Up to Fazura.

    Berikutan mendapat sambutan memberangsangkan, siri berkenaan diteruskan lagi untuk musim kedua.

    Bakal bersiaran setiap Ahad, jam 10 malam di saluran E! (Astro 712) bermula 1 November ini, musim baru ternyata lebih menarik apabila Fazura semakin terbuka berkongsi banyak perkara.

    “Musim pertama lebih kepada percubaan apabila saya tidak terlalu terbuka. Saya kekok apabila kehidupan harian dirakam.

    “Bagaimanapun, menerusi musim kedua saya lebih terbuka malah peminat dapat melihat siapa saya sebenarnya. Saya juga manusia biasa yang punya kelemahan dan ada rapuhnya,” katanya.

    Melalui program enam episod itu, Fazura akan berkongsi pengalaman menjalani uji bakat di Hollywood, baru-baru ini.

    Jelasnya memori berharga itu membuka matanya terhadap banyak perkara.

    “Walaupun sudah ada nama di negara sendiri, kita tidak dipandang di sana. Ketika uji bakat, kejayaan yang diraih sebelum ini tidak diambil kira.

    “Ketika itu saya rasa sangat kerdil apabila perlu bermula dari bawah. Ia benar-benar menyedarkan saya dari mimpi dan kembali berpijak di bumi nyata selain prosesnya penuh dengan tekanan,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan