MEMILIKI seraut wajah yang manis membuatkan pendatang baharu Yasmin Yasin begitu istimewa di mata sesiapa sahaja yang melihatnya. Ditambah dengan ketinggian tubuh badan yang tinggi lampai menjadikan gadis yang berusia 21 tahun ini sering diberikan tugas di pentas peragaan.
Meskipun berpengalaman dalam pentas peragaan sejak berusia 16 tahun lagi, Yasmin ketika itu masih belum berani ke hadapan ‘menjual’ bakat yang ada pada dirinya.
Tumpuannya ketika itu lebih tertumpu kepada bidang pelajaran memandangkan perkara itu yang perlu diberi keutamaan buat bekalan pada masa hadapan.
Ketika itu saya sendiri hanya sekadar cuba-cuba. Tak sangka pula daripada mencuba akhirnya membuahkan minat yang mendalam dalam bidang peragaan dan hiburan.
“Tapi sekarang saya tahu apa yang perlu dilakukan. Jika ada masa terluang saya pasti mahu ‘terjun’ ke bidang hiburan walaupun tahu tak mampu melakukannya secara serius ketika ini,” katanya yang masih lagu menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor ini lagi.
Dia yang merupakan pelajar dalam bidang perubatan di situ baru sahaja menghabiskan tahun kedua dan masih berbaki tiga tahun lagi untuk bergelar seorang doktor.
Ketika ditanya mengapakah Yasmin begitu berminat dalam bidang peragaan dan pengacaraan, jawabnya dia ingin mengubah persepsi umum yang golongan doktor juga mampu melakukan apa sahaja bidang yang diminati.
Mengetahui kebanyakan masyarakat gembar melabel doktor sebagai ‘nerd’ dan berperwatakan serius, Yasmin yakin persepsi itu boleh diubah jika kena dengan caranya.
Dalam satu hal lain saya mahu menggunakan masa cuti semester yang ada dengan hal-hal yang saya minati termasuklah menjadi pengacara seperti hos popular yang lain.
Bagi saya pelajaran cukup memenatkan otak saya dan cara untuk saya mengurangkan tekanan dengan ‘terjun’ ke dalam bidang hiburan bagi mencari pengalaman baharu.
Insya-Allah saya mampu melakukan kedua-dua bidang ini sekali gus jika kena dengan caranya,” tambahnya yang bercita-cita mahu menjadi pakar mata pada masa hadapan.
Tumpuan
MESKIPUN tuntutan pelajaran ada kalanya memenatkan fikirannya, Yasmin mampu berbangga apabila dilantik sebagai duta promosi UPM dalam kalangan pelajar universiti tersebut.
Dia akan duduk di barisan paling hadapan jika pihak universiti mengadakan sebarang acara bersama beberapa rakan yang lain.
Memang saya ditugaskan untuk mempromosikan UPM bila ada sebarang acara. Sebab itu tugas-tugas berada di hadapan orang luar bukan lagi menjadi masalah besar buat saya.
“Setidaknya keyakinan saya semakin tinggi bila berhadapan dengan pelbagai acara yang di atur oleh pihak mereka,” kata Yasmin yang juga merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
Terbaru, Yasmin mengacarakan rancangan Hollywood Asia yang disiarkan menerusi YouTube yang menjadi rancangan dalam talian kegemaran ramai.
Menerusi rancangan tersebut, dia bakal bercakap soal fesyen dan hiburan yang sedang berlaku di dalam negara dan Asia secara menyeluruh.
Ini menjadi pengalaman baharu buat saya apabila menjadi pengacara untuk rancangan ini. Banyak perkara baharu yang saya perlu pelajari dan ini menjadi pengalaman yang menyeronokkan.
“Cuma saya masih belum bersedia untuk mencuba bidang lakonan memandangkan bidang tersebut memerlukan pengorbanan masa yang tinggi. Biarlah saya menempa nama sebagai pengacara terlebih dahulu,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan