Raja Ilya lebih menyerlah dengan watak antagonis malah sejak dua tahun kebelakangan ini namanya mula menjadi sebutan peminat.
Perkembangan positif itu disambut dengan penuh syukur bahkan pelakon berdarah kacukan Melayu dan Malayam ini berazam bekerja lebih keras demi kelangsungan kembara seninya.
Alhamdulillah, kerja keras dan usaha selama ini membuahkan hasil apabila kehadiran saya makin diterima peminat. Selepas berehat panjang, saya kembali aktif berlakon pada 2013. Rasa sangat lega dan berbaloi. Kerja kini jadi keutamaan saya.
“Saya selera bergerak sendiri tanpa bantuan pengurus atau pembantu peribadi. Ia menjadikan saya lebih berdikari,” katanya. Sambung Raja Ilya, setakat ini dia belum terfikir menyertai mana-mana syarikat pengurusan.
Dulu saya pernah tawarkan diri menyertai syarikat pengurusan artis, tetapi mereka pandang sebelah mata. Alasan mereka, saya tidak popular dan bukan bintang ternama.
“Sekarang ada yang merisik, tetapi saya memilih bergerak sendiri,” katanya.
Menurutnya, drama Cinta Iris yang bersiaran di TV9 dan Syurga Nur menerusi slot Akasia di TV3 melonjakkan namanya di persada seni tanah air.
Ramai kata saya selalu melakonkan watak jahat, tetapi sebenarnya tidak. Ada juga beberapa drama saya bawa watak baik, tetapi disiarkan bukan pada waktu kemuncak.
“Saya tak rasa ralat kerana itu pandangan mereka. Apabila dua drama terbabit menerima maklum balas positif saya sangat seronok,” katanya.
Raja Ilya mendedahkan pernah ditawarkan menjayakan tiga filem tahun ini, tetapi kecewa apabila namanya digugurkan pada saat akhir.
Apabila dapat tawaran, saya terus isi jadual dan menolak beberapa tawaran lain. Namun, tak sangka pula nama saya digugurkan pada saat akhir dengan alasan pernah melakonkan watak yang diberikan.
Saya pelik kenapa produksi tidak nampak perkara itu sebelum buat tawaran? Mereka bukan tidak pernah bekerja dengan saya.
“Apabila diselidik rupa-rupanya mereka ada artis kegemaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Raja Ilya baru selesai menjalani penggambaran telefilem Mentari Prague dan Hidayah Itu Kiblatku.
Pertama kali saya melakonkan watak wanita bertudung. Kedua-duanya menggandingkan saya dengan Keith Foo.
“Insya-Allah, bulan depan saya akan terbabit dengan penggambaran drama terbitan Pena Creative, lakonan bersama Aaron Aziz,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan