• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    RAMONA ZAMZAM TERUJA SAMBUT SYAWAL BERSAMA SUAMI


    KETERUJAAN menyambut Syawal tahun ini pastinya bertambah meriah buat pelakon berusia 25 tahun iaitu Ramona Zamzam. Ternyata, status isteri yang dipegangnya sejak 1 Mei lalu membuatkan dirinya begitu teruja untuk berada di samping suami serta keluarga.


    Walaupun teruja kerana kali pertama menyambut lebaran sebagai suami isteri, Ramona dan Rami Alaskhar menyambut Hari Raya Aidilfitri ini dengan kesederhanaan.

    Istimewanya, Rami yang merupakan jejaka yang berasal dari Palestin ini begitu teruja apabila menyambut raya bersama keluarga mentua buat pertama kali di Ipoh, Perak.

    “Selama 24 tahun saya beraya bersama keluarga, tapi tahun ini ada sedikit berbeza kerana saya beraya bersama suami. Ditambah lagi suami saya yang berasal dari Palestin berpeluang untuk kenal rapat dengan sanak saudara saya di kampung.

    “Kali kami akan pulang ke kampung di sebelah ayah pada hari raya pertama. Di Batu Gajah, kami akan berkumpul di rumah saudara pada pagi raya dan masa itu digunakan untuk bertanya khabar selepas lama tidak berjumpa.

    “Lagi pun tahun ini, Rami dan saya sepakat untuk beraya di sebelah saya di Malaysia memandangkan pada bulan September nanti keluarga Rami akan berkunjung ke sini untuk menghadiri majlis resepsi kami,” bicara Ramona.

    Ramona mengambarkan suaminya itu seorang yang tidak cerewet soal makanan, apatah lagi hidangan pada pagi raya antara yang ditunggu-tunggu oleh Rami.

    “Saya tak perlu susah-susah untuk ajar dia makan rendang, lontong, ketupat dan sebagainya sebab dia seorang yang pemakan. Dia sudah terbiasa dengan masakan orang Melayu kerana sudah menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu.

    “Tapi saya ada terangkan kepadanya tentang makanan yang dimakannya itu. Jujurnya, dia tidak perlukan semua itu tapi sebagai isteri saya perlu menjadi bahan rujukan untuk memudahkan dia mengenali lebih mendalam masakan wajib di hari raya,” tutur Ramona yang memperuntukkan RM1,000 untuk duit raya.

    Merah warna sedondon raya
    Jika pasangan suami isteri lain rata-rata memilih untuk mengayakan pakaian berwarna sedondon, Ramona turut mengambil initiatif sendiri memastikan dia dapat mengayakan baju yang berona sama dengan suaminya.

    “Sebenarnya Rami sudah ada baju Melayu yang saya berikan sewaktu majlis pernikahan dahulu yang berwarna merah.

    “Jadi, demi nak bergaya sedondon pada pagi raya, saya ambil initiatif sendiri mencari kain dan warna yang sepadan dengan suami. Baju itu juga merupa rekaan saya sendiri. Tahun pertama raya dengan suami memanglah kalau boleh nak semuanya serba lengkap.

    “Pun begitu, memandangkan saya hanya mempunyai dua adik beradik sahaja, ayah masih tetap menyediakan sepasang baju raya baharu untuk saya dan adik,” ujarnya yang bakal membintangi drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi menerusi saluran Astro Ria.

    Berbalik kepada juadah hari raya, secara peribadinya Ramona begitu menyukai masakan ibunya iaitu rendang kari ayam. Walaupun cuma hidangan biasa-biasa, tetapi buat Ramona, air tangan ibunya itu berbeza dengan masakan orang lain.

    “Tiap kali rayaa, menu wajib rendang kari ayam memang akan terhidang di meja makan kami sekeluarga. Kalau tak ada makanan itu ibaratnya tak sah raya.

    “Memang semua orang berkebolehan untuk masak juadah itu, tapi tiada siapa mampu menandingi air tangan mama. Saya rasa dia seorang sahaja yang pandai masak masakan tersebut,” katanya.

    Rami menangis teringatkan keluarga
    Dalam rancak bercerita, rupa-rupanya sudah lima tahun Rami, 27, tidak menyambut hari raya bersama keluarga tercinta di Palestin. Semuanya demi tuntutan sebagai pelajar di Segi Universtii Kolej, Kota Damansara pada ketika itu.

    “Saya tiba di Malaysia pada ketika itu pun ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan ditambah pula saya belum kenal ramai kawan, raya tahun itu tidak ada makna pun sebab mengenangkan keluarga yang di jauh di mata.

    “Tapi saban tahun saya sudah terbiasa menyambut Hari Raya tanpa keluarga, sebab ada rakan-rakan rapat di sini mengajak untuk beraya di rumah mereka. Pernah juga masa hari raya pertama dahulu saya cuma duduk dalam bilik dan tidur seharian,” tuturnya.

    Biar jauh di mata tapi dekat di hati, Rami tetap tidak membelakangkan keluarganya kerana tidak pernah lupa untuk berhubung dengan mereka di sana menerusi telefon.

    “Saya akan telefon keluarga saya di sana dan mengucapkan selamat hari raya serta memohon maaf atas segala kesilapan lalu. Memang agak emosional dan pernah juga menangis sebab terlalu emosi bercakap dengan ibu.

    “Tapi sebagai seorang anak lelaki saya perlu tabah beraya di perantauan. Lagipun tahun ini saya beraya sebagai seorang suami. Inilah waktu yang saya tunggu-tunggu selama ini,” ujarnya gembira.

    Berkongsi mengenai tradisi Hari Raya di Palestin, jelas Rami tiada apa yang berlainan cuma mereka sekeluarga lebih selesa mengenakan seluar denim berbanding jubah atau pakaian tradisi mereka.

    “Kalau di sana, kami sekeluarga lebih selesa untuk memakai jeans sahaja dan menziarah sanak saudara di sekitar Palestin. Walaupun keadaan serba-serbi tidak lengkap, masyarakat Arab di sana masih tetap menyambut Syawal dengan berpakaian baharu.

    “Pada kebiasaannya, pagi raya di Palestin akan dihidangkan makanan tradisi arab selain minuman seperti teh dan kopi. Itu adalah perkara yang wajib tiap kali hari raya,” katanya mengakhiri perbualan.


    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan