Tentunya, yang dinamakan pencinta rock itu tidak akan terpisah dengan kisah lagu ‘berhantu’ seperti C.I.N.T.A, Semangat Yang Hilang dan Pelesit Mata Sebelah. Siapa yang membawanya dengan cukup perisa dan rencah? Ya, benar, nama kumpulan Rock heavy metal XPDC yang tahun ini masuk usia 26 tahun antara yang akan disebut-sebut.
Bermula 1989, kini 26 tahun sudah berlalu, kumpulan ini masih utuh dan tetap giat memperjuangkan irama rock biarpun diuji dengan pelbagai pertarungan berbentuk persaingan dengan generasi baharu. Sepertimana teguh dan utuhnya nama Search dan Wings, demikianlah juga XPDC kekal dalam jiwa dan minda sekalian pencintanya.
Khabar baharu, pancaroba yang melanda kumpulan ini satu ketika dahulu tidak sedikit pun meninggalkan kudis kepada ahli mereka.
XPDC muncul kembali, kali ini dengan iltizam yang lebih hebat, kembali menakluk. Mereka sedar, masih ada jiwa yang menanti di luar sana untuk XPDC kembali ‘menggila’.
Jika anda peminat sejati kumpulan XPDC, pastinya apa sahaja yang mereka lakukan mendapat perhatian terutama sekali mengenai pertukaran ahli dalam kumpulan pemuzik ini.
Menyifatkan perubahan muka-muka lama dan digantikan dengan baharu sebagai satu perkara yang tidak aneh apatah lagi jika ia melibatkan ramai pihak dalam sesebuah kumpulan.
Vokalis kumpulannya, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael memberitahu kekerapan XPDC bertukar anggota tidak hanya dihadapi oleh mereka sahaja.
Menubuhkan sebuah kumpulan bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi genre yang kami bawa ini sesuatu yang cukup berat. Menyentuh mengenai pertukaran ahli kumpulan, saya rasakan itu saya perkara yang biasa.
Banyak faktor yang mempengaruhi hingga terjadinya pengunduran ahli. Tetapi itu tidak bermakna akan mematikan semangat dalam menghidupkan kumpulan XPDC.
Masalah dalaman, tidak sefahaman, dan banyak lagi hingga menjadikan jalan untuk berpisah semangat alternatif terakhir. Saya tidak mampu nak halang mereka kerana itu pilihan sendiri.
“Lagipun ahli lama XPDC pun sudah ada kumpulan sendiri. Memang kalau nak ikutkan saya mahu kekalkan anggota lama tapi apa boleh buat? Kena hadap dan lalui sahaja lah,” katanya.
Di awal kemunculan XPDC dahulu, anggota asalnya terdiri daripada Mael selaku vokalis, Izo (gitaris), Lee Space (dram) dan Zuar (bassists).
Ketika di puncak kejayaan, salah seorang anggota XPDC iaitu Lee Space telah mengumumkan pengundurannya dari kumpulan tersebut dan hanya sempat bersama selama dua tahun.
Tempatnya itu digantikan oleh Amy iaitu bekas kumpulan Handy Black, juga bertahan untuk beberapa tahun.
XPDC terus-terusan dilanda masalah keluar masuk anggota lama dan kali ini Zuar yang bersama dari awal penubuhan hingga pada 2013 dia tidak lagi bersama dengan kumpulan tersebut untuk selamanya.
Malah, lebih pedih lagi apabila Mael juga pada ketika itu telah mengucapkan selamat tinggal selepas lapan tahun bersama. Ini mencetuskan pelbagai reaksi dan kontroversi dari setiap pelusuk berita hiburan.
Kesempatan itu, peminat XPDC telah dihiburkan oleh alunan suara vokalis baharu iaitu vokalis Terrarossa, Ali dari tahun 1998 hingga 2005.
Kini, secara rasmi Mael, Izo dan Lola (dram), yang pernah bersama-sama mereka dari 1999 hingga 2003 serta Eddie (bes) melengkapkan keanggotaan XPDC sekaligus ia digelar sebagai XPDC Reunion.
Meskipun kini takhta sebagai vokalis XPDC kembali ke takhta Mael, ini tidak bermakna kehadiran Ali tidak diperlukan lagi. Ali kekal dalam sejarah XPDC dan sampai bila pun akan dikenang sebagai salah seorang pejuang dalam kumpulan berkenaan.
Kata Mael, tiada persengketaan yang berlaku di antara dia dan Ali. Malah berkongsi pentas baru-baru ini menerusi program akhir Kilauan Emas 5 (KE5) , Rabu lalu melenyapkan segala isu yang berbangkit.
Tiada punca dan isu hingga hendak buatkan kami berbalah sesama sendiri. Kami tidak bergaduh dan perhubungan kami baik seperti dahulu.
“Ketika diundang membuat persembahan di minggu akhir KE5 lalu, saya telah diberitahu akan berkongsi pentas bersama Ali. Ini merupakan kali pertama saya berkongsi pentas dan bergabung suara dengan dia,” katanya.
15 tahun tunggu konsert
Hasrat 15 tahun mahu mengadakan sebuah konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Di Sini berskala besar akhirnya tertunai apabila XPDC bakal menghiburkan peminat setia mereka pada 6 Jun ini bertempat di Stadium Merdeka.
Kali terakhir XPDC membuat konsert ialah pada 1997 di lokasi yang sama.
Tahun ini peminat bakal menyaksikan sesuatu yang cukup istimewa ditambah lagi konsert ini diadakan bersempena dengan ulang tahun penubuhan XPDC yang ke-26.
Istimewanya konsert ini kerana kami akan diiringi oleh pemuzik orkestra sesuai dengan konsep yang kami cuba bawakan untuk konsert ini.
Konsert ini boleh dikatakan malam pertemuan untuk keluarga XPDC apabila peminat dari seluruh negara dapat bersatu dalam satu stadium.
Kebetulan tarikh yang kami pilih itu jatuh pada cuti umum, jadi memang sesuailah peminat dari luar Kuala Lumpur turun ke sini untuk menonton konsert XPDC. Kami anggap konsert ini sebagai reunion buat semua. Generasi yang minat pada kami dahulu mungkin sudah berkahwin, boleh datang menonton bersama keluarga.
“Kami mahu jadikan konsert ini sebagai satu sejarah untuk bertemu dengan teman-teman lama begitu juga dengan peminat. Ini buktikannya kami masih lagi ada dan muzik kami masih relevan untuk diminati,” kata Mael.
Menyentuh mengenai sesi latihan sebelum mengadakan konsert besar itu, Mael dan ahli lain kini semakin ligat melakukan latihan di sebelah malam.
“Kami kini setiap malam akan ke studio untuk buat sesi latihan. Pelbagai perkara yang kami titik beratkan bagi memastikan perkara yang tidak diingini berlaku.
Setiap artis yang membuat persembahan pastinya akan berasa takut jika apa yang dirancang tidak menjadi. Saya harap dan berdoa kepada Allah semoga tiada perkara yang buruk berlaku.
Kalau boleh nak ulang semula kisah 1997 dahulu dan nak semua peminat kami terhibur dalam satu malam itu. Kami harap dapat tarik dari generasi kami bertapak hinggalah kini,”katanya yang mengharapkan cuaca pada malam itu baik.
XPDC bakal mendendangkan sebanyak 25 buah himpunan lagu-lagu terpilih daripada 14 buah album mereka dalam masa tiga jam.
Seandainya konsert ini berjaya dan mampu menarik lebih 30,000 penonton seperti kejayaan dahulu, kami mungkin akan pertimbangkan untuk membuat konsert di luar Kuala Lumpur pula.
Semuanya bergantung kepada penaja. Kami berterima kasih kepada DuaLaris Event kerana merealisasikan impian XPDC. Dahulu impian ini terpaksa terkubur sebab tiada penaja dan banyak masalah dalaman. 15 tahun lalu kami pernah bekerjasama dengan pihak DuaLaris Event,jadi bila ditawarkan usahasama ini, kami jadi lebih teruja.
“Saya juga mengalu-alukan kedatangan anggota lama seperti Zuar dan Amy untuk turut hadir menonton konsert pada malam tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan