
TERUS menerus dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga, tiada apa yang lebih penting buat pelawak terkenal ini, selain mendahulukan insan tersayang dalam menangani rentak hidupnya.
Mungkin dalam suatu masa dahulu dia pernah meletakkan karier di hadapan, wang adalah segala-gala dan perlu dikejar deras, saat ini itu sudah menjadi kepentingan tersamping. Hal-hal lain ditolak ketepi demi memastikan isteri dan anak-anak mendapatkan perhatian secukupnya, itu janji seorang lelaki.
Harith Iskander yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan untuk tahun kelima dengan isteri tercinta, Dr. Jezamine Lim memberitahu, dia kini juga sudah semakin selesa dengan tanggungjawab yang digalas sebagai seorang suami dan ayah.
“Jika dahulu kalau ada tawaran saya tidak akan fikir dua kali, tetapi sekarang untuk berjauhan dengan keluarga bukan satu pilihan. Saya tidak akan sesekali meletakkan keluarga di belakang karier.
“Tiada ada masalah untuk saya mengutamakan keluarga kerana rezeki yang diberikan tuhan cukup berbaloi selepas berkeluarga kini,” katanya ketika melancarkan wangian terbaru Ambi Pur’s Koleksi MoodTherapy di Sunway Pyramid, Selangor baru- baru ini.
Bercakap mengenai kehamilan terbaru isterinya, kata Harith pada awalnya memang mereka tidak mahu berkongsi disebabkan kandungan Dr. Jezamine agak tidak stabil.
Walaupun pada awalnya mereka sepatutnya menerima kehadiran anak kembar, namun tetap reda dengan ketentuan apabila salah satu kandungan isterinya tidak berkembang dengan baik.
“Kami tidak pernah merancang soal anak dan apabila diberitahu diri dia hamil lagi, kami berdua teruja sangat. Sebenarnya ini kali pertama kami berkongsi perkara ini kepada orang luar kerana komplikasi yang dialami Jezamine.
“Sepatutnya kami akan dapat bayi kembar, namun tak jadi sebab ada masalah. Jadi, saya banyak memastikan isteri tidak melakukan kerja berat memandangkan usia kandungannya kini sudah masuk empat bulan. Tidak kisah apa jantina anak ketiga ini asalkan dia sihat kami berdua sudah bersyukur,” katanya sekaligus memberitahu bakal menerima anak ketiganya hujung tahun ini.
Berkongsi rahsia kebahagiaan, kata Harith sukar untuk dia menjelaskan apa yang dilalui. Bagaimanapun Harith percaya setiap keluarga mempunyai cara sendiri, dan cara keluarganya mudah dengan sentiasa mencipta ruang untuk aktiviti keluarga, bersama-sama.
“Tidak ada rahsia. Bagi saya setiap individu mempunyai cara yang berbeza. Macam saya, untuk sekarang bila dah ada anak, kita kena cari waktu sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk meluangkan masa berdua bersama isteri. Contohnya kami dah lama tak pergi karaoke, jadi baru-baru ini kami pergi bersama.
“Selain itu penting juga buat suami isteri untuk sentiasa bertolak ansur,” katanya yang kini sudah dikurniakan sepasang cahaya mata, Zander Xayne Iskander, 3, serta Alessandra Jayne Iskander, 20 bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan