ZARUL Umbrella mengakui nama beliau kini tenggelam dek saingan artis-artis baharu.
Pemilik nama sebenar Zairulkefli Husin ini yang pernah popular dengan lagu hit seperti Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu berkata stesen radio pun sukar memainkan lagunya kerana stesen radio kini mengutamakan lagu malar segar untuk melayan selera pendengar mereka.
"Hanya radio Suria FM yang banyak memainkan lagu-lagu saya," katanya yang masih berkhidmat sebagai pramugara Malaysia Airlines (MAS) sejak 15 tahun lalu.
"Saya juga kena perlu relevan dengan keadaan semasa dari segi mutu suara dan gaya," tambahnya yang kini dalam proses membuat single terbaharu pada peringkat praproduksi.
Beliau memberitahu Bernama singlenya itu belum mempunyai jodol.
Zarul muncul dengan single terbaharu tahun lepas berjudul Satu Rasa bersama Marsha Milan Londoh.
Beliau baru-baru ini turut menjayakan persembahan KL Street Jam di Dataran Medan Pasar di sini bersama artis seperti Reena Nicky dan Jipie Pesawat and Band.
Beliau berharap dengan kemunculan single itu, ia dapat menaikkan namanya kembali atau sekurang-kurangnya melayakkannya memasuki Anugerah Juara Lagu atau lagunya tersenarai dalam senarai Top 10 sebagai lagu yang digemari.
"Saya meletakkan sasaran lima tahun untuk mencapai keinginan ini. Andai selepas tempoh itu saya berjaya memenuhi apa yang saya inginkan, saya akan memikirkan sama ada untuk berhenti atau terus bekerja sebagai pramugara," katanya.
Ditanya cara beliau menguruskan masa antara tugas dan nyanyian, Zarul berkata ia dimudahkan dengan bantuan pengurusnya untuk menyusun jadual antara kedua-duanya kerana beliau mempunyai cuti rehat antara 10 hingga 14 hari dalam sebulan.
"Pengurus saya akan melihat program yang boleh saya hadiri ketika waktu cuti seperti bertemu wartawan, menghadiri program televisyen atau undangan persembahan pentas," ujarnya yang mengakui waktu tidurnya tidak mencukupi kerana terpaksa membahagi masa antara tugas dan nyanyian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan