Saat lafaz rujuk pasangan pelakon Zamarul Hisham dan Diana Rafar disahkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Selangor pada Khamis lalu, kelegaan dan sinar bahagia jelas terpancar pada wajah mereka berdua. Perpisahan selama empat bulan sejak sah bercerai pada 14 Januari lalu benar-benar membawa hikmah yang besar dalam rumah tangga Zamarul dan Diana.
Bertemu dengan pasangan itu pada majlis menyarung cincin di kedai barangan kemas, Bainy Gold & Diamant di Laman Seri Business Park, Seksyen 13, Shah Alam sejurus selepas pengesahan lafaz rujuk di mahkamah selesai, Zamarul dan Diana ibarat pasangan pengantin baharu. Hanya senyuman dan hilai tawa yang mengiringi temu bual dengan mereka.
Akui Zamarul dan Diana, perceraian dan perpisahan selama empat bulan merupakan satu dugaan dan hikmah tidak terduga sepanjang melayari bahtera perkahwinan mereka sejak 16 Mei 2009.
Perpisahan sementara tersebut telah menyedarkan Zamarul dan Diana bahawa masih wujud rasa cinta antara mereka. Biarpun wujud permasalahan, perkara itu harus diperbaiki bagi memastikan kerukunan rumah tangga berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Saya bersyukur kami kembali bersatu sebagai suami isteri. Bercerai dan kembali rujuk merupakan satu pengalaman yang tidak mahu diulang kembali. Saya anggap apa yang berlaku merupakan satu rahmat kerana kami berdua belajar kesilapan masing-masing. Jika sebelum ini, saya jarang menghabiskan masa di rumah kerana sibuk dengan urusan kerja. Jadi, saya harus mengubah rutin tersebut.
“Saya juga sedar, jika suami isteri faham tentang hukum agama dan tahu tanggungjawab masing-masing, rumah tangga akan bahagia,” kata Zamarul.
Lelaki berusia 44 tahun itu turut disoal tentang kekuatan jodohnya bersama Diana, 33, walaupun selepas bercerai, adakah mereka tidak terfikir mencari teman baharu.
Jawab Zamarul, selepas bercinta selama sembilan tahun dan berkahwin hampir enam tahun, tidak terlintas di fikirannya untuk mencari cinta baharu. Dia juga percaya, Diana masih setia menantinya.
Bukan terlalu yakin, tetapi saya percaya Diana seorang yang setia. Kualiti yang ada pada diri saya sukar untuk Diana temui pada lelaki lain (ketawa). Pada masa yang sama, sukar untuk saya menerima orang baharu kerana sudah bersama Diana dalam tempoh yang lama.
“Jika saya bercinta semula dengan orang lain, bolehkah saya membentuknya menjadi seperti Diana? Umur pun bukan muda, sudah 44 tahun. Jadi, daripada membuang masa untuk mencari cinta, lebih baik kembali kepada keluarga yang sudah cukup memahami saya,” terang Zamarul.
Tambah Diana atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar pula, walaupun mempunyai ruang dan peluang untuk meneroka cinta baharu selepas bercerai, namun hatinya masih terpaut terhadap Zamarul. Apatah lagi, keserasian dan kualiti yang ada pada suaminya itu sukar untuk ditemui pada lelaki lain.
Dia seorang yang suka mengemas dan membersihkan rumah. Sukar untuk saya mencari lelaki sepertinya. Sewaktu berpisah selama empat bulan, apabila melihat rumah berselerak, saya teringat kepadanya.
“Apa yang pelik, selepas bercerai, perasaan rindu itu cukup kuat dan kami kerap makan di luar bersama. Saya rasa tiada lelaki lain yang lebih sesuai dengan saya selain daripada Zamarul,” kata Diana.
Diana gementar
Jika Zamarul mampu kelihatan tenang sewaktu di mahkamah, berlainan pula dengan Diana yang memberitahu, dia hampir pitam kerana terlalu gementar. Walaupun ditemani keluarga, anak tunggal mereka Kashfi Haiqal, 5, serta anak pertama Zamarul daripada perkahwinan sebelum ini, Izzat Haiqal, 16, Diana masing gagal mengawal debaran.
Rasanya saya lebih gementar sewaktu hendak rujuk berbanding ketika bernikah dahulu. Disebabkan terlalu gementar, saya hampir pitam. Alhamdulillah, dengan sokongan keluarga, peminat dan pihak media, semuanya berjalan lancar dan kami kembali disahkan sebagai suami isteri.
“Sebenarnya, suami telah membuat lafaz rujuk pada 14 Februari lalu, iaitu sebulan selepas kami berpisah, tetapi kami tidak yakin dan memutuskan untuk tinggal berasingan sehingga permohonan lafaz rujuk selesai di mahkamah,” kata Diana.
Sambung wanita yang turut bergelar ahli perniagaan itu, selepas bercerai, kehidupannya ibarat orang yang jatuh ditimpa tangga. Dugaan datang tanpa henti sehingga mendorongnya untuk kembali kepada fitrah iaitu berhijab dan mendalami agama. Ironinya, orang yang membantu untuknya kembali bangkit pada waktu itu adalah Zamarul.
“Saya juga terkejut, ketika saya dilanda masalah, orang yang datang membantu ialah Zamarul. Saat itu, saya sedar siapa orang yang benar-benar mengambil berat tentang diri saya. Walhal ketika itu, kami telah bercerai,” tuturnya.
Jelasnya lagi, jika sebelum ini, dia sering mengadu masalah yang berlaku dalam kehidupannya kepada orang terdekat seperti keluarga atau rakan-rakan. Namun, selepas bercerai, Diana mula berubah pendirian dan tidak lagi bercerita hal peribadi secara terbuka termasuk merahsiakan perceraian dan proses rujuk daripada pengetahuan ibunya, Rasimah Abd. Rahman, 70.
Perceraian mengajar saya menjadi seorang Muslimah yang lebih baik. Sebelum ini, jika ada sebarang masalah termasuk rumah tangga, saya akan mengadu kepada keluarga dan orang sekeliling.
“Selepas apa yang berlaku, saya sedar bahawa Allah satu-satunya tempat untuk kita mengadu. Walaupun dugaan begitu berat, tetapi saya tidak berkongsi dengan orang lain. Sejujurnya, saya tidak pernah melarikan diri daripada pihak media, tetapi saya memilih untuk berdiam diri dan tidak henti berdoa. Rasanya itu jalan terbaik,” jelas Diana yang kini bergelar jurucakap tudung jenama Sugarscarf.
Bulan madu
Beralih kepada acara menyarung cincin yang diadakan di kedai barangan kemas, Bainy Gold & Diamant, Zamarul menyifatkan proses itu sebagai simbolik kepada penyatuan semula mereka.
Terang lelaki berkulit sawo matang itu lagi, dia dan Diana tidak pernah merancang untuk mengadakan majlis tersebut. Bagaimanapun, inisiatif itu dilakukan oleh pemilik Bainy Gold & Diamant, Noor Bainy Kamarudin, 30, yang berasa terpanggil untuk berkongsi kegembiraan berkenaan.
Menganggap inisiatif itu sebagai rezeki tidak diduga, pelawaan pihak Bainy Gold & Diamant yang menghadiahkan dua bentuk cincin berharga RM3,000 setiap satu kepada mereka tidak mampu ditolak.
“Sebenarnya acara sarung cincin lebih sinonim dengan majlis pernikahan. Tidak pernah saya dengar orang yang rujuk semula mengadakan acara menyarung cincin. Sungguhpun begitu, bagi saya tidak salah untuk menyarung cincin kerana ia sekadar simbolik kepada penyatuan kami berdua,” kata Zamarul.
Selepas segalanya selesai, pasangan itu turut berkongsi kebahagiaan mahu berbulan madu buat kali kedua. Akui Diana, sudah terlalu lama mereka sekeluarga tidak bercuti bersama kerana jadual kerja yang terlalu padat.
“Memang sudah terlalu lama kami tidak pergi bercuti. Percutian itu nanti menjadi bulan madu kami selepas bersatu semua sebagai suami isteri. Setakat ini, belum ada sebarang destinasi pilihan, cuma Zamarul akan mengikut saya ke beberapa lokasi sewaktu menjalankan promosi sebagai duta produk Dr. Glow,” ujar Diana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan