Selepas sembilan minggu bersiaran, esok bakal menyaksikan juara sulung program realiti pencarian bakat luar biasa Asia’s Got Talent 2015 di saluran AXN (Astro 701) jam 8.05 malam.
Pemenang yang dipilih berdasarkan undian penonton bakal membawa wang tunai AS$100,000 (RM360,000).
Sembilan finalis iaitu Gao Lin dan Liu Xin (China), Gwyneth Dorado (Filipina), Triqstar (Jepun), Junior New System (Filipina), Khusugtun (Mongolia), Gerphil Geraldine Flores (Filipina), El Gamma Penumbra (Filipina), The Talento (Thailand) dan Dance Thrilogy (Singapura) sudah memberikan persembahan luar biasa di pentas Grand Final, minggu lalu.
Peserta dari Filipina nampaknya mendominasi finalis Asia’s Got Talent musim pertama ini apabila empat peserta mereka layak sekali gus membuktikan Filipina adalah negara paling berbakat di Asia.
Bagaimanapun, dua juri program ini, penerbit dan komposer terkenal David Foster dan anggota Spice Girls, Melanie C tidak bersetuju kerana berpendapat bakat setiap negara adalah sama dan punya kekuatan tersendiri.
Melanie C atau popular dengan nama Mel C berkata, dia tahu bakat dari Asia sangat luar biasa dan unik.
“Perkara itu terbukti kerana mengikuti sendiri perjalanan program ini sejak uji bakat lagi. Kami menyaksikan pelbagai jenis aksi yang tidak pernah kami jangkakan,” katanya.
Menurut Mel C, selain Filipina, negara lain turut memiliki ramai peserta berbakat cuma nasib tidak menyebelahi mereka.
Menjadi satu-satunya harapan Malaysia untuk sekurang-kurangnya layak ke pentas akhir, Sada Borneo yang sekadar mara ke separuh akhir turut dipuji David dan Mel C.
Bagi mereka, kumpulan itu mempunyai perjuangan sangat bagus dan bakat Sada Borneo adalah sangat berharga.
Apapun, menurut David, ada sebab tertentu yang membuatkan kumpulan itu kurang bersinar terutama sewaktu pentas separuh akhir tapi dia berharap mereka akan teruskan perjuangan.
“Saya tidak berapa ingat apa saya cakap kepada mereka ketika itu. Saya suka mereka kerana sangat unik namun idea menggabungkan instrumen tradisional serta barat mereka kurang berjaya dilaksanakan dengan bagus,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan