Bront Palarae, 38, mengaku maklum balas daripada masyarakat terhadap usahanya mencari dana untuk pembiayaan projek filem terbaru arahannya amat suram.
Filem berjudul Dawn Raid: The Hand That Rattled The Queen bakal menelan perbelanjaan RM4 juta dan dia mensasarkan sebahagian kos menggunakan hasil kempen ‘crowd-funding’.
“Mungkin kerana masih dalam musim raya dan kebanyakan mereka banyak berbelanja sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana melalui kempen ini, sekurang-kurangnya masyarakat kita tahu kewujudan filem ini yang cuba disiapkan sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan pada 2019,” katanya.
Bront ketika dihubungi, berkata usaha produksinya, Pixel Play tetap diteruskan seperti biasa walaupun kutipan dana gagal mencapai sasaran RM2 juta menjelang tarikh tutup kempen yang berakhir pada 31 Julai ini.
Katanya, kempen dilakukan hanya salah satu pendekatan baru dengan harapan akan menjadi contoh kepada pembikin filem lain.
“Cuma harapan melihat cara alternatif untuk mendapatkan dana bagi filem mungkin terkubur kerana kita menggunakan keberkesanan kempen sebagai tanda aras bagi saluran mendapatkan dana.
“Jika kita berjaya, saya percaya ia akan membuka peluang dan ruang buat penggiat filem muda lain untuk menggunakan kaedah itu,” katanya.
Katanya, mereka juga berurusan dengan pelabur sektor swasta selain cuba mendapatkan dana daripada Finas.
“Saya akui kempen ini sedikit sebanyak menjadi perhatian pihak luar yang memang sedia berurusan dengan pihak kami melalui projek filem One Two Jaga terdahulu,” katanya.
Sehingga kini, sumbangan yang diterima oleh mereka daripada orang ramai sudah mencecah lebih RM8,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan