PELAKON Ezzaty Abdullah, 27, berkongsi pengalaman 28 jam berada di bilik bersalin sebelum melahirkan anak perempuan di pusat perubatan di ibu negara, malam tadi.
Ezzaty dimasukkan ke wad jam 6 petang kelmarin selepas dimaklumkan doktor terdapat bukaan dua sentimeter dan bersalin jam 10.30 malam.
Kata Ezzaty, sepanjang tempoh itu dia tidak mengambil sebarang epidural kerana ingin bersalin secara normal.
“Walaupun doktor menasihati ambil epidural, saya menolak. Memang sakit tetapi saya tetap bertahan.
“Jam 7 petang semalam kesakitan bersalin makin dirasai. Alhamdulillah jam 10.30 malam selamat bersalin.
“Ketika melihat wajah anak, hilang semua sakit dan penat. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Ezzaty berkata, suaminya yang juga pelakon Azwan Kombos setia menemani dari awal sehingga selamat bersalin.
“Ini satu pengalaman baru untuk saya dan suami. Kehadiran anak menjadi pelengkap rumah tangga kami. Ini juga bermakna bertambah lagi tanggungjawab kami sebagai ibu bapa.
“Terima kasih kepada ibu bapa dan seluruh jemaah umrah yang sudi mengadakan solat hajat di Makkah ketika saya berjuang di bilik bersalin,” katanya.
Ezzaty dijangka keluar hospital esok dan menjalani tempoh berpantang di rumahnya di Shah Alam, Selangor.
Katanya, dia akan berkongsi nama dan wajah anak mereka pada hari ketujuh selepas melahirkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan