• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    TAK TERKESAN DENGAN ARTIS BARU YANG TUMBUH BAK CENDAWAN


    SEJAK kebelakangan ini, industri seni mula dibanjiri kehadiran bintang-bintang baru, sama ada menerusi program realiti mahupun laman sosial.

    Dek kerana fenomena yang berterusan ini, ramai selebriti mula melakukan pelbagai cabang seni demi meneruskan kelangsungan kerjaya.

    Namun berbeza dengan aktres berdarah kacukan Melayu-Thai ini yang mula mengehadkan kemunculan dan semakin selektif dalam menerima tawaran.

    Biarpun tidak melahirkan kebimbangan sekiranya dilupakan peminat, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya atau lebih dikenali dengan nama Intan Ladyana berkata, dia membuat keputusan sebegitu kerana mahu menjadi pelakon yang lebih versatil.

    "Buat masa ini saya masih lagi di bawah pihak pengurusan MIG Pictures dan saya memang selesa bersama mereka.

    "Pihak pengurusan juga tidak pernah memaksa saya untuk menerima mana-mana tawaran dan keputusan menerima apa-apa projek adalah terpulang kepada saya.

    "Memandangkan sebelum ini saya kerap juga berlakon, jadi ada peminat dan penonton yang merungut sebab saya sering membawakan watak yang sama.

    "Atas sebab itu, saya kini menjadi lebih selektif dan menerima watak yang saya tak pernah bawa atau naskhah yang saya suka. Biasanya saya akan minta untuk lihat skrip terlebih dahulu sebelum saya terima.

    "Saya juga tidak had berlakon filem sahaja kerana saya juga terima tawaran drama. Kita buat apa yang orang suka lihat sekarang.

    "Walaupun saya jarang berlakon, namun masih ada peminat yang mengikuti perkembangan seni saya menerusi laman sosial. Dari situ saya tahu bahawa ada lagi yang mengikuti perkembangan saya dan mahu lihat saya berlakon," katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran program Ramadan Astro 2017, Kosong-Kosong Dari Hati di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

    Tambah Intan, biarpun tidak berlakon, dia juga ada membuat kerja lain seperti bisnes pakaian dan tidak lama lagi akan tampil dengan minyak wangi sendiri.

    "Sebab utama saya mahu mengeluarkan minyak wangi juga adalah kerana saya sukakan bau-bauan. Insya-ALLAH saya akan lancarkan minyak wangi jenama Ladyana ini pada bulan Ramadan nanti.

    "Selain itu saya juga sibuk dengan kolaborasi fesyen bersama Desa Murni Batik di mana kami berkolaborasi mengeluarkan kaftan dan jubah. Malah untuk raya ini kami akan keluarkan koleksi baru," jelasnya.

    Berkongsi perkembangan terkininya, wanita berusia 35 tahun ini kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri adaptasi novel Semusim Rindu karya Aleya Aneesa.

    Menurut Intan, drama 40 episod ini akan disiarkan menerusi slot Tiara Astro Prima bermula 29 Mei depan.

    "Dalam drama ini saya pegang watak sebagai Hajar, bergandingan dengan Ben Amir. Selain kami, Aizat Hassan, Yerlly Yarifin, Dayang Areeda, Haliza Misbun dan Kartina Aziz juga membintangi drama ini.

    "Ia mengisahkan Hajar, seorang anak yang sering didera dan murung sewaktu kecil dan mencari punca mengapa dia diperlakukan begitu apabila dewasa.

    "Bagi saya jalan cerita novel ini memang menarik, sebab itulah saya menerima tawaran ini selepas setahun tidak berlakon.

    "Buat masa ini saya cuba hadkan lakonan saya, mungkin satu naskhah setahun. Macam tahun lepas saya hanya berlakon satu sahaja telefilem. Drama ini adalah drama pertama saya untuk tahun ini.

    "Tapi andai kata ada karya yang menarik, saya sedia mempertimbangkan untuk menerima," katanya yang baru sahaja sembuh daripada demam yang memaksanya bercuti daripada penggambaran selama seminggu.

    Belajar daripada pengalaman

    Sementara itu, diusik mengenai kisah percintaannya, Intan berkata, pengalaman lalu telah banyak mengajarnya untuk menjadi lebih perahsia mengenai hal peribadi.

    Tidak mahu mengia atau menafikan apabila ditanya mengenai teman lelaki, Intan berkata, dia hanya akan bercerita sekiranya dia benar-benar bersedia.

    "Saya tak berani berjanji akan bercerita, saya bimbang nanti, bila saya cakap nak kongsi, tapi sebenarnya saya nak berkahwin rahsia.

    "Bila saya cakap saya nak berahsia, saya kena pula bercerita. Senang cerita biarlah masa yang menentukan segalanya," jelasnya.

    Tambah Intan, dia juga memilih untuk tidak berkongsi momen peribadi di laman sosial, biarpun mempunyai masa untuk bersosial bersama rakan-rakan.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan