• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    LISA RINDU NAK BERLAKON SEMULA


    DIAM tidak diam, sudah dua tahun Lisa Surihani berehat daripada pentas lakonan.

    Namun, pasti ramai tidak menyedari perkara itu memandangkan pelakon cantik ini sentiasa aktif menghadiri majlis-majlis rasmi ditambah wajahnya sering muncul di kaca televisyen apabila menjadi duta produk minuman.  

    Lisa mengakui rindu bidang lakonan saat diajukan pertanyaan bilakah dia akan kembali memeriahkan pentas seni ini.

    "Buat masa sekarang, Lisa dan pengurusan Astro Talent Management sedang merancang beberapa projek.

    “Jujurnya, tawaran berlakon  ada. Cuma pada waktu tawaran, saya mempunyai kekangan dari segi masa serta komitmen.

    "Jadi ia terpaksa dilupakan. Apa pun, saya tetap berharap agar selepas ini akan ada lagi tawaran seumpamanya,” katanya.

    Pun begitu, Lisa Surihani atau nama penuhnya, Lisa Surihani Mohamed, 30, masih berahsia mengenai projek terkininya  memandangkan ia masih lagi berada dalam proses perbincangan dan perkongsian idea.

    “Saya bersama pihak pengurusan juga memikirkan beberapa line up untuk memastikan kesesuaian dengan saluran yang ada di  Astro.

    "Suatu yang saya gemar pihak pengurusan ialah mereka faham dan memahami status saya sekarang.

    Jadi mereka berikan kebebasan untuk saya sama-sama berfikir dengan mereka perihal apa yang terbaik," katanya.

    Katanya, apabila ditanya pendapat, Lisa turut beri idea.

    “Walaupun mahu kembali aktif berlakon, tetapi saya juga mempunyai perancangan lain iaitu beri lebih komitmen pada pengacaraan.

    "Jadi ia pastinya sesuatu yang menarik untuk perjalanan kerjaya seni saya,” jelasnya lagi.

    Katanya lagi, apa yang lebih penting buatnya sekarang masa bersama anak.

    “Anak adalah keutamaan saya. Saya ingin besarkannya sendiri dan merasai sendiri susah payah bergelar ibu.

    "Kerana itu, saya ada bertanya kepada pengurusan dan produksi, sama ada boleh atau tidak penggambaran itu dilakukan dalam had masa tertentu dalam sehari.

    "Saya cuba tanya hal tersebut mengikut budi bicara kerana sebelum ini saya pernah melalui pengalaman penggambaran lebih 24 jam," katanya.

    Kata pelakon filem Istanbul Aku Datang ini lagi, dia mahukan waktu berkualiti untuk keluarga.

    “Tidak banyak beza pun apabila dah jadi ibu ni. Saya teliti terhadap sesuatu perkara. Cuma apa yang berbeza mungkin dari soal masa saja.

    "Sejak kecil lagi saya sudah dididik ibu agar menghargai dan mengurus masa dengan betul. Ia sangat berharga dan pada fasa sekarang, tentunya anak dan suami menjadi keutamaan.

    “Jujurnya pada peringkat awal, risau juga andai permintaan saya tidak diterima, namun jawapan saya terima adalah baik. Misalnya baru-baru ini saya ada berbincang hal tersebut bersama seorang pengarah dan dia memberikan jawapan yang begitu menyenangkan,” sambung isteri kepada Yusry KRU ini.

    Terima artis baharu

    Lisa yang kini bahagia mengisi masa bersama suami dan anak sulung, Yahaira Leanne,1, juga sempat berkongsi kegembiraannya dengan kehadiran ramai pelakon wanita baharu yang disifatkannya baik demi mewarnai seni lakonan tempatan.

    “Pada zaman sekarang, mereka bertuah kerana mempunyai media sosial yang menjadi alternatif buat mereka untuk mempromosikan dan uar-uarkan kehadiran dalam dunia seni kepada orang ramai.

    “Selain memperkenalkan diri, mereka juga boleh hebahkan berita perihal kecintaan dan kualiti lakonan menerusi media sosial dan ia sesuatu yang sungguh baik. Saya sendiri suka dengan lakonan Amyra Rosli dan dia bagi saya dia comel.

    “Apa pun, saya hargai kehadiran aktres baharu lain meski pun saya sekarang kurang tonton drama tempatan kerana televisyen di rumah sudah didominasi anak,” seloroh Lisa yang turut mengakui gembira dengan kemunculan ramai bakat muda yang punya minat untuk belajar, mengasah bakat dalam lakonan.

    “Sesiapa sahaja, jika ada rasa hormat dan sikap profesionalisme dalam diri, hadirlah dalam dunia seni untuk warnakan lagi dunia industri kita.

    "Dunia hiburan tempatan perlukan kehadiran pelakon pelapis yang terdiri dari pelbagai personaliti, gaya lakonan, fizikal dan sebagainya.

    “Usah terkejar-kejar populariti. Sebaliknya tanam dalam diri yang kita hadir ke industri ini untuk belajar dan mencari rezeki. Populariti itu bukan sasaran semata-semata,” akhiri Lisa.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan