Lagu Hidup Dalam Mati benar-benar melonjakkan pendatang baru ini pada tahap yang tersendiri dalam industri hiburan. Single berkenaan mendapat sambutan luar biasa ditambah vokal Syamel yang begitu mengagumkan.
Syamel atau nama penuhnya Syamel Aqmal Mohd Fodzly, 23, sendiri masih tidak menyangka lagu terbabit diterima baik. Apatah lagi dia sendiri masih terlalu baru dan baru berbekalkan satu produk sejak dinobatkan naib juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015).
Sekali gus, peminat semestinya mengharapkan yang terbaik lagi daripada penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu selepas ini. Persoalannya, bagaimana jika lagunya selepas ini tidak mampu menandingi kehebatan single sulungnya itu?
“Saya memang percaya lagu yang tepat sangat membantu sejauh mana seseorang penyanyi itu boleh pergi. Disebabkan itu, saya mesti akui sekarang ini kita perlu sentiasa mengambil faktor pendengar dan apa jenis muzik kegemaran mereka.
“Maka, buat masa ini saya akan terus kekal dengan genre balada yang masih tetap jadi pilihan pendengar. Mengenai single seterusnya, saya tidak mahu risau sangat kerana kalau tak dapat mengatasi Hidup Dalam Mati pun asalkan setanding sudah cukup memadai,” katanya.
Dalam pasaran sekarang, Syamel akur setiap penyanyi berlumba-lumba untuk mengukir kejayaan demi kejayaan. Dia sendiri menanam semangat itu dalam dirinya demi memastikan kehadirannya terus diterima.
“Perkara yang membezakan antara setiap penyanyi adalah usaha diri sendiri. Orang baru akan sentiasa hadir dan terpulang kepada artis itu sendiri bagaimana hendak mengekalkan momentum diri.
“Lagipun, pelbagai saluran sudah wujud sekarang dan banyak cara mudah untuk menarik pengikut sekarang ini. Bagi saya, penghasilan lagu terbaik menjadi fokus sekarang kerana mahukan produk saya dikenang sampai bila-bila,” katanya.
Sibuk aktiviti kerja amal
Menjadi tahun pertamanya berpuasa sebagai artis, Syamel mengakui perbezaannya begitu terasa terutama jadual harian, dia perlu menjayakan pelbagai aktiviti dan seronok dapat terbabit.
Bukan sekadar tawaran persembahan berbuka puasa, kebanyakan aktiviti dijayakannya adalah berbentuk kerja amal. Menurutnya, secara tidak langsung aktiviti begitu banyak memberikannya pengajaran.
“Tahun ini aktiviti harian saya ternyata lebih padat berbanding Ramadan sebelumnya. Setakat ini saja, saya sudah terbabit dalam aktiviti amal seperti Singgah Sahur untuk TV3 serta bakal terbabit dalam aktiviti diatur Astro pula.
“Dapat mendekati golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim benar-benar membuatkan saya tersentuh. Terutama sekali setiap kali menatap wajah kegembiraan mereka sewaktu keinginan ditunaikan.
“Padahal, barang yang diterima itu bukanlah besar mana pun, namun sudah mampu memperlihatkan kegembiraan di wajah mereka,” katanya.
Bukan pertama kali, sebaliknya sewaktu masih menuntut di kolej dulu, Syamel pernah terbabit dalam aktiviti seumpama itu.
Bahkan, dia sangat bangga dengan pencapaian ketika itu ditambah pula sokongan ramai yang memberangsangkan.
“Seperkara yang saya belajar, orang Malaysia ini sebenarnya sangat prihatin apabila menyentuh mengenai aktiviti kebajikan. Saya masih ingat di kolej kami mengadakan kutipan dana untuk disalurkan kepada rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur hingga ke Kuala Selangor.
“Antara aktiviti yang kami lakukan adalah ‘busking’ di sekitar Sogo dan hasil derma orang ramai, lebih RM13,000 berjaya dikutip. Tidak tergambar rasanya perasaan teruja ketika itu apabila dapat merealisasikan impian anak yatim berkenaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan