GITARIS kumpulan Wings, Joe menafikan sekiranya ada yang beranggapan dia cuba mencampuri kemelut Search apabila mengutip dana untuk membantu Yazit menerusi penganjuran pertandingan War of Band-Joe Wings Mencari Protege.
Joe ketika ditemui baru-baru ini berkata, niat untuk membantu Yazit adalah ikhlas atas dasar persahabatan serta tiada kena-mengena dengan kemelut yang berlaku di antara pemain dram tersebut dan Search.
“Perancangan untuk membantu Yazit sudah lama, cuma saya belum temui masa yang sesuai dan cara yang betul untuk tujuan itu.
“Apabila idea untuk War Of Band ini timbul, saya rasa tak salah jika saya kumpulkan dana untuk membantu meringankan perbelanjaan perubatan Yazit.
“Dana untuk tabung kebajikan Yazit dikumpul menerusi yuran penyertaan peserta War Of Band. Yuran dikenakan untuk setiap kumpulan RM300 dan 10 peratus dari itu iaitu RM30 akan disalurkan ke tabung kebajikan Yazit Search.
“Sebagai sahabat yang sama-sama membesar dalam industri, tak salah saya membantu. Jadi jangan libatkan saya dengan isu yang sedang melanda Yazit dan ahli kumpulannya” kata Joe kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai War of Band-Joe Wings Mencari Protégé, Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 47, berkata, program itu diadakan untuk membantu kumpulan indie yang tidak diketengahkan.
"Banyak yang berbakat tetapi mereka tidak mempunyai platform untuk menunjukkan kebolehan mereka dan penganjuran program mencari bakat sedia ada tidak memberi peluang kepada mereka.
"Saya bukan sahaja mahu mencari pelapis tetapi protege yang boleh saya didik dari segala aspek termasuk penghasilan lagu sebagai pakej lengkap untuk memeriahkan industri muzik tempatan," katanya.
Joe berkata demikian ketika sidang media War of Band - Joe Wings Mencari Protege di Teh Tarik Setapak Central, pada Khamis.
Saringan bagi mencari 12 peserta akhir akan diadakan di tiga lokasi iaitu Johor Baru pada 31 Ogos, MAEPS Serdang (16 September) dan Ipoh (1 Oktober).
Manakala peringkat akhir akan diadakan di MAEPS Serdang pada 16 Oktober depan.
Tambah Joe hanya empat buah kumpulan akan dipilih pada pusingan saringan di setiap lokasi dan 12 kumpulan akan dibawa ke peringkat akhir.
“Persaingan pastinya sengit kerana, setiap kumpulan pasti mahu buat yang terbaik untuk membuktikan mereka mampu memberikan impak kepada industri muzik.
“Sebagai juri, saya akan memilih sebuah kumpulan yang bukan sahaja berbakat besar tetapi mampu memberikan kelainan memandangkan mereka perlu menyampaikan sebuah lagu baharu ciptaan sendiri pada peringkat akhir nanti.
"Kami perlu teliti dalam memilih calon peringkat akhir kerana ingin memastikan kemunculan mereka dalam industri mampu memberi impak dan berkekalan untuk waktu yang panjang.
"Ia tidak akan jadi mudah namun kami yakin peserta yang hadir untuk saringan nanti memiliki kriteria yang kami kehendaki," jelasnya.
Menariknya pada peringkat akhir nanti, Joe berkata, kesemua finalis bakal merasai pengalaman bermain di atas pentas bersaiz besar selain dilengkapi dengan sistem bunyi bertaraf antarabangsa.
"Pertandingan ini bukan sahaja mencari pelapis baharu tetapi turut memberi pengalaman sebenar kepada mereka seperti sedang mengadakan sebuah konsert sebenar.
"Ia sekali gus dapat membeti motivasi kepada para peserta bertanding dalam memberikan persembahan setaraf dengan kemudahan disediakan.
"Juara bukan sahaja akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 malah kesemua 12 peserta terlibat berpeluang merakamkan sebuah lagu dalam satu album kompilasi yang dikawal selia sendiri oleh saya," katanya.
Selain Joe, dua lagi juri peofesional pada peringkat akhir nanti adalah Hillary Ang dan Yazit (Search).
Dalam perkembangan sama, Joe berkata, had penyertaan daripada 15 hingga 35 tahun sahaja dan peserta akan diberikan lima helai baju selepas membayar yuran penyertaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai War of Bands - Joe Wings Mencari Protege boleh melayari www.tioevent.com/jwwob atau Facebook Joe Wings Protege.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan