• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    MR. OS DI JEMPUT ILAHI PADA HARI JUMAAT


    JENAZAH Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusoff Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Permata, Seri Gombak, petang tadi.

    Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang Isnin lalu akibat sesak nafas.

    Anaknya, Mohd Hazwan yang ditemui berkata, ayahnya seorang yang sangat kuat melawan sakit.

    "Abah memang ada kanser tonsil tahap empat. Keadaannya bertambah teruk dan kanser telah merebak ke paru-parunya. Tapi, dia tidak mahu kami bersedih.

    "Katanya, kalau mahu dia sihat, jangan sesiapa pun sedih atau menangis," katanya menahan sebak.

    Katanya, beberapa jam sebelum ayahnya menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham masih boleh duduk dan cuba mencabut oksigen di bahagian hidungnya.

    "Sejak Rabu lagi, doktor dah panggil saya menyatakan keadaan sebenar ayah.

    "Menurut doktor, ayah sudah tiada harapan dan minta saya panggil ahli keluarga yang lain. Sepanjang dua hari ini keadaan ayah baik. Walaupun tahu keadaan sebenar, tapi melihat semangatnya, saya ketepikan kata-kata doktor.

    "Tapi, pada jam 2.30 petang tadi, ayah pergi dengan tenang," katanya.

    Allahyarham meninggalkan dua balu, tujuh anak dan dua cucu.

    Allahyarham Mohd Yusoff memulakan kerjaya seninya pada awal tahun 1980-an dan filem lakonannya mendapat tempat dalam kalangan penonton.

    Salah satu filem yang dilakonkan turut menggunakan namanya sendiri sebagai tajuk filem.

    Filem-filem lain lakonan Allahyarham adalah seperti Boss, Kembar Siam, Adik, Awang Spanar, Cikgu Romantik dan Hero.

    Selepas menyepikan diri lebih lima tahun, Allahyarham bersama sahabat baiknya Abon membentuk Osbon dan menyertai Maharaja Lawak Mega pada 2011. 

    Rezeki orang lama, Osbon dinobatkan sebagai juara.

    Dua tahun kemudian Mr Os berganding pula dengan Isma Alif membentuk kumpulan Osama, namun gandingan itu tidak menjadi dan mereka tersingkir pada minggu-minggu awal.

    Dalam pada itu, rakan artis yang ditemui turut melahirkan rasa sedih terhadap kehilangan besar ini.

    Antaranya Bob Lokman, rakan artis yang sering bersama Allahyarham dalam aktiviti berdakwah.

    "Saya jumpa Allahyarham Jumaat lalu. Ketika itu kami ada majlis di Temerloh, Pahang. Keadaan beliau memang nampak tak sihat, tapi semangatnya membuatkan dia tetap bersama kami.

    "Sepatutnya kami bermalam di sana, tetapi tempat tinggal tu resort dua tingkat, Allahyarham tidak larat dan kami pulang terus ke Kuala Lumpur malam itu juga," katanya.

    Bob berkata, Allahyarham ada menyatakan jika dia pergi dalam masa terdekat.. Dia akan rasa lain kerana akhirnya dapat kembali kepada Islam sebenar.

    "Dalam keadaan sedih, saya gembira ALLAH SWT menjemput beliau pada hari Jumaat," katanya.

    Seorang lagi rakan seperjuangan Allahyarham, Farouq Hussien berkata, pada awalnya, dia tidak mempercayai berita kematian itu memandangkan sebelum ini pernah menjadi viral tentang kematian Allahyarham.

    "Saya dapat tahu kira-kira jam 3.15 petang. Saya telefon sendiri untuk pengesahan, dah tahu betul... terasa kehilangan sangat. Sebelum ini Allahyarham Pak Yus, Man Dayak dan terbaru Mr Os.

    "Kali terakhir kami betemu setahun lalu untuk program Raja Pantun. Waktu itu pun kesihatan beliau kurang baik. Saya kenal beliau awal 1990-an dan pernah bekerja dalam beberapa persembahan," katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan