• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    EMPAYAR KUMPULAN SLAM MASIH UTUH DAN BERBISA HINGGA KINI


    SEKITAR 20 tahun lalu, Stadium Negara, Kuala Lumpur pernah digamatkan dengan lebih daripada 20 buah lagu popular kumpulan Slam ketika Konsert Grand Slam Unplugged 1996 berlangsung di situ.

    Lagu-lagu menusuk jiwa seperti Kembali Merindu, Kembali Terjalin, Kurnia, Jika Kau Rasa Getarnya, Nur Kasih dan Gerimis Mengundang bergema di dalam ruang stadium yang boleh memuatkan seramai 10,000 orang.

    Itu adalah momen konsert terbesar daripada Slam pada waktu tersebut selepas tiga tahun membina nama dalam industri sejak tahun 1993.

    Segak bergaya dengan pakaian sedondon berwarna putih, tarikh 3 Ogos 1996 menjadi momen paling indah, bersejarah dan meninggalkan kenangan tersendiri buat kumpulan yang dianggotai Zamani, Shah, Man, Ajak, Eddie dan Lily.

    Kini, melebihi dua dekad memahat nama selaku kumpulan balada paling popular di Malaysia, Slam bakal mengubati kerinduan peminat dengan sebuah konsert, Konsert Kurnia Slam yang dijadual berlangsung pada 14 Mei depan bertempat di Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur.

    Harapan

    Menelusuri perjalanan kumpulan Slam, ada banyak cerita suka duka dan jatuh bangun mereka dalam industri. Ia termasuklah kontroversi perbalahan Zamani dengan kumpulan itu sehingga tercipta desas-desus mengatakan mereka sudah terkubur sejak Zamani menyepikan diri pada tahun 2003.

    Namun, ironinya gosip itu tidak mematikan kesuburan lagu-lagu hit mereka sehingga mampu bertahan pada hari ini. Untaian hit lagu Slam kekal menjadi legasi muzik yang akan dikenang sepanjang zaman.

    Biarpun lokasi tersebut hanya mampu memuatkan seramai 7,000 penonton, namun kata Shah, apa yang penting ialah penguasaan mereka pada persembahan sekali gus mampu meninggalkan kesan dalam hati peminat.

    “Tahun ini memperlihatkan perkembangan positif apabila ramai artis lama semakin rancak mengadakan konsert. Jadi, ia sesuatu yang perlu dibanggakan kerana peminat kembali meletakkan kepercayaan untuk datang menonton persembahan lokal.

    “Sama juga dengan kami yang meletakkan keyakinan dan harapan tinggi untuk konsert ini supaya mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat. Peminat yang datang ke konsert kami selalunya tidak akan pulang dengan hati yang hampa, sebaliknya mereka sangat puas.

    “Jadi, kami perlu untuk mengulangi kejayaan itu menerusi konsert ini nanti. Kami tidak mahu peminat rasa rugi dan jadi kami perlu melakukan lebih untuk menghargai tenaga, masa dan wang ringgit mereka,” ujar ketua dan gitaris utama, Shah.

    Pada masa sama, Slam tidak menolak andai selepas ini mereka akan kembali bergabung dan menghasilkan lagu baharu.

    Ujar Zamani: “Konsert ini akan menjadi titik tolak untuk kami kembali bersatu seandainya sambutan yang diterima daripada peminat memberangsangkan.

    “Semuanya bergantung kepada peminat kerana selama ini pun, Slam masih mampu kekal bernafas disebabkan sokongan dan harapan peminat yang tidak pernah putus terhadap kami.”

    Kejutan

    Bagi mencipta kelainan pada malam tersebut, mereka merancang menjemput beberapa orang penyanyi baharu untuk mendendangkan lagu-lagu popular Slam.

    “Dalam mana-mana persembahan, kami banyak guna lagu yang sama dan paling popular. Tetapi, kali ini kami mahu pastikan ada sedikit suntikan kelainan dengan mengubah susunan muzik agar ia kedengaran lebih segar.

    “Malah, dalam perancangan awal, kami mahu menjemput beberapa orang artis muda yang membesar dengan lagu-lagu kami. Dalam erti kata lain, ia akan menjadi segmen tribute untuk kumpulan Slam,” ujar Shah yang turut merancang untuk menggunakan khidmat kumpulan orkestra pada malam tersebut.

    Ditanya adakah Slam akan mengekalkan imej dan konsep sama seperti Konsert Grand Slam Unplugged 1996 yang menampilkan mereka dalam pakaian serba putih, Zamani tidak menolak andai konsep yang sama diketengahkan semula.

    Jaga vokal

    Vokalis merupakan tunjang utama dalam sesebuah kumpulan. Bertindak selaku vokalis Slam selama 23 tahun, tidak boleh dinafikan peranan suara emas Zamani memberi sumbangan yang besar kepada kumpulan itu untuk terus diingati sehingga ke hari ini.

    Tidak mempunyai sebarang petua khas untuk menjaga suara, Zamani berkata, hanya latihan konsisten dan berterusan merupakan rahsia utamanya sepanjang bergelar penyanyi.

    “Kali terakhir saya menyanyikan banyak lagu ialah ketika konsert di Singapura sekitar empat tahun lalu. Jadi, senggang masa selama empat tahun ini menuntut saya untuk lebih kerap berlatih.

    “Mungkin kalau orang lain, mereka ada petua atau cara sendiri untuk menjaga suara dan saya tidak nafikan perkara sedemikian membantu sesetengah penyanyi. Tetapi bagi saya, cukup dengan latihan yang kerap, ia sudah memadai,” ujar penyanyi berusia 44 tahun itu.

    Pada masa sama, dia kini mula menjinak-jinakkan diri dengan cuba bersenam pada waktu pagi untuk mendapatkan stamina yang baik menjelang malam konsert.

    “Keperluan stamina bagi posisi vokalis dan pemuzik sangat berbeza sebab seorang penyanyi perlu mempunyai stamina yang kuat dari dalam badan, terutamanya suara dan nafas.

    “Jadi, untuk konsert ini saya perlu lebih bekerja keras dan melakukan senaman demi memastikan persembahan saya tidak terjejas sepanjang berlangsungnya persembahan,” katanya.

    Disebabkan jarang dapat bersama dalam sebarang persembahan, Zamani berkata, agak sukar untuk mencipta kerjasama dalam masa singkat. Namun, disebabkan keserasian yang sudah tercipta sejak 20 tahun lalu memungkinkan mereka bersiap siaga menanti malam konsert.

    “Kali terakhir kami praktis bersama ketika persembahan untuk sebuah majlis anugerah baru-baru ini. Kerjasama memang boleh tetapi ia memerlukan sedikit masa dan kerja keras dari segi latihan.

    “Dalam masa sebulan lebih ini, kami perlu menghabiskan masa lebih banyak di studio untuk sesi latihan. Apa yang penting, selain keserasian dan kerjasama, susunan muzik perlu diutamakan.

    “Walaupun semua lagu yang kami akan bawa nanti semuanya sama sahaja dengan persembahan terdahulu, tetapi kami buat kelainan dengan menyusun muzik yang lebih baharu dan segar sesuai dengan kehendak peminat masa kini,” jelasnya.

    Tiket Konsert Kurnia Slam 2016 mula dijual dengan harga bermula RM88, RM158, RM198 dan RM399. Ia boleh didapati menerusi laman web www.ticketpro.com.my atau hubungi talian 03-7880 7999 untuk pembelian.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan