• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    JUARA MILIK PENDEKAR MUSTAR


    Menepati ramalan, Mustaffa Rasyid Abd. Jabar, 47, atau Mustar sekali lagi bergelar juara setelah menewaskan tiga pencabar terdekatnya di pentas akhir Kilauan Emas Otai (KEO) yang berlangsung minggu lalu.

    Membawa pulang wang tunai RM150,000, reaksi Mustar ketika diumumkan sebagai pemenang seolah-olah tiada perasaan, sekali gus mengingatkan kembali momen di pentas akhir Kilauan Emas musim kelima (Ke-5) pada tahun lalu.

    Sememangnya dikenali dengan aksi bersahaja, persembahannya pada malam kemuncak rancangan ini berjaya memikat hati juri profesional dan peminat untuk memenangi program realiti yang mengumpulkan barisan finalis Kilauan Emas musim-musim terdahulu itu.

    Ditanya perkembangannya sejak menjuarai pertandingan itu musim lalu, Mustar memberitahu, pelanggannya telah beberapa kali melarang dirinya daripada terus menjadi tukang rumah.

    “Lepas tamat Kilauan Emas tahun lalu, saya masih lagi membuat kerja seperti biasa. Dalam tempoh setahun ni, ada empat buah rumah telah disiapkan serta beberapa kerja pembaikan dilakukan.

    “Namun, ada beberapa pelanggan tidak membenarkan saya untuk terus bertukang. Kata mereka, saya sudah seperti artis, tidak sesuai lagi membuat kerja-kerja buruh ini.

    “Entahlah, saya ikutkan saja nasihat mereka. Saya berhenti bertukang dan fokus mengadakan persembahan nyanyian dalam pelbagai majlis. Alhamdulillah, rezeki itu sentiasa ada, cukup untuk menyara seisi keluarga,” katanya.

    Tambah Mustar, mengikutkan kata hati, dia mahu terus bertukang rumah kerana itu adalah kemahirannya. Bidang nyanyian sekadar hobi memenuhi ruang masa ketika ada kelapangan. Katanya lagi, dia tidak tahu selok-belok industri muzik selain daripada menyanyi.

    Bertanyakan perancangannya selepas menjuarai rancangan itu, dia akui telah merencanakan lebih awal seolah-olah begitu yakin kemenangan berpihak kepadanya.

    “Saya rasa semua finalis ada rancangan tersendiri untuk memanfaatkan RM150,000 ini sekiranya menang. Alhamdulillah, ia menjadi rezeki saya pada malam ini. Ada beberapa perancangan telah dibuat termasuklah mengadakan majlis kenduri doa selamat.

    “Seterusnya jika diizinkan, mahu melakukan ibadah umrah tetapi sekadar rancangan, belum ada kepastian,” ujarnya.

    Dalam peringkat akhir itu, Mustar menewaskan seorang lagi bekas juara iaitu Ahmad Fuad Zaharullail, 48, yang berada di kedudukan kedua dengan membawa pulang wang tunai RM50,000.

    Manakala tempat ketiga menjadi milik pesara tentera, Idris Mohd. Shabidin, 54, sementara Mohammad Nasiruddin Mohd. Hashim, 45, pula di tempat keempat. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM30,000 dan RM10,000. Anugerah Khas Juri sebanyak RM10,000 disampaikan kepada seorang lagi peserta iaitu Silahudin Ali.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan