MENIKMATI gelaran ibu pada awal usia 30 tahun telah mengubah perspektif hidup aktres popular, Lisa Surihani. Penantian sekitar tiga tahun setelah menamatkan zaman solo pada 24 Februari 2012 telah memberikan sebuah anugerah buatnya.
Kurniaan tersebut ternyata lebih bernilai daripada segala pencapaian dan kilauan glamor yang telah diraih sepanjang bergelar anak seni sejak belasan tahun.
Menerima kehadiran puteri sulung, Yahaira Leanne, pada tanggal 15 September tahun lalu, membuatkan Lisa berasa kehidupannya sebagai seorang wanita sudah sempurna sehingga dia sukar untuk berenggang dengan anaknya itu.
Meletakkan anak sebagai keutamaan dan kepentingan dalam hidupnya sekarang, Lisa berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk melepaskan kerjayanya sebagai selebriti.
“Jika ditakdirkan saya bersara untuk berada di samping Yahaira sepanjang dia membesar, tiada perasaan ralat kerana sepanjang berada dalam industri sejak usia 11 tahun, saya telah menikmati banyak momen indah dan bersyukur dengan segala pencapaian yang pernah diraih.
“Malah sekarang pun, saya sudah mula memperlahankan karier dan hanya menerima tawaran jika produksi boleh bertoleransi dengan permintaan saya yang kini bersifat sedikit peribadi seperti lokasi tidak boleh terlalu jauh dan waktu juga tidak boleh terlampau lama,” ujar Lisa yang tidak mahu terlepas momen melihat anaknya membesar.
Perasaan gementar dan bimbang saat pertama kali bergelar ibu bapa turut mendorong Lisa dan suami, Yusry untuk menjadi teraju utama dalam program keibubapaan terbitan Astro, eBu Babypedia.
Sering keliru dan tertanya-tanya apakah cara terbaik dalam membesarkan Yahaira, Lisa berkata, sifat ingin tahu serta naluri keibuan yang ada dalam dirinya semakin membuak-buak selepas selamat melahirkan.
“Menerusi eBu Babypedia, saya dan Yusry cuba untuk berkongsi petua-petua tradisional yang tidak diterokai dengan mendalam untuk ibu bapa di luar sana.
“Kami akan bertanya kepada pakar-pakar dan juga pihak yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini agar boleh membantu masyarakat di luar sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran eBu Babypedia di Grand Duchess, Fraser Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, pelakon Legenda Budak Setan ini juga akan membuat sedikit sorotan dalam kehidupan sehariannya selepas bergelar ibu kepada Yahaira dan bercerita tentang pengalaman sendiri sejak awal kehamilan, bersalin dan berpantang.
Tambah Lisa, dia sangat seronok ketika menerajui program tersebut kerana ia turut memberi panduan kepada dirinya dan pada masa yang sama ilmu itu turut diperoleh oleh peminatnya.
Katanya: “Bagi saya, ini adalah pasaran yang tidak disentuh oleh produksi lain walaupun sebenarnya, ramai ibu bapa di luar sana yang terlalu inginkan satu program ilmu seperti eBu Babypedia.
“Saya berharap menerusi program ini, ibu bapa di luar sana tidak akan teragak-agak untuk berkongsi pengalaman mereka membesarkan anak-anak dan tidak malu meminta bantuan pakar jika memerlukan.”
Lisa sering menangis
Dalam pada itu, Yusry yang biasanya dikenali sebagai seorang yang pendiam dan pemalu dilihat sangat menyerlah dalam eBu Babypedia.
Kata Yusry, dia cuba menjadi diri sendiri dan tidak mahu kelihatan seperti sedang berlakon, malah tiada sebarang skrip yang disediakan, cuma informasi tentang apa yang akan mereka bincangkan bagi setiap episod.
Terpanggil untuk bergandingan dengan isterinya buat pertama kali di hadapan kamera, Yusry berkata, ia satu sesuatu yang wajar dilakukan kerana tidak ramai yang terbuka untuk bercerita tentang pengalaman bergelar ibu bapa.
Jelas Yusry, sewaktu hamil, Lisa sering memilih internet atau carian Google untuk membuat sebarang rujukan. Jika apa yang dijumpai dipercayai negatif, Lisa akan panik dan menangis kebimbangan.
Sebagai simbolik kasih sayang mereka, Lisa yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-30 pada 23 Mac lalu diberikan kejutan istimewa dan sambutan awal oleh Yusry pada majlis pelancaran eBu Babypedia, yang turut dihadiri keluarga mereka.
“Justeru, dengan adanya program seumpama ini iaitu mendapat penjelasan daripada pakar sendiri, ia mampu membuang kebimbangan, bukan sahaja Lisa tetapi juga para ibu bapa di luar sana,” ujar Yusry.
Turut mempamerkan wajah Yahaira dalam beberapa episod eBu Babypedia ini, Yusry menegaskan, tiada istilah anaknya hak eksklusif mana-mana pihak.
Katanya, dia sudah berbincang agar perjalanan program tersebut hanya memberi fokus kepada dia dan Lisa dalam menangani halangan bergelar ibu bapa baharu dan bukan aktiviti harian Yahaira.
“Memang penonton akan dapat melihat wajah Yahaira seperti dalam majlis akikah, namun bagi saya itu adalah logik kerana ia adalah keraiannya, pasti anak saya akan muncul.
“Sebenarnya, seperti yang pernah kami beritahu sebelum ini, kami tidak mempunyai syarat khusus untuk Yahaira, malah di laman sosial pun jika saya terasa ingin memuat naik gambarnya, saya akan lakukan. Ianya kerana atas keinginan saya dan bukan paksaan mana-mana pihak,” jelasnya panjang lebar.
Gelagat Lisa dan Yusry dapat disaksikan di eBu Babypedia bermula 15 Mac lalu pukul 9 malam di saluran 104 Astro Ria dan Astro Ria HD, saluran Astro 123.
Astro turut menghasilkan aplikasi khas eBu yang memudahkan ibu-ibu mencatat perkembangan aktiviti anak-anak seperti perkembangan terkini, pembesaran fizikal dan perbelanjaan yang digunakan. Ia merupakan aplikasi bahasa Melayu pertama di Malaysia pernah diwujudkan.
Selain Lisa dan Yusry, eBu Babypedia juga turut dibantu oleh Jihan Muse dan Bell Ngasri sebagai pelakon tambahan untuk melakonkan semula adegan-adegan yang biasa dialami oleh ibu bapa dalam bentuk komedi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan