KETIKA sesi fotografi ini berlangsung, pelakon Linda Rafar segera meluahkan kegundahan jiwa dan keresahan hatinya. Kata Linda, dia sendiri tidak menduga hubungan dengan Syed Aiman, suami tercinta akan melalui fasa getir hanya kerana dek emosi yang tidak terkawal.
Semuanya bermula apabila dia memuat naik sekeping gambar pernikahan dengan perkataan ‘Akad Cerai’ di laman Instagram sebelum memfailkan permohonan cerai pada 11 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semua itu adalah pemulaan kepada kemelut rumah tangga pasangan ini.
Setelah dua minggu penceraian itu difailkan, di sebalik rasa kacau itu, Linda sebenarnya mahu hubungan bersama suami dijernihkan semula.
Bermaksud dia dan suami akan rujuk kembali demi rasa cinta dan sayang yang masih utuh.
“Ya, kami dalam proses untuk rujuk. Saya akan hentikan kes itu dalam masa terdekat ini.
Saya akui, fasa itu bermula kerana sedang mengandung. Itulah yang memberikan kesan sehingga saya melakukan perkara yang mengarut.
Wanita mengandung. Biasalah memang akan cepat sensitif. Buat masa ini, saya dan Syed akan berbincang semula mengenai kehidupan kami.
“Kami juga akan berbincang dengan pihak keluarga untuk langkah seterusnya demi mengukuhkan kembali ikatan kekeluargaan ini,” kata Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar.
Memang, semasa permohonan cerai difailkan, Linda mengakui, jiwa sensitif yang tengah menggelodak membuatkan dia sudah tawar hati dengan sikap suami.
Dalam keadaan beremosi juga, semuanya memang akan berlaku, itu kata Linda. Tanpa meminta nasihat keluarga, dia bingkas dan bertindak secara melulu.
“Syed sebenarnya marah kerana saya bertindak sedemikian. Dia akui, mereka tidak perlu bergaduh kerana bukan niatnya untuk membawa hubungan kami ke arah penceraian.
“Malah, pihak mahkamah juga ada memberi nasihat agar saya meneliti kembali lafaz cerai itu kerana ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main.
“Kami kembali ini juga kerana Syed masih sayangkan saya dan anak-anak. Saya akui, sikap tidak matang saya membuatkan saya cepat membuat keputusan yang terburu-buru,” sesalnya.
Tiada alahan
Siapa sahaja, perceraian bukan perkara mudah untuk dipenuhi oleh setiap pasangan. Begitu juga Linda.
Kerana perkara itu, dia akui, sudah belajar erti dan nilai sebuah perkahwinan.
“Perkahwinan sangat suci. Bagi saya perkahwinan itu sangat naif dan kita yang perlu mencorak dan membentuknya.
“Kami berdua pernah gagal dalam perkahwinan pertama. Perkara itu memberikan kami banyak pengajaran. Takut lagi untuk hadapi semua itu.
“Tapi, saya bersyukur kerana apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya sendiri perlu bersangka baik jika diuji perkara sebegini. Doakan kami ya,” katanya yang kini sedang hamil tiga bulan.
Tentang kehamilan itu, Linda akui, dia makan seperti biasa tetapi asyik mual walaupun kadang-kadang tidak menjamah sebarang makanan.
“Ini kali kelima saya mengandung. Tiada apa yang lain kecuali selalu muntah.
“Apa yang pasti setiap kali mengandung, perut saya tidak besar tetapi yang cepat naik adalah berat,” katanya sambil ketawa.
Beralih pula kepada kehidupannya sebagai pelakon, Linda berkata, dia masih tidak mengambil tawaran sementara baru dalam fasa mengandung.
“Memang sudah lama tidak keluar televisyen tetapi tawaran berlakon masih ada. Cuma saya masih belum bersedia kerana baru hamil.
“Baru-baru ini, saya dapat tawaran untuk kerja luar tetapi menolaknya kerana perlu ke Grik, Perak.
“Susah juga untuk saya tinggalkan keluarga. Untuk berhenti berlakon, saya sendiri tidak berkata begitu. Saya masih mahu berlakon,” jelasnya.
Seminggu duduk berasingan
Selama dalam proses cerai, Linda, 37, dan Syed, 40, sebenarnya pergi membawa hati yang lara. Masing-masing mengambil keputusan untuk duduk berasingan selama seminggu.
Kata Linda, seminggu itu adalah untuk mereka tenangkan diri dan berfikir secara waras dengan kekhilafan yang berlaku.
Masa itu, saya bersama anak-anak pulang ke rumah lama yang terletak tidak jauh dari rumah baharu. Syed pula bercuti sendirian.
“Sebelum pergi, dia ada nasihatkan saya fikirkan apa sebenarnya saya mahu dalam kehidupan ini,” katanya sambil memberitahu, Syed baru pulang ke rumah semasa sesi fotografi ini dijalankan.
Malangnya, Syed tidak dapat ditemu bual memandangkan dia sedang tidur akibat kepenatan.
Meneruskan sesi temu bual, Linda terus akui, jodoh bersama Syed masih ada dan dia memang mahukan perkara baik dalam hubungan suami isteri.
Saya mahu menjadi isteri yang paling lengkap untuk suami, saya mahukan keluarga yang sempurna dan saya juga mahu jadi pelakon yang baik.
Memang tidak dinafikan kerana terlalu ego, saya bertindak di luar kawalan sedang semasa lafaz itu dibuat, saya tahu ada jalan penyelesaiannya.
“Bukan pertama kali kami bergaduh tetapi akan kembali baik. Lagipun, Syed orangnya susah untuk memujuk dan saya pula sukar memaafkan jika ada orang buat salah terhadap saya,” katanya.
Menambah tentang kisah ego diri, Linda memberitahu, dia seorang yang cepat marah.
Walaupun akan bergaduh dengan ahli keluarga atau kawan, saya pasti akan menjadi orang pertama yang bertanya balik khabar. Keluarga memang kenal sikap sensitif saya.
“Buat masa ini, saya sudah memaafkan diri sendiri dan Syed dengan situasi yang berlaku terhadap kami,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan