• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    INTAN LADYANA SENTIASA TENANG JAWAB SOAL JODOH


    BUKAN sekali dua orang bertanyakan hal jodoh kepadanya tapi sehingga hari ini, Intan Ladyana sendiri masih menyimpan seribu satu rahsia tentang perkara berkenaan.

    Baginya apa sahaja hal berkaitan dengan jodoh acap kali ditanya tetapi dia tetap tenang menjawab perkara berkenaan meskipun diulit rasa kurang senang.

    Rasanya ini bukan kali pertama orang bertanyakan hal yang sama. Mungkin orang ambil berat pasal saya dan pelik mengapa sampai sekarang saya masih belum bernikah.

    “Jawapan saya mudah, belum lagi ada rezeki. Kalau betul saya akan berkahwin nanti tentu saya akan umumkan kepada semua tentang perkara baik berkenaan,” katanya berterus terang.

    Jelas Intan lagi, dia tidak pernah terasa hati jauh sekali tersentap dengan soalan yang paling ditakuti oleh kebanyakan orang yang masih belum berkahwin memandangkan perkara tersebut adalah normal.

    Baginya selagi mereka bertanya, itu sudah cukup menandakan yang kebanyakan daripada mereka mengambil berat tentang dirinya sejak dahulu lagi.

    Ketika ditanya benarkah dia kini sedang menjalinkan cinta dengan seseorang, Intan hanya tersenyum manis menjawab pertanyaan yang dilemparkan kepadanya.

    Kalau boleh memang saya mahu lagi komen tentang perkara berkenaan. Sama ada sudah berpunya atau belum biarlah saya simpan sendirian sahaja.

    “Kalau ada jodoh barulah saya akan umumkan siapakah lelaki bertuah tersebut,” katanya lagi.

    Melihatkan keadaan sekeliling terutama rakan-rakan baiknya yang sudah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata, ada kala membuatkan hatinya berdebar-debar.

    Memandangkan dia sendiri sukakan bayi dan kanak-kanak, pastinya perkara tersebut kadang kala menyentap tangkai hatinya.

    Pun begitu dia tidak mahu terburu-buru mencari calon suami segera dek kerana mahukan anak tanpa mengenali hati budinya dahulu.

    Bukan tak cemburu melihat rakan-rakan seusia saya sudah mempunyai anak sendiri tapi saya tahu rezeki saya untuk bernikah masih belum sampai.

    “Untungnya keluarga saya tidak pernah mendesak tentang soal itu. Mereka juga tidak pula mencarikan calon untuk saya dan menyerahkan soal itu kepada saya,” jelasnya satu persatu.

    Rezeki
    MENGULAS mengenai perkembangan terbaharu pula, Intan kini sedang giat membangunkan bisnes pakaian yang diusahakan bersama dengan pereka terkenal negara sebelum kembali ke lokasi penggambaran hujung bulan ini.

    Ditanya mengapakah bisnes pakaian yang menjadi taruhan, Intan menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang normal untuk wanita sepertinya.

    Akuinya fesyen dan kehidupan peribadi wanita memang tidak dapat dipisahkan dan tidak salah seandainya dia mahu berkongsi cita rasa bersama dengan masyarakat di luar sana.

    Jangan risau kerana koleksi yang akan saya keluarkan nanti merupakan pakaian wanita yang sopan dan sesuai dengan keadaan semasa.

    “Harga yang bakal dikenakan juga berpatutan dan tidak mahal. Saya cuma mahu berkongsi kesukaan berfesyen bersama dengan mereka. Itu sahaja,” jelasnya.

    Baginya dia mengambil fasa ini untuk berehat di samping memikirkan rekaan baharu untuk baju yang bakal dikeluarkan pada hujung tahun ini.

    Bukan tak ada tawaran yang datang tetapi ada di antaranya yang saya tolak disebabkan mahu memberikan tumpuan kepada bisnes ketika ini.

    “Dalam hal bisnes macam ni tak boleh main-main. Sebab itu saya ambil masa untuk bercuti dan mempelajari selok-belok dunia perniagaan ini,” jelasnya bersungguh-sungguh.

    Tambah wanita ini lagi, jika boleh dia bercita-cita untuk membina empayar sendiri dan bukannya melakukan bisnes bermusim seperti mana yang berlaku kepada kebanyakan artis sebelum ini.

    Sedar dengan sindiran sinis yang sering dilemparkan oleh segelintir pihak kepada golongan artis yang berniaga, Intan mengharapkan peluang luas akan terbuka kepadanya nanti.

    Bukan saya tak sedar orang selalu kata golongan artis kalau berniaga selalunya tak lama. Tak ada apa yang salah dan seharusnya mereka juga diberikan galakan dan dorongan untuk berjaya.

    “Saya anggap ini langkah baharu yang harus ditempuhi. Soal gagal atau tidak bukan perkara yang harus ditakuti asalkan saya sudah mencuba sebaik mungkin dalam bisnes,” katanya lagi.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan