Berumur 35 tahun, bagi lelaki ini tiada apa yang lebih penting buat dirinya selain sebuah keluarga. Mengimpikan apa yang dimilikinya ini sejak beberapa tahun dahulu, nampaknya bukan mudah untuk Jimmy Shanley mengecapi peranan seorang suami dan ayah itu selepas percubaan kali pertamanya boleh dikatakan gagal.
Bagaimanapun menggunakan peluang kedua yang dimiliki, kata Jimmy dia kini cukup bersyukur untuk dapat melalui apa yang cukup diidamkan diri selama ini. Tidak menolak, peranan isterinya Mariam Jamilah Abdul Jalil juga sebagai penyebab kebahagiaan kepada kehidupannya kini. Kata Jimmy, fokus hidupnya tiada yang berbeza seperti lelaki yang sudah berkeluarga di luar sana selain mahu membekalkan bukan sahaja wang ringgit tetapi juga kasih sayang secukupnya.
Turut tidak menolak sudah mempunyai ‘wanita’ baharu dalam hatinya, sudah pasti Hannah Shanley yang kini berumur empat bulan bakal mencorakkan kehidupan baharu buat keluarga kecilnya.
Kenalkan anak kedua saya Hannah Shanley yang kini berumur empat bulan yang dilahirkan pada 23 Mei lalu.
“Jujurnya walaupun sudah dua kali bergelar bapa, namun kali ini saya merasai sendiri pengalaman dalam bilik bersalin dan sama-sama dengan isteri untuk membesarkan anak kami,” katanya.
Tidak mahu berselindung, kata Jimmy atau nama sebenarnya Shanley Norjahan Salleh, berbeza dengan kehidupannya sebelum ini ternyata mempunyai anak kecil memberi makna pertambahan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Walaupun pada mulanya agak kekok, namun selepas empat bulan Jimmy tidak mahu nafikan ini adalah kehidupan yang pernah menjadi impiannya sebelum ini.
“Walaupun tugas ibu itu nampak lebih banyak, namun saya sebagai ayah tidak akan menolak jika diminta isteri untuk membantu. Walaupun semua yang dilakukan ini adalah kali pertama, saya tidak mahu nafikan perasaan seronok itu.
“Kadang bila berjaga malam, dan rumah agak selerak memang tidak selesa. Namun itulah yang membezakan kehidupan bujang dan berkeluarga kini. Apa yang perlu saya faham menyesuaikan diri dengan tanggungjawab serta kehidupan baharu akan mengambil masa,” katanya tersenyum.
Walaupun sudah empat bulan umur anak keduanya kini, ramai yang masih tidak tahu akan kewujudan Hannah. Menafikan dia cuba menyorokkan anaknya daripada pengetahuan umum, kata Jimmy apa yang berlaku sebenarnya adalah kerana dia tidak mahu anaknya juga mendapat tempias dunia seni yang diceburinya.
Sebenarnya bukanlah saya mahu menyorokkan Hannah, kalau ada yang mengikuti laman Instagram saya, pasti perasan ada gambar bayi di situ. Cuma untuk berkongsi terlalu banyak gambar sebelum ini memang saya hadkan memandangkan anak saya masih kecil.
“Tambahan pula kalau boleh saya mahu pastikan anak saya tidak terkesan dengan dunia laman sosial kini yang kalau kita lihat tidak ada sempadan. Melihat anak artis-artis lain dibandingkan kalau boleh saya tidak mahu perkara ini terjadi ke atas anak saya pula. Sebab saya mahu besarkan dia dalam keadaan normal seperti bayi lain” kongsinya.
Jika sebelum ini dia sibuk memperjuangkan peranan sebagai seorang ayah untuk anak pertamanya Zahrah Rania Shanley, 4, adakah ini bermakna tiada lagi usaha keras itu. Menolak persepsi itu, kata Jimmy tiada sebab untuk dia melupakan zuriatnya sendiri. Bagaimanapun dalam menapis jawapan, dia tidak mahu terlalu bercakap soal ini.
Tiada siapa yang dapat menggantikan anak saya dalam hati ini. Cuma saya tidak mahu terlalu bercakap soal itu memandangkan ini melibatkan banyak pihak.
“Setakat ini apa yang boleh saya katakan, saya serahkan ini kepada undang-undang sahaja,” katanya.
Curidose
Selain sibuk menjadi penyampai radio di Ultra FM, pengacara yang pernah terkenal melalui Trek Selebriti ini juga kini sedang meraih perhatian melalui perniagaan terbaharu miliknya. Memilih untuk memasarkan selipar jenama Curidose, kata Jimmy selepas beberapa bulan dia melihat sendiri potensi yang perniagaan ini akan pergi lebih jauh.
Kenapa saya memilih untuk menjual selipar? Saya fikir semua orang perlukan selipar apa yang boleh saya kaitkan dengan diri saya sebagai seorang beragama Islam setiap hari Jumaat, contohnya kebanyakan orang pergi ke masjid untuk menunaikan ibadah dan selesa memakai selipar. Sebab itu saya percaya potensi perniagaan ini.
“Memilih jenama Curidose, sebabnya ini memberi makna kalau mencuri itu berdosa. Kalau ikutkan kehilangan selipar di masjid juga memberi inspirasi kepada kami untuk menjenamakan selipar ini,” kongsinya.
Dengan pertambahan pesanan, kata Jimmy dia tidak menolak waktunya kini banyak dihabiskan untuk membesarkan perniagaannya. Walaupun berbahagi masa dengan keluarga katanya kini dia masih belum puas untuk terus mencuba dalam pelbagai bidang perniagaan lain lagi.
Kalau lakonan memang saya tidak fikir boleh lakukan lagi, fokus saya kini hanya perniagaan Curidose. Di masa hadapan juga saya sedang merangka untuk memajukan perniagaan saya dalam bidang makanan pula. Mungkin juga tidak lama lagi saya akan muncul dengan kafe sendiri.
“Tidak hanya saya, isteri saya juga kini sedang berjinak-jinak dengan perniagaan. Memandangkan dia meminati bidang masakan, dia juga sibuk menyiapkan tempahan biskut coklat miliknya. Bagi kami berdua apa yang sedang dilakukan ini sebagai persiapan kami untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, kata Jimmy selain menggunakan platform laman sosial untuk memasarkan barangannya. Produk Curidose juga boleh didapati di kedai Fancy Futsal yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Dalam pada itu, Jimmy turut mengalu-alukan pengedar yang mahu turut serta dalam perniagaan ini dengan menelefon Noah di 012-3403344.
Enggan menoleh ke belakang lagi, kata Jimmy melayari kehidupan sebagai seorang suami dan ayah kini, dia faham apa yang penting sekarng adalah untuk menghargai setiap pemberian Ilahi. Mungkin suatu ketika dia pernah kecundang, namun melihat apa yang diberi kini, mungkin ada kelebihan yang boleh digunakan.
Sejak berkahwin, saya memilih untuk menjadi suami yang sentiasa menghargai peranan isteri. Jangan pernah ambil mudah kalau isteri minta bantuan memandangkan jika kita ringan tulang dalam masa yang sama turut dapat membantu mereka.
“Bercakap soal ini, Mariam pada saya adalah seorang isteri yang baik. Selain memahami pekerjaan saya dia juga adalah penyokong utama saya kini,” ujarnya.
Terus bercakap mengenai perancangan masa hadapan, lelaki ini tidak mahu mengalah untuk terus membesarkan keluarganya. Mengidamkan lebih ramai anak, harapnya selepas ini dia juga mempunyai seorang anak lelaki.
Kelahiran Hannah membuka lembaran baharu buat kami dan selain kerja, saya juga mahu terus membesarkan keluarga saya.
“Memang sudah menjadi impian saya untuk mempunyai ramai anak. Kalau boleh selepas dua anak perempuan, harapnya ada rezeki saya dan isteri untuk dapat anak lelaki pula,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan