Pelawak dan pengacara Jihan Muse, 32, mengesahkan dia akan berkahwin dengan kekasihnya yang juga pelakon Ku Hariz selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Jihan ketika dihubungi turut menafikan dia akan berkahwin bulan depan seperti dakwaan beberapa portal media sejak kelmarin.
"Bukan saya tidak mahu berkongsi sebab perancangan (berkahwin) itu memang ada, tetapi bukan bulan depan seperti yang diperkatakan itu.
"Jadual kerja saya sangat padat sekarang. Jadi saya tidak berani berkongsi sebarang tarikh dulu," katanya.
Desas-desus mengatakan dia akan berkahwin bulan depan timbul apabila seorang rakan pelawak itu yang menetap di luar negara merancang pulang ke tanah air bulan depan untuk menghadiri majlis terbabit.
Gosip perkahwinan Jihan dengan pelakon filem Polis Evo itu pertama kali diperkatakan sejak mereka menjalin hubungan lebih lapan tahun lalu.
Jihan berkata, dia turut terkejut dengan berita itu sedangkan dia dan keluarga langsung tidak mengetahu perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan