Jika Abby Abadi kini menanti hari untuk kembali bergelar isteri, pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza pula makin sibuk merencana kehidupan mereka.
Selepas tabah dan sabar berhadapan dugaan dan kontroversi, kehidupan mereka kini dilimpahi kasih sayang dan kebahagiaan dalam berumah tangga bersama dua cahaya mata.
Pasangan itu memanjatkan kesyukuran kerana rezeki mereka tidak pernah putus. Kalau bukan dalam bidang lakonan, mereka sibuk dengan perniagaan dalam talian dan tawaran sebagai duta produk.
Selepas melahirkan anak kedua pada 8 April lalu, Memey kini kembali sibuk. Malah mereka dikatakan berdebar-debar menanti kelahiran ‘bayi’ terbaru mereka pada 29 Ogos ini.
Kata Norman, seram sejuk, rungsing dan sebagainya ada dalam diri. Mereka juga membuat segala persiapan dan kini hanya menunggu saatnya.
Sebenarnya kami berdebar-debar menantikan pelancaran Butik Meylana. Ia disifatkan bisnes yang mampu melonjakkan lagi jenama kami berdua dalam kalangan peminat fesyen Muslimah tanah air.
“Sebanyak 11,000 pasang baju disediakan untuk pembukaan butik itu nanti. Itu yang membuatkan kami sangat gementar. Kebanyakan pakaian yang dihasilkan lebih sesuai untuk pasangan,” katanya.
Kata Norman, perancangan dilakukan selama setahun tapi secara sikit-sikit. Sebelum puasa tempoh hari mereka sangat sibuk dan bersyukur ia mendapat sambutan.
“Disebabkan sambutan itu, kami terus rancang buka butik. Tambah pula pengikut pun ada,” katanya.
Memey akui mereka tidak mendapatkan khidmat pereka fesyen sebaliknya hasil cetusan idea sendiri. Malah idea juga berlaku secara spontan sedari dulu.
Dua hari sebelum Syawal, saya tiada baju baru untuk dipakai lantas terus ke kedai kain, memilih lalu membeli kain. Apabila dibawa ke tukang jahit, kami tempah set pakaian untuk pasangan.
“Ketika memuat naik foto kami berdua ke laman sosial, ramai puji dan bertanya cara mendapatkan set pakaian itu. Dari situ, timbul pula idea untuk hasilkan rekaan set pasangan,” katanya.
Mereka turut berkongsi kegembiraan dilantik sebagai selebriti jemputan melancong bersama peminat anjuran Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd.
Kata Norman, mereka ditawarkan rakannya yang kebetulan sebelum ini berkolaborasi dalam beberapa aktiviti ceramah perniagaan dan motivasi di beberapa negeri.
“Seorang rakan perkenalkan kami kepada Kembara Sufi. Kebetulan agensi itu mencari cara untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan mereka sebelum ini dan kami diundang sebagai perantara.
“Selalunya saya dan isteri suka melancong sendiri. Destinasi tak penting, yang penting momen apabila melancong,” katanya.
Norman akui tertarik dengan konsep ditawarkan agensi, konsep percutian kekeluargaan dan setiap lokasi dipilih ada tazkirah dan perkongsian menarik mengenai tempat dilawati.
“Apabila ditawarkan peluang itu, Memey paling teruja kerana dapat merasai peluang melancong bersama peminat sambil membeli-belah dan melakukan aktiviti bersama,” katanya.
Sejak bergelar usahawan, Norman dan Memey akui pada era teknologi maklumat kini, bisnes boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Katanya, sebagai ahli perniagaan dalam talian, mereka boleh memantau pergerakan perniagaan melalui dalam talian juga.
“Kalau keluar pun, masih boleh dipantau dari jauh. Dulu, kita mungkin terpaksa berada di pejabat sepanjang masa untuk memantau pergerakan perniagaan,” katanya.
Norman juga gembira bekas isterinya akan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya pada 14 Ogos ini. Dalam nada gembira tapi ringkas, pasangan itu bersyukur dan gembira serta berharap perkahwinan Abby kali ini terus kekal ke akhir hayat.
“Sebelum ini kalau jumpa, dia akan kongsi tapi hanya sekadar bagi ‘hint’. Kita kenal semua dan ada juga keluar makan bersama.
“Hint dia bagi, cuma nak kepastian saja. Kami betul-betul tahu apabila kami beraya bersama-sama tempoh hari,” katanya yang cuba untuk hadir pada hari pernikahan Abby sebagai tanda sokongan.
Dari segi aktiviti seni, Norman bakal menjayakan filem Muluk arahan Datuk A Razak Mohaideen. Dia juga lebih selektif untuk berlakon dalam telefilem saja kerana tuntutan masa terhad sebagai duta produk.
Memey pula terpaksa mengurangkan aktiviti berlakon kerana memberi tumpuan kepada pembukaan butiknya penghujung bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan