• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ZAMANI SLAM SEDANG MENDERITA


    STATUS selebriti yang disandang seseorang artis secara amnya nampak gah andai diulit populariti sehingga dihurung peminat ibarat semut menghurung gula.


    Kehidupan golongan ini juga kadang-kala bertukar 360 darjah, daripada individu yang sebelum ini hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kepada gaya hidup mewah tanpa perlu lagi hidup dalam kesempitan.

    Apabila senario ini melanda, segalanya terpulang kepada kekuatan jati diri individu itu tersebut. Adakah terus mendongak langit sekali gus dibawa arus penuh glamor yang dikecapi atau mampu mengimbangi kesenangan yang dilimpahi dengan sentiasa tunduk melihat bumi?

    Berbicara tentang liku kehidupan seorang artis, Mega kali ini cuba menyelami naluri vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 44, yang kini menjadi penghuni Rumah Pengasih setelah diberkas polis pada awal 2015.

    Didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 1.20 gram, Zamani menempuhi satu pengalaman yang tidak pernah dilaluinya sepanjang 13 tahun menjerumuskan diri ke kancah tersebut.

    Tiga bulan berlalu, akhirnya Zamani memberanikan diri bertemu khalayak dengan mengadakan sidang akhbar tentang perkembangan terkininya.

    Zamani yang dahulunya cengkung dengan berat 44 kilogram dilihat semakin berisi setelah tiga bulan berada di rumah berkenaan.

    Memulakan perbualan pada petang itu, Zamani memberitahu berta badannya kini bertambah 11 kilogram.

    Katanya, itu adalah satu perkembangan positif yang harus dikongsi kepada umum.

    Sejak duduk di sini, saya dijaga dengan baik terutama bab makan dan minum. Jika sebelum ini hidup saya terumbang-ambing, sekarang ini tidak lagi. Mungkin itu antara faktor yang menyumbang ke arah peningkatan berat badan.

    Bukan itu sahaja, setelah beberapa sesi kaunseling yang dihadapi sepanjang berada di Pengasih, ketagihan saya akhirnya hilang.

    Ini adalah perkara yang paling menggembirakan saya kerana selama ini, usaha untuk berhenti menagih tidak pernah berjaya.

    Sebelum ini kalau saya cuba untuk berhenti, paling lama pun seminggu dua. Tidak pernah cecah sebulan.

    Dek pengaruh kawan-kawan, saya kembali semula menagih. Akan tetapi, bukan mudah untuk mencapai ke tahap ini. Empat bulan tanpa bahan terlarang itu merupakan pencapaian yang tidak pernah diduga.

    Bagaimana saya menahan ketagihan itu dalam tempoh pemulihan di sini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

    “Ini satu pengalaman yang sangat menyeksakan dan menyakitkan. Sering menggigil menahan rasa ketagihan. Seperti mana babak yang sering ditunjuk dalam drama-drama televisyen, begitulah keadaan diri saya,” ceritanya.

    Tambah Zamani, nasibnya baik apabila dikelilingi insan-insan yang benar-benar mahu membantu nyahkan dirinya daripada najis dadah.

    Sokongan padu ahli keluarga, rakan-rakan serta bantuan kakitangan Pengasih adalah punca kejayaan sebenar.

    Sesi kaunseling yang dilaluinya di rumah itu sedikit sebanyak menguatkan semangatnya dan membulatkan tekad untuk berubah.

    Bagaimanapun, diakui masih terlalu awal untuk mengatakan saya telah pulih sepenuhnya. Banyak lagi sesi yang perlu ditempuhi bagi memastikan saya benar-benar menghindari dadah.

    “Tempoh tiga bulan nampak seperti sekejap bagi orang lain, tetapi tidak bagi saya. Ini merupakan satu tempoh yang cukup lama. Apatah lagi untuk melawan pengaruh dadah,” katanya sambil mengakui saat ditahan polis, semangat untuk hidup terus hilang dan dunianya menjadi gelap gelita.

    Zamani bangkit melawan nafsunya perlahan-lahan. Memegang prinsip di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, dia tekad menjadikan karier nyanyian yang diceburi sejak 22 tahun lalu sebagai inisiatif memajukan dirinya.

    Mahu kembali menyanyi
    Karier nyanyian memang sebati dalam jiwa Zamani. Namun dia akur perlu terlebih dahulu merawat ketagihan dan memulihkan keyakinan diri sebelum aktif semula di persada muzik tempatan.

    Zamani yang pernah membintangi filem Bara itu rela memendam seketika keinginan tersebut supaya tidak mahu sikap terburu-burunya nanti mengundang nestapa.

    Saya mahu fokus dengan proses pemulihan ini tetapi pada masa yang sama hasrat untuk kembali bersama rakan-rakan artis meluap-luap. Bagaimanapun, saya bersyukur Pengasih memberi platform kepada saya untuk meneruskan karier nyanyian dengan menganjurkan beberapa acara hiburan di sini.

    Peluang itu saya gunakan untuk melepaskan kerinduan yang ada. Tambahan, bidang nyanyian merupakan perkara utama dalam hidup saya selama ini. Namun, melihat kepada keadaan terkini, rasanya masih belum sampai waktu untuk saya kembali ke pentas nyanyian.

    “Melihat kejayaan Datuk Jamal Abdillah yang juga pernah menghuni rumah ini dah telah pulih sekarang, saya jadikannya sebagai mentor untuk mengorak langkah yang sama. Dia dan juga Radhi OAG sering ke sini berkongsi pendapat dan pandangan serta memberikan kata-kata pendorong bukan sahaja kepada saya, malah buat penghuni lain,” jelasnya.

    Katanya, jika Jamal dan Radhi berjaya melakukannya, mengapa tidak dia?

    Selepas disahkan pulih sepenuhnya dan mempunyai keyakinan tinggi, baharulah Zamani mahu kembali bertemu peminatnya.

    Tulang belakang bengkok
    Mengulas perkembangan kesihatannya selain berusaha untuk bebas daripada pengaruh dadah, Zamani sekali lagi diuji apabila pemeriksaan awal mendapati tulang belakangnya bengkok atau scoliosis.

    Tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan sebelum ini kerana bimbang aktiviti penagihannya dihidu, ini menjadi sebab utama penyanyi lagu Syair Si Pari-Pari itu tidak pernah tahu akan penyakit yang dihidapinya.

    “Penangkapan saya ini banyak hikmahnya. Agaknya jika saya tidak ditangkap, sehingga kini saya tidak tahu akan penyakit yang dihidapi. Selain membuat pemeriksaan bagi memastikan saya bebas pengaruh dadah, pada masa yang sama beberapa penyakit lain dikesan oleh doktor.

    “Paling mengejutkan, doktor memberitahu saya mungkin menghidapi penyakit tulang belakang bengkok. Patutlah selama ini saya cepat letih kalau berdiri atau duduk terlalu lama. Buat masa ini saya perlu menjalani beberapa siri pemeriksaan bagi menentukan kaedah rawatan yang sesuai.

    “Jika saya menghidapnya sejak kecil, ia hanya boleh dirawat secara pembedahan, tetapi jika berlaku kurang daripada 10 tahun, satu kaedah lain pula dilakukan tanpa perlu dibedah.

    “Hasil pemeriksaan awal turut mendapati saya menghidap kencing manis. Seperti biasa, saya perlu mengawal pemakanan untuk mengurangkan gula dalam darah. Bagaimanapun ini tidak begitu serius dan berharap boleh sembuh,” jelas Zamani menceritakan tahap kesihatannya.

    Bercerita tentang sakit tulang belakangnya, Zamani memberitahu, tulang belakangnya membengkok ke bahagian kiri badan sebanyak 40 darjah, sekali gus membuatkannya berasa tidak selesa.

    Kesakitan yang dialami tidaklah seteruk mana, tetapi menyukarkan Zamani melakukan aktiviti senaman lasak.

    Disebabkan tulang tersebut bengkok ke arah kiri, ia menghimpit paru-paru penyanyi itu, secara tidak langsung pernafasannya terganggu.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan