• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    YUSUF ISLAM KEMBALI KE KUALA LUMPUR


    Memang sukar untuk bertemu dengan Yusuf Islam. Yusuf, 67, yang sebelum ini dikenali dengan nama Cat Stevens hadir ke Kuala Lumpur, kelmarin untuk mempromosikan bukunya berjudul ‘Mengapa Saya Masih Memetik Gitar’ terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).


    Namun pihak media hanya diberi masa lima minit untuk menemubualnya dan tidak dibenarkan bertanya soalan berkaitan muzik, krisis masyarakat Islam, peperangan yang tercetus di negara Islam, keluarga dan soalan peribadi lain.

    Pendakwah Islam dan bekas pemuzik folk rock dan psychedelic rock itu hanya mahu menjawab soalan berkenaan bukunya saja.

    Buku itu yang asalnya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul ‘Why I Still Carry A Guitar’ terbitan Motivate Publishing itu diterjemah­kan ke dalam bahasa Melayu oleh Mohammad Al-Ariff Jasmani dan Anis Sharifah Abdul Sukur.

    Selepas 25 tahun aktif sebagai pendakwah dan tidak bermain muzik, Yusuf kembali memetik gitarnya untuk mengadunkan kepercayaan dan kerjayanya. Dia turut berusaha mendalami maksud sebenar Islam selepas mengkajinya selama dua dekad.

    Buku ini amat menarik untuk dibaca yang memaparkan keberanian seorang lelaki yang berani membuat anjakan pegangan kepercayaannya, sekali gus mengetepikan segala tanggapan mengenai pilihan agamanya.

    Ia menceritakan mengenai pegangan hidup, kepercayaannya terhadap agama dan Tuhan­nya serta pendirian Yusuf mengenai muzik yang memperkenalkan kepada dunia dan peralihan muziknya selepas memeluk Islam.

    Memulakan bicara hatinya, jelas Yusuf, ramai yang dilahirkan sebagai Islam tidak mendalami ajaran Islam mahupun mempelajari agama itu dengan baik.

    “Ramai juga yang tersilap dengan mengandaikan bahawa semua orang sudah tahu asas Islam. Namun begitu, hanya segelintir termasuklah Islam sendiri yang mempunyai keinginan untuk benar-benar mendalami Islam.

    “Lantaran itu terdapat banyak alasan kukuh untuk saya kembali ke khalayak umum. Disebabkan kemasyhuran saya di seluruh dunia yang mengenali saya sebagai Cat Stevens, maka kisah saya memeluk Islam menjadi rujukan dan minat mereka.

    “Tentu ramai yang mahu tahu bagaimana seorang bintang pop ikonik berambut panjang dan berimej hippi, yang membayangkan impian mereka menerusi nyanyian akhirnya menjadi seorang Islam, menunaikan solat lima waktu setiap hari, meninggalkan arak, pesta, dunia glamor dan peminat yang memujanya,” katanya dalam sidang media, kelmarin.

    Menyambung lagi catatan rasanya, kata Yusuf, dia beruntung dan bernasib baik kerana berpeluang merentasi pelbagai ambang budaya serta melihat dan melakukan banyak perkara.

    “Pengalaman dalam menjalani kehidupan sering mengubah dan meluaskan pandangan kita. Malangnya, tidak semua orang mengalaminya, tidak ramai yang berani untuk pergi jauh dari tempat mereka bermula.

    “Kebanyakan orang di dunia ini masih belum melangkah keluar untuk memahami atau mengetahui apa sebenarnya Islam. Alhamdulillah, saya dikurniakan sikap ingin tahu dan tertarik dengan pengetahuan mengenai apa yang terselindung di sebalik tang­gapan lazim kita,” katanya.

    Tidak salah mendalami muzik|
    Sebagai bekas penyanyi rock yang kini bertukar menjadi hamba Allah SWT yang begitu taat dan patuh kepada suruhan-Nya, Yusuf pernah melalui zaman yang agak keliru dan bercelaru mengenai muzik. Adakah benar muzik dan lagu diharamkan oleh Islam?

    “Muzik wujud secara sejagat di dunia ini walaupun di hutan, lautan dan juga padang pasir, burung-burung bersiul, ombak berdebur-debur manakala angin pula menderu-deru. Alam semula jadi menyanyikan lagunya yang indah dan mengagumkan sebagai puji-pujian kepada Maha Pencipta Alam.

    “Maknanya yang mendalam dan luas, juga berlandaskan sifat kemanusiaan yang hakiki dan semula jadi menjadikan Islam berjaya disebarkan dari dulu lagi dan sesuai untuk semua manusia daripada pelbagai budaya.

    “Khalifah Bani Abbasiyyah kelima, Harun Al-Rashid adalah penaung kesenian, muzik dan kesusasteraan yang hebat. Saya juga menemui satu lagi fakta penting berdasarkan penyelidikan Profesor Salim Al-Hassani, yang pada penghujung abad ke-18 di Sepanyol terdapat seorang Islam bernama Ziryab dianugerahi bakat yang sangat banyak,” katanya.

    Menurut Yusuf lagi, Ziryab ialah seorang pemuisi, pemuzik, penyanyi, ahli astrologi, ahli kimia, ahli geografi dan ahli strategi. Mengikut sejarah, Ziryab memberi pengaruh yang besar terhadap muzik Sepanyol dan budaya Andalusia di Afrika Utara.“Ziryab mungkin sudah merintis muzik blues dan rock & roll secara tidak langsung,” katanya.

    Tegas Yusuf, tiada satu pun lagunya yang sewenang-wenangnya tidak bermoral atau tidak bermakna.
    “Semua lagu saya menyampaikan mesej untuk memahami kehidupan atau menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Maka, apabila saya kembali menulis lagu, amat mudah untuk meneruskan mesej yang tersirat, yang dimantapkan lagi dengan kepercayaan dan pengetahuan saya me­ngenai Islam,” katanya.

    Menurut Yusuf, apabila merenung kembali riwayat hidupnya, ia adalah sebahagian daripada ranca­ngan Allah SWT buat dirinya untuk membantu golongan yang berada dalam kebingungan dengan meneruskan ‘pengkhususannya’ dalam muzik.

    “Daripada pemahaman saya dan kajian yang dibuat daripada al-Quran, sunah dan hadis, secara peribadi saya membuat kesimpulan bahawa mendengar muzik, menghadiri acara muzik atau mempelajari pelbagai aliran muzik dan alat muzik sebenarnya selagi tidak disertakan dengan perbuatan tidak bermoral dan berdosa, mempersendakan kepercayaan terhadap Allah SWT atau digunakan dalih untuk menghasut manusia ke arah perbuatan haram serta tidak melalaikan daripada menunaikan amalan wajib, muzik dibolehkan dalam Islam,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan