• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    SABHI SADDI DI TUDUH HANYA MIMING KETIKA BUAT PERSEMBAHAN?


    MENERUSI ruangan pojok sebuah akhbar mingguan tempatan, penyanyi dan pelakon, Sabhi Saddi, 32, didakwa menyanyi secara miming (tidak menyanyi secara langsung) sewaktu diundang membuat persembahan dalam sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di ibu kota sekitar dua minggu lalu.


    Meskipun majlis tersebut dihadiri oleh tetamu yang tidak mempunyai kemahiran profesional dalam bidang muzik, namun masih ada segelintir individu yang dapat mengesan ‘kelemahan’ Sabhi sepanjang persembahan dalam majlis berkenaan.

    Ekoran daripada insiden berkenaan, Sabhi dilabel sebagai penyanyi yang tidak boleh menyanyi secara langsung, sekali gus sering bergantung terhadap rakaman asal ketika melakukan persembahan.

    Berkesempatan berbual dengannya menerusi panggilan telefon baru-baru ini, Sabhi mengakui, tidak berniat menipu audiens, sebaliknya terpaksa menyanyi secara miming sepanjang persembahan kerana kurang selesa terhadap keupayaan sistem bunyi yang disediakan penganjur.

    Ujarnya, jika dia berdegil meneruskan nyanyian secara langsung, vokalnya akan kedengaran sumbang dan seterusnya merosakkan kemeriahan majlis berkenaan.

    KOSMO!: Sabhi, benarkah dakwaan yang mengatakan anda sekadar menyanyi secara miming sewaktu dijemput membuat persembahan di sebuah majlis perkahwinan baru-baru ini?

    SABHI: Ya, saya akui tidak menyanyi secara langsung pada majlis itu. Saya berbuat demikian kerana berasa kurang selesa dengan keupayaan sistem bunyi dan suara yang disediakan oleh pihak pengurusan lokasi majlis tersebut.

    Apakah yang menyebabkan anda berasa kurang selesa sehingga tidak mampu menyanyi dengan baik?

    Kedudukan pembesar suara dan monitor yang jauh dalam dewan tersebut menyebabkan saya sukar mendengar suara nyanyian saya. Jika nyanyian secara langsung diteruskan, vokal saya akan kedengaran lambat berbanding muzik. Bagi mengelakkan sebarang gangguan, saya lebih rela menyanyi secara miming. Namun, ketika persembahan, mikrofon saya masih berfungsi dan saya ikut menyanyi sambil diiringi vokal rakaman studio.

    Adakah anda menghadiri sesi raptai?

    Saya ada menghadiri sesi raptai. Namun, sejak awal lagi saya sedar bahawa sistem bunyi yang tersedia dalam dewan itu sangat menghampakan. Lebih-lebih lagi apabila saya diberikan mikrofon pengacara untuk menyanyi.

    Berapa jumlah lagu yang dinyanyikan secara miming pada majlis itu?

    Saya hanya menyanyi sebuah lagu iaitu lagu berjudul Cinta Sesungguhnya.

    Tidakkah anda berasa bersalah menyanyi secara miming sedangkan dibayar untuk menyanyi secara langsung?

    Pada sesi raptai, saya sudah berniat untuk memulangkan wang bayaran dan menarik diri daripada melakukan persembahan. Tetapi, atas pujukan pihak pengurusan dan beberapa pihak, saya tetap teruskan persembahan seperti yang dijanjikan. Sejujurnya, saya agak kecewa kerana terpaksa menyanyi secara miming. Saya menyanyi bukan semata-mata mahu mencari duit tetapi saya menyanyi kerana mahu memuaskan peminat.

    Adakah anda terkesan dengan gosip sebegini?

    Saya tidak boleh menutup mulut orang. Jadi, terpulang kepada khalayak untuk menghakimi. Setakat ini, saya masih menerima tawaran menyanyi dan saya tidak anggap gosip seperti ini memberi kesan yang besar terhadap karier nyanyian saya.

    Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

    Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Puteri Gunung Ledang bagi terbitan Hypp TV. Selain mempromosikan lagu Kisah Kita bersama Nieyl, saya juga bakal merakamkan lagu baharu berjudul Tiada Lagi Cinta.


    LIRIK: Kisah Kita - Nieyl feat Sabhi Saddi OST Bencinta 

    Terdiam kamu tanpa bicara
    Tak mengulas apa kan terjadi

    Membisu aku kerana buntu
    Tak dapat ku memutuskan kisah kita

    Cinta telah berakhir
    Kita tak mampu jadikannya cinta sebenar

    Cinta telah berakhir
    Kita tak mampu jadikannya cinta sebenar

    Semua akan tahu segalanya
    Kau dan aku ternyata cuma sebentar

    Cinta telah berakhir
    Kita tak mampu jadikannya cinta sebenar
    Semua akan tahu segalanya
    Kau dan aku ternyata cuma sebentar

    Cinta telah berakhir
    Kita tak mampu jadikannya cinta sebenar
    Semua akan tahu segalanya
    Kau dan aku ternyata cuma sebentar

    Kisah kita ternyata cuma sebentar

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan