• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    JIHAN MUSE MAHU TUMPU LEBIH MASA BERSAMA KELUARGA


    Jihan Muse mengakui perlu memperlahankan karier seni bagi memberi lebih tumpuan terhadap keluarga. Jihan, 35, berkata, perjalanan kehidupan peribadinya bermula lambat dan kerana itu dia mahu memanfaatkan waktu yang ada bersama insan tersayang.

    “Saya lambat kahwin dan dapat anak juga lambat. Sebab itulah saya banyak menghabiskan masa dengan suami dan anak di rumah.

    “Kalau bekerja pun, seboleh mungkin saya mahu hadkan masa lapan jam sehari,” katanya.

    Menurut Jihan, sebagai isteri dan ibu dia perlu bijak mengatur masa agar karier seni dan keluarga berjalan seiring.

    “Keluarga dan karier seni sama penting bagi saya. Namun begitu, buat masa ini kerjaya jatuh nombor dua dan saya berharap dapat mengimbangkan kedua-duanya.

    “Saya bersyukur kerana pengurusan dan produksi boleh mengikut masa yang saya berikan.

    “Jika ada yang tidak dapat mengikut masa ditetapkan, saya akan tolak daripada awal kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain,” katanya.

    Mengulas pencalonan dirinya dalam kategori Artis Lawak MeleTOP dan Hos MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2019, Jihan berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.

    “Boleh dikatakan nama saya sering tercalon tetapi tidak pernah menang. Seperti tahun terdahulu, saya tidak berharap apa-apa.

    “Dapat tercalon dalam top 5 dan memeriahkan suasana sudah cukup bermakna buat saya,” katanya yang turut menjadi pengacara acara itu. Mengulas perkembangan lain, Jihan berkata dia akan sibuk berniaga sepanjang Ramadan nanti.

    Ibu kepada Ungku Arsalan Haq Ungku Hariz Faizal itu berkata, ini adalah pengalaman pertama dia berniaga.

    “Ini percubaan pertama apabila saya bekerjasama dengan Starvilion dengan menghasilkan baju raya. Biasanya sepanjang Ramadan saya akan berehat daripada sebarang aktiviti seni dan fokuskan ibadat.

    “Jika ada tawaran berlakon saya hanya ambil penampilan istimewa atau kemunculan sekali saja.

    “Harapan saya semoga perniagaan ini berjalan lancar,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan