• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    FOUNDER (PENGASAS) PRODUK DNARS MAUT DALAM KEMALANGAN DI THAILAND


    Founder (pengasas) produk kecantikan Dnars, Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia, manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand, hari ini.

    Faziani Rohban Ahmad, 39, maut di lokasi kejadian akibat parah dan tersepit di bahagian penumpang hadapan, manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, cedera.

    Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dengan lori.

    Adik mangsa, Mohd Faizul Rohban, 34, berkata, dia menerima panggilan daripada abang iparnya, 10.30 pagi tadi memaklumkan kakaknya meninggal dunia akibat tersepit.

    “Kakak dan abang ipar keluar dari rumah mereka di Wakaf Bharu, Tumpat pada 8 pagi tadi dan dalam perjalanan ke pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.

    “Setakat ini saya hanya dimaklumkan mereka terbabit kemalangan dengan lori dan kini jenazah kakak berada di hospital,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

    Menurutnya, dia sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu dan mereka dalam perjalanan ke hospital.

    Katanya, kakaknya baru tiga hari pulang dari menunaikan umrah di Makkah dan selepas itu mereka ke Jakarta berbuka puasa bersama anak yatim.


    'Mama pesan... jangan berebut harta'

    “BARU-BARU ini, mama berpesan kepada semua lapan anak termasuk empat anak tiri serta adik beradik supaya tidak bergaduh dan jangan berebut harta dunia sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadapnya.”

    Demikian kata anak tiri kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand.

    Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, berkata, ibu tirinya yang dipanggil mama juga meluahkan rasa seolah-olah semakin dekat dengan arwah bapanya dan membayangkan jika meninggal dunia nanti.

    “Sahur pagi tadi mama tidak bercakap banyak dan kelihatan agak letih kerana baharu pulang dari Jakarta, Indonesia petang semalam atas urusan perniagaannya.

    “Pagi tadi pula mama terus ke Pattani bersama papa, Ahmad Shah Rizal, 42, kira-kira 7 pagi.

    “Selalunya mereka dibawa oleh pemandu tapi hari ini papa sendiri yang ingin memandu,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Kampung Paloh, di Tumpat, hari ini.

    Menurut Ainul Atiya, arwah mamanya kerap ke Pattani untuk menyampaikan sumbangan zakat serta berjumpa dengan pihak pengurusan di sana bertanyakan sebarang keperluan yang diperlukan.

    Dalam kejadian 10.30 pagi tadi (waktu tempatan), Toyota Estima dipandu Ahmad Shah Rizal merempuh lori.

    Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera.

    Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.

    Difahamkan jenazah dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit, petang ini.

    Seorang lagi anak arwah, Irdina Hakim Jasman, 16, berkata, dia sempat bertemu ibunya ketika berbuka puasa beramai-ramai malam tadi di rumah neneknya di Wakaf Bharu.

    “Malam tadi pula kami menikmati colek di sebuah kedai makan di sini kerana ramai ahli keluarga berkumpul dan arwah mengajak makan beramai-ramai.

    “Saya tidak bersahur pagi tadi dan tidak sempat berjumpa mama kerana mereka bertolak lebih awal dari biasa ke Pattani,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan