• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    MIRA FILZAH FOKUS BIDANG PERNIAGAAN ELAK FIKIR TENTANG JODOH?


    Tahun ini jadual seni figura cantik dan popular ini sangat padat. Selain berlakon, Mira Filzah perlu memberi fokus kepada bidang pengacaraan dan perniagaan diusahakan.

    Malah sepanjang Ramadan ini, Mira atau nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, perlu berada di tiga lokasi penggambaran berbeza membabitkan drama Rahsia Hati Perempuan yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria, filem Sangkar dan program Nona.

    “Berbanding Ramadan tahun lalu, kali ini sangat sibuk. Sejak awal puasa sampai sekarang, saya belum ada rehat. Tahun lalu, saya berehat sepenuhnya tetapi kali ini kerja datang serentak.

    “Ikutkan, penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan sudah habis namun terpaksa ditunda atas beberapa sebab. Jadi, ia sudah bertindih dengan jadual filem. Disebabkan itu, saya kena buat kedua-duanya.

    “Insya-Allah, semuanya akan selesai pada 12 Jun ini. Selepas itu baru ada masa dengan keluarga kerana sampai sekarang saya belum pernah berbuka dengan mereka lagi. Itu membuatkan saya sedikit terkilan,” katanya.

    Bagaimanapun, kesibukan itu tidak membuatkan Mira mengeluh sebaliknya menjadikan dirinya lebih puas dalam berkarya. Apatah lagi, setiap apa dilakukan disertakan dengan niat yang ikhlas.

    Meski ada ketika Mira hanya ada tiga jam untuk berehat, dia tetap gagahkan diri melunaskan setiap komitmen. Bagi Mira, paling penting dalam pengurusan waktu dan kerja adalah disiplin.

    Tolak tepi soal penat dan tidak cukup tidur kerana Mira lebih selesa menyelesaikan setiap pekerjaan dalam satu masa. Seboleh-bolehnya Mira inginkan suasana kerja yang harmoni.

    “Tipu kalau saya kata tidak penat sebab pada masa sama kena menghadiri beberapa acara membabitkan produk yang melantik saya sebagai duta. Kalau nak tahu, saya pernah bekerja 23 jam tanpa henti. Saya hanya berehat tiga jam sebelum memulakan kerja lain.

    “Namun, saya puas. Lagipun, sudah lama saya tidak melalui pengalaman sebegini. Memandangkan ini pilihan sendiri, jadi saya tidak mahu mengeluh. Sesekali rasa penat, tidak mengapa.

    “Pada masa sama, ini adalah rezeki untuk saya. Orang menawarkan saya kerja kerana kepercayaan diberikan. Jadi, rugi jika saya tolak. Peluang bukan selalu datang,” katanya.

    Melihat perjalanan kerjaya dan kesibukan dilalui, ramai tidak sanggup berada di tempat Mira.

    “Sejujurnya, saya sama juga macam orang lain. Kalau orang kata susah jadi Mira Filzah, bagi saya tidak. Saya menitikberatkan disiplin jadi segalanya lebih mudah.

    “Kalau tahu jadual padat, saya kena atur pemakanan dan ambil makanan tambahan. Sedikit sebanyak ia menjadikan saya lebih bertenaga,” katanya.

    Belum fikir kahwin

    Mira mengakui, tempoh 24 jam sehari itu diperuntukan untuk fokus kepada kerjaya. Ia sekali gus tidak memberi ruang untuknya memikirkan soal jodoh.

    Meski digosipkan menjalin hubungan dengan pelawak Zizan Razak, Mira selesa untuk tidak terus membahaskan perkara itu.

    Apatah lagi, dalam temu bual sebelum ini Mira mengakui antara dia dengan Zizan hanya kawan biasa. Cerita mengatakan mereka bercinta hanya usikan daripada netizen.

    “Buat masa sekarang, soal jodoh bukan keutamaan saya. Malah, keluarga juga tidak pernah memaksa sebaliknya menyerahkan kepada saya. Buat masa ini saya mahu fokus pada kerjaya. Selagi orang nak, saya buat.

    “Meski sibuk dengan kerja, saya masih ada masa untuk diri sendiri,” katanya.

    Mira yang popular menerusi drama Cinta Si Wedding Planner menafikan bakal mengadakan majlis perkahwinan seperti digosipkan.

    “Perancangan untuk berkahwin pun tidak ada, macam mana pula boleh timbul soal nak buat majlis. Memang tidak ada apa pun. Jadual saya penuh sampai November. Jadi, kalau nak merancang sesuatu majlis memang tidak ada masa.

    “Dalam perkara ini, saya sentiasa percaya kepada ketentuan Allah.

    Kalau ada jodoh, takkan ke mana. Lambat atau cepat, itu semua rezeki,” katanya.

    Mengenai sambutan Aidilfitri, Mira bertuah kerana persiapan raya membabitkan baju dan tudung mendapat tajaan Ariani selepas dilantik menjadi Ikon Lebaran Ariani RTW.

    Selain itu, selepas raya Mira kembali sibuk dengan dua penggambaran drama yang menggandingkannya dengan pelakon Remy Ishak.

    “Kedua-dua drama saya berpasangan dengan Remy. Kebetulan ia ditayangkan di slot menarik iaitu Akasia, jadi rugi jika tolak. Kali terakhir saya muncul dalam slot itu beberapa tahun lalu menerusi drama Cinta Si Wedding Planner,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan