• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    KOMPOSER JOHAN NAWAWI DAN JUGA SUAMI KEPADA NORA MENINGGAL DUNIA - AL FATIHAH


    Komposer Johan Nawawi, 52, yang juga suami kepada penyanyi Nora Ariffin meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di sini,, kira-kira 6.30 pagi tadi.

    Pengurus Nora, Lisa Aryanty Tahir ketika dihubungi berkata, Johan dibawa ke pusat perubatan itu oleh Nora tengah malam tadi, selepas mengadu kurang sihat.

    "Johan ditahan di wad. Namun, awal pagi tadi doktor menghubungi Nora memaklumkan Johan sudah meninggal dunia," katanya.

    Nora turut mengesahkan berita kematian suaminya dalam satu mesej pesanan suara. Bagaimanapun, setakat ini belum dimaklumkan punca kematian Allahyarham.

    Difahamkan, Allahyarham turut menghidap kencing manis, darah tinggi dan gout.

    Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya, pagi ini, dan akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

    Selain aktif sebagai penggubah lagu dan komposer, Johan banyak mencipta lagu untuk isterinya seperti Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera.

    LUAHAN NORA :

    Nora Ariffin dan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, sebenarnya merancang hendak meraikan ulang tahun ke-25 perkahwinan mereka, April ini.

    Nora, 43, berkata, rancangan itu hendak diadakan pada pada 9 April ini.

    "Kami merancang mengadakan persembahan meraikan majlis ulang tahun itu.

    “Arwah suami bercadang untuk memakai tuksedo manakala saya mahu memakai gaun rekaan Azura Couture.


    “Tujuannya hanya ingin untuk mengenang kembali saat-saat indah di awal perkahwinan kami. Namun tak sangka dia pergi tiba-tiba," katanya.

    Berkongsi peribadi Johan, Nora berkata, arwah suaminya seorang yang baik dan tidak ada siapa yang mampu menggantikan tempatnya.

    "Dia adalah sebaik-baik suami dan ayah buat kami semua. Mati hidup semula saya tidak mungkin dapat bertemu pengganti sama sepertinya.

    "Walaupun sedih dan terkejut, saya reda dengan pemergiannya dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.

    Jenazah Johan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman Kampung Tunku, pada sebelah pagi, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, hari ini.

    Pasangan ini dikurniakan empat anak iaitu Mohd Syakir Iman, 24; Mohd Syakir Alif, 19; Putri Nur Dahlia, 13; dan Putri Nur Fatehah, 5.

    Allahyarham Johan, meninggal dunia di pusat perubatan, kira-kira 6.30 pagi, hari ini.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan