
SETIAP pasangan baharu yang mendirikan rumah tangga pasti berdepan dengan fasa pasang surut. Ia merupakan rencah yang perlu dilalui dalam mencapai keserasian hidup bersama.
Tidak terkecuali bagi pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz. Selama sembilan bulan melayari bahtera mahligai kehidupan suami isteri, pelakon itu mengakui kehidupannya semakin mekar dengan bunga-bunga cinta walaupun kadang kala tergigit lidah.
Tidak berselindung, mengakui mereka kerap bertikam lidah hanya untuk perkara kecil, namun menurut lelaki berusia 33 tahun itu, kehidupannya semakin teratur sejak isterinya, Siti Sarah Mohd. Noor, 30, mengambil alih tugas sebagai pengurus peribadi yang bertanggungjawab menjaga semua jadual lakonannya.
Alhamdulillah, kehidupan saya dan isteri semakin dilimpahi rasa bahagia. Bagaimanapun, saya akui adakalanya kami bertegang leher kerana kedua-duanya mempunyai pandangan tersendiri.
Kami sering bergaduh walaupun hanya untuk perkara kecil. Namun jangan salah faham, pergaduhan kami bukanlah serius kerana pada saya, ia akhirnya membawa kepada perkara yang lebih produktif. Pendek kata kami bergaduh untuk mencari keserasian.
Kini saya sedang melatih isteri menjadi pengurus peribadi. Saya banyak memberi contoh seperti Izzue Islam yang jadual kerjanya diuruskan oleh isteri.
Sebenarnya saya memang mempunyai pengurus peribadi sebelum ini, bagaimanapun dia sudah berhenti kerana ingin meluaskan kerjayanya.
Isteri pula sering lihat saya sukar menjawab panggilan telefon dan menguruskan jadual, jadi dia dengan sendiri menyatakan hasrat ingin membantu saya.
Isteri saya mula belajar menjadi pengurus sejak bulan Jun lalu. Sebenarnya dia seorang yang pemalu, tetapi secara perlahan-lahan saya sudah mengajarnya untuk membuang perasaan malu itu.
Alhamdulillah, setakat ini dia mula memahami kerjaya saya dan selok-belok dalam industri. Bagaimanapun, masih banyak perlu dipelajarinya. Isteri juga membantu mengendali akaun Instagram saya.
Pada kebiasaannya apabila isteri menjaga jadual suami dan mengikut ke set penggambaran, pasti akan timbul soal cemburu, mungkin anda boleh jelas sedikit tentang perkara tersebut?
Salah satu tujuan saya melatih dia menjadi pengurus peribadi adalah untuk menunjukkan kepadanya tentang kerjaya saya.
Saya sering membawa isteri ke set penggambaran kerana ingin memberi pendedahan kepadanya tentang keadaan sebenar industri ini.
Saya juga tidak mahu dia mudah salah faham apabila timbul sebarang gosip nanti. Saya yakin apabila dia faham, tidak akan timbul soal cemburu buta.
Soal zuriat buat masa ini kami belum dikurniakan rezeki anak. Doakan yang terbaik untuk kami ya.
Saya akan memulakan penggambaran drama arahan Michael Ang yang bertajuk Biar Aku Jadi Penunggu. Seterusnya, drama yang akan ditayangkan tidak lama lagi pula ialah Tahajud Cinta Umairah.
Ramai yang berpendapat saya sudah lama tidak berlakon, tetapi sebenarnya tawaran lakonan yang datang tidak pernah putus dan kebanyakkan lakonan saya ditayangkan di RTM.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan