
SECARA peribadi Izreen Azminda tidak pernah mengambil pusing akan hal yang mengaitkan dirinya dengan kisah cinta lokasi.
Jika lakonannya terlihat agak berlebihan dengan mana-mana pelakon lelaki, itu bukan bermakna wanita 31 tahun ini sesuka hati bersikap gedik.
“Memanglah, kalau ada babak bercinta, saya akan cuba selami watak seorang wanita yang sedang hangat bercinta dengan penuh perasaan.
“Itu adalah saya kerana sudah jadi kerja kita untuk hidupkan cerita itu. Saya akan membawa watak macam betul-betul hidup,” katanya ketika ditemui dalam sidang media pelancaran rancangan Taste Selebriti di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi ibu tunggal anak satu ini, memahami watak dan keserasian dengan lawan bekerja adalah keutamaan bagi semua pelakon. Kalau tak serasi, bagaimana nak berlakon bersama?
“Saya perlu sikap profesional bila di hadapan kamera. Misalnya, pelakon lelaki itu baru pertama kali berlakon dengan saya dan perlu bawa watak romantis, takkan saya nak malu-malu atau bersikap janggal?” ungkapnya.
Malah, Izreen juga lebih matang untuk tidak menghiraukan sebarang komen negatif dan kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya tak kisah orang nak kata saya dengan seseorang pelakon lelaki itu tengah bercinta di lokasi, apa sajalah.
“Apa yang penting, empunya badan tahu tentang perkara sebenar, kami hanya buat kerja masing-masing,” katanya yang pernah digosipkan dengan pelakon Fahrin Ahmad dalam drama Ekesperimen Cinta pada 2015.
Sebelum ini, dia juga pernah dikaitkan dengan Hafreez Adam kerana berlakon dalam drama Lima Kali Cinta gara-gara menghayati watak percintaan.
“Jika orang luar yang berlebih-lebihan berfantasi, itu bukan masalah kami lagi. Apa yang dilakukan saya itu tak lebih daripada tanggungjawab sebagai pelakon yang mahu karya itu meletup dan menjadi sebutan ramai,” katanya memberikan penjelasan.
Sengaja disoal tentang lakonannya yang lebih cemerlang di dalam naskhah berbentuk drama di layar kaca hingga ada yang meletakkan ‘cop mohor’ Izreen sebagai ‘muka drama’, dia lebih selesa mengambil pendirian tidak kisah.
“Jujur saya lebih gembira berlakon untuk ditayangkan di televisyen. Orang boleh lihat lakonan saya selalu.
“Kalau di pawagam mereka yang nak tonton perlu membayar dan makcik-makcik di luar mungkin mengalami kesukaran nak ke panggung.
“Bukan nak cakap tonton filem itu membazir, tetapi ia juga membantu industri seni kreatif tempatan.
“Tapi kalau dalam situasi lain, saya tak kisah rezeki lakonan lebih banyak di drama dan telemovie,” jelasnya.
Sementelah itu, Izreen yang bekerja keras sejak setahun lalu di lokasi penggambaran, kini nekad untuk berehat sementara waktu daripada sebarang tawaran lakonan. Dia memberi fokus kepada teater yang bakal dipentaskan hujung tahun ini.
“Saya ada dua teater yang bakal dipentaskan iaitu Tiga Janda pada Oktober dan Putera La Galigo pada Disember. Kedua-dua teater ini bakal dipentaskan di lokasi yang akan diberitahu kelak.
“Dah setahun saya sibuk di set penggambaran sampaikan tiada masa untuk berehat.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk saya memperlahankan lakonan selain memberi ruang untuk luangkan waktu bersama anak tunggal saya,” kata ibu kepada Muhammad Adrian Umar, 3.
Dalam pada itu, Izreen juga turut mengambil kira faktor kesihatan ibunya, Azizah Hassan, 61 yang kurang sihat.
“Selama ini ibu saya yang jaga Adrian. Tapi memandangkan tahap kesihatannya kurang baik sekarang, saya terpaksa fikir banyak kali untuk menerima tawaran lakonan yang memerlukan komitmen yang lama.
“Selepas ini mungkin saya hanya terima tawaran kerja di sekitar Kuala Lumpur. Mestilah risau dengan keadaan ibu kalau saya kena berada di luar kawasan dalam tempoh yang agak lama. Insya-Allah, saya percaya tiap rezeki yang ada buat kami sekeluarga,” jelasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan